Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Program Mobilepreneur KKLW Bantu Usahawan Tempatan

By 17 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 17 Jan (Malaysiaaktif) – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah memperuntukkan RM5 juta pada 2016 menerusi Program Usahawan Bergerak (Mobilepreneur) KKLW dengan hasrat untuk melahirkan lebih ramai usahawan berjaya, di samping menaikkan taraf hidup peserta.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tumpuan utama program ini adalah untuk peserta menyediakan perkhidmatan bergerak seperti dalam bidang automotif, elektrikal, motosikal, kimpalan, penghawa dingin, elektronik, komputer dan jahitan.

“Seperti peserta wanita dalam program ini yang menceburi perniagaan jahitan, apabila beliau mendapat tempahan dari pelanggan, beliau boleh terus pergi ke rumah pelanggan tersebut untuk membuat ukuran dan selepas siap tempahan, boleh terus membuat hantaran ke rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penyerahan Mobilepreneur Peringkat Negeri Johor, di sini pagi tadi.

DSC_0152

Dalam pada itu, seorang peserta program yang berasal dari Skudai, Mohd Rizal Yahya, 38, berkata, dengan adanya perkhidmatan bergerak seperti ini, mekanik sepertinya bukan sahaja dapat mencari pelanggan dengan lebih mudah, malah boleh menuju ke lokasi orang ramai yang memerlukan bantuan ketika kenderaan mereka rosak.

“Dengan cara ini, saya yakin pendapatan bulanan saya akan bertambah kerana bukan sahaja mengharap kepada jumpah pelanggan yang datang ke bengkel tetapi saya juga boleh mencari pelanggan baharu di luar.

“Peserta dalam program ini akan diberi latihan dan seterusnya akan dibuat pemantauan agar bantuan peralatan yang diberikan seperti motorsikal ini tidak disalahgunakan,” jelasnya.

DSC_0209

Pada majlis yang sama, 17 peserta terpilih telah menerima bantuan berbentuk motosikal yang disertakan dengan kotak perkakasan mengikut bidang masing-masing.

– AH

Tinggalkan komen anda