Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangor

AwAS, Mampu Kurangkan Kadar Kemalangan Jalan Raya

By 17 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan
Liow menyempurnakan pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Op Bersepadu Peringkat Kebangsaan Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2017

 

Laporan oleh Norfarhana Mohd Zainal Abidin  / Foto: Saraspathy A/P Letchumanan

PETALING, 17 Januari (Malaysiaaktif) — “Gabungan penggunaan teknologi berkamera dan potongan mata demerit,( AwAS) dijangka mampu menampakkan hasil yang berkesan bagi mendidik pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan melalui penguatkuasaan yang efisien dan efektif”

Ini jangkaan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika berucap merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu Peringkat Kebangsaan Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2017 yang diadakan di sebuah pusat membeli-belah di sini, hari ini.

“Penyumbang terbesar kemalangan adalah memandu atau menunggang melebihi had laju, menukar laluan tanpa memberikan isyarat, berlumba, mencelah-celah, melanggar lampu isyarat serta menggunakan telefon bimbit semasa memandu. Justeru, tema ‘Pandu Cermat, Sampai Selamat’ diangkat sebagai tema kempen bagi tahun 2017 ini,” tambah beliau.

37e9246f-b86b-41ca-a8ad-fa6f0023b2be

Kelajuan, menukar laluan tanpa memberikan isyarat, berlumba, mencelah-celah, melanggar lampu isyarat, menggunakan telefon bimbit semasa memandu antara punca utama kemalangan – Liow.

 

Ujar beliau lagi, Kempen Keselamatan Jalan Raya pada kali ini diadakan serentak dengan Ops Selamat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Ops Bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) yang akan bermula dari 21 Januari hingga 5 Februari 2017.

Ops Selamat akan memberikan tumpuan kepada penguatkuasaan undang-undang melalui konsep Ronda dan Statik di kawasan kerap berlaku kemalangan, manakala Ops Bersepadu pula akan melibatkan kerjasama antara pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk pemeriksaan ujian air kencing bagi pemandu bas di 30 buah terminal bas.

Selain itu, turut diadakan kawalan dan sekatan sepanjang tempoh kempen ini,termasuk larangan ke atas kenderaan barangan tertentu pada 26, 27, 31 Januari dan juga 1 Februari 2017.

Dalam pada itu, turut dikuatkuasakan penurunan had laju sebanyak 10 km/j bagi jalan persekutuan dan jalan negeri serta pemberhentian sementara kerja-kerja penyelenggaraan dan pembinaan di kawasan lebuh raya, jalan persekutuan, jalan negeri di samping mengalihkan semua jentera dan peralatan sepanjang tempoh kempen ini.

 

– AAS

Tinggalkan komen anda