Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Jana RM3 Ribu Sebulan Daripada Hasil Nira

By 19 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Salawati Mat Shariff & Ahmad Fukrazi Ramli

PULAU PINANG, 19 Jan (Malayisaaktif) – Pokok nipah merupakan sejenis tumbuhan palma yang boleh menjadi sumber rezeki kepada pengusahanya.

Bagi Osman Mat Isa, 64, kebun pokok nipah sawa berkeluasan 10 ekar yang diusahakannya di Penaga, di sini, telah menjadi sumber pendapatannya sejak 12 tahun lalu.

Menurut Osman, setiap pokok yang ditanam mengambil tempoh selama tiga tahun sebelum boleh di ambil niranya.

“Setelah memilih pokok yang benar-benar sesuai, pangkal dan pelepahnya dicuci dengan cara mengetuk-ngetuk menggunakan kayu untuk menghindari serangga bersarang hingga penghasilan nira pahit.

“Kemudian, dilurut selama dua minggu dan diangkat buah atau pangkal ke sebelah urat agar memudahkan pengaliran air nira,” jelas Osman ketika ditemui wartawan Malaysiaaktif.

WhatsApp Image 2017-01-18 at 6.05.40 PM

Tambahnya, bekas kecil untuk menadah air nira akan dimasukkan ke dalam pangkal pelepah pokok nipah yang telah di pangkas dengan pisau.

“Saya menjual air nira nipah RM2.50 sebungkus kepada pemborong, cuka RM3.00 sebotol dan manisan dengan harga RM4.00 sebotol,” katanya lagi.

Ujar Osman, menurut kepercayaan orang dahulu, air nira nipah adalah baik untuk pembuangan air kecil dan mencuci buah pinggang selain dapat membantu menyejukkan badan, membantu merawat demam dan mengurangkan batuk.

WhatsApp Image 2017-01-18 at 6.06.05 PM

Osman yang turut mendapat bantuan peralatan seperti peti sejuk beku dan baja buah daripada Jabatan Pertanian sejak empat tahun yang lalu berkata, hasil pendapatan pengusahaan pokok nipahnya boleh mencecah RM3,000 sebulan.

Sementara itu, hampir 10 keluarga yang menetap di Kampung Kuala Bekah, Teluk Air Tawar mengambil upah memproses daun nipah muda hingga menjadi seberkas rokok daun.

Menurut Nafiah Sahfie, 54, dia mendapat bekalan daun nipah muda daripada pembekal pada setiap dua atau tiga hari sekali.

WhatsApp Image 2017-01-15 at 6.00.49 PM

Tambah Nafiah, dia mula memproses daun nipah dengan mengupas daun tersebut untuk dibuang lidi dan selaput, kemudian dijemur sehingga kering sebelum dipotong mengikut ukuran rokok.

Turut berkongsi kerjaya yang sama, Hendon Mohd berkata, daun nipah harus dipotong pada waktu malam untuk mengelakkan daun pecah kerana suhu pada waktu malam adalah lebih sesuai dan daun berada dalam keadaan sejuk.

Hendon yang mempunyai alat pemotong khas ciptaan hampir 20 tahun lalu, menggunakan alat tersebut untuk memotong daun mengikut saiz yang telah ditetapkan supaya daun dapat dipotong dengan mudah tanpa menyelerakkannya.

WhatsApp Image 2017-01-15 at 6.00.50 PM

Jelas Hendon, pisau yang digunakan untuk memotong daun nipah haruslah tajam dan tidak boleh digunakan untuk kegunaan lain.

Pengusaha rokok daun nipah mendapat pendapatan antara RM300 hingga RM500 sebulan bergantung kepada keadaan cuaca dan kepantasan untuk menyiapkannya.

Daun nipah yang telah siap diproses menjadi rokok daun boleh bertahan sehingga 10 hari dan dijual di kedai-kedai runcit dengan harga RM0.80 sen seikat.

Pohon palma ini kebiasaannya hidup berumpun-rumpun dan mempunyai batang sulur bawah tanah yang tumbuh di kawasan berpaya, lembah serta berlumpur.

– AH

Tinggalkan komen anda