Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Masyarakat Harus Amal Budaya Derma Darah

By 23 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: M Zakry Chan

MELAKA, 23 Jan (Malaysiaaktif) – Amalan menderma darah dalam kalangan masyarakat di negara ini masih di tahap yang rendah sehingga mengakibatkan risiko berlakunya kekurangan darah terutamanya ketika musim perayaan.

Menurut Pegawai Perubatan Unit Tabung Darah Hospital Melaka, Dr. Liew Kim Long, bagi mengatasi kekurangan stok bekalan darah terutamanya sepanjang musim perayaan yang akan datang ini, Unit Tabung Darah kini mempergiat lagi usaha program derma darah secara bergerak.

Antara kawasan yang terlibat ialah di kawasan membeli belah, universiti, kolej dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berhasrat untuk bekerjasama dalam program derma darah.

Bersama doktor ling

Pegawai Perubatan Unit Tabung Darah Hospital Melaka, Doktor Liew Kim Long (kanan) ketika ditemui bersama Pegawai Penerangan Daerah Melaka Tengah, Haji Mohd Noor Samion.

“Kempen derma darah terus dipergiatkan supaya stok bekalan mencukupi sepanjang masa, lebih-lebih lagi kita bakal menyambut perayaaan Tahun Baru Cina tidak berapa lama lagi.

“Darah yang amat diperlukan buat masa ini ialah jenis B+ dan O+, dan saya berharap supaya masyarakat terus menderma darah untuk membantu orang lain yang memerlukan.

“Pelbagai kemudahan serta insentif akan diberi kepada penderma darah seperti rawatan percuma pesakit luar, percuma pemberian pelalian hepatitis dan rawatan perubatan wad kelas satu,” jelasnya.

Tambahnya lagi, jadual program derma darah secara ‘mobile’ ini boleh didapati melalui laman sesawang dan laman sosial Facebook Melaka Blood Bank.

Kim Long ditemui di Kempen Derma Darah anjuran Komuniti 1Malaysia dan All United Malaysia Society Melaka dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Melaka di pasar raya Tesco, Cheng, di sini, pada Sabtu.

Aida

Aida Saleh, mula menderma sejak umurnya 18 tahun dan kini memasuki kali ke-11 dia menderma darah.

Dalam pada itu, seorang penderma darah yang ditemui, Aida Saleh, 37, berkata kebanyakan masyarakat masih kurang kefahaman tentang amalan derma darah.

“Ada masyarakat yang masih menyatakan derma darah akan menjadi gemuk sedangkan itu hanya mitos semata-mata,” ujarnya yang mula menderma darah semenjak usianya 18 tahun

Memasuki kali ke-11 dia menyertai program sebegini, Aida menambah, derma darah merupakan salah satu sumbangan kecil yang dapat dilakukannya kepada masyarakat yang memerlukan darah.

Ganesh

Pengerusi Komuniti 1Malaysia, Ganesh Rathanam, “Usaha murni ini membawa makna yang besar dan sokongan masyarakat harus diperkukuh.”

Sementara itu, Pengerusi Komuniti 1Malaysia, Ganesh Rathanam, 54, berkata program kerjasama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk membantu masyarakat yang memerlukan darah.

“Usaha murni ini membawa makna yang besar dan sokongan masyarakat dan jabatan kerajaan harus diperkukuh,” katanya.

Turut hadir, EXCO Jawatankuasa Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan Badan Bukan Kerajaan, Datuk MS Mahadevan a/l Sanacy, yang merasmikan program tersebut.

 

 

 -DZ

Tinggalkan komen anda