Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Perarakan ‘Wang Kang’ Kembali Setelah 84 Tahun

By 25 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan oleh: Hatta Johari / Foto: Muhammad Izhar

MELAKA, 25 Jan (Malaysiaaktif) – ‘Wang Kang’ atau kapal wang merupakan salah satu kepercayaan masyarakat kaum Cina (Hokkien).

Perarakan Wang Kang diadakan pada tarikh tertentu yang telah ditetapkan oleh Dewa Ong Ya untuk menjemput roh-roh jahat yang berkeliaran untuk dihantar kembali ke syurga.

Perarakan ini pertama kali diadakan di negeri Melaka pada tahun 1854 oleh Tokong Cheng Wah Keong dan kali terakhir dijalankan pada tahun 1933.

Kini setelah 84 tahun berlalu, perarakan secara besar-besaran ini akan diadakan semula oleh Tokong Cheng Wah Keong setelah mendapat arahan dari Dewa Ong Ya.

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan mencalonkan Wang Kang untuk disenaraikan dalam Senarai Wakil Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Wang Kang akan dicalonkan sebagai warisan tidak ketara dalam senarai itu dan kementeriannya melalui Jabatan Warisan Negara sedang dalam proses dokumentasi bagi pencalonan tersebut.

“Suatu warisan lama, kalau memenuhi syarat UNESCO, semestinya kita akan daftarkan sebagai warisan untuk kepentingan generasi akan datang, kalau tidak (warisan itu) akan hilang begitu sahaja,” ujarnya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Perarakan Wang Kang, di sini, semalam.

Dalam majlis tersebut, Nazri turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM100,000 untuk menjayakan upacara warisan ini.

Penganjur Perarakan, Tan Soon Tai

Penganjur Perarakan, Tan Soon Tai, ketika ditemu bual berkata, perarakan secara besar-besaran ini hanya diadakan setelah mendapat arahan dari Dewa.

“Kita telah membuat persiapan dari bulan Julai 2016 bermula dengan mengumpul dana bagi menyiapkan kapal dan kelengkapan untuk mengadakan perarakan dan menelan kos hampir RM800 ribu.

“Persiapan untuk membuat kapal wang sahaja mengambil masa selama tiga bulan dengan kos RM150 ribu,” jelasnya.

Perarakan Wang Kang yang bakal diadakan pada 9 Febuari ini akan mengelilingi bandar Melaka melalui jalan-jalan utama di negeri ini dan bermula di Tokong Cheng Wah Keong.

Seramai 4,000 orang dijangka menyertai perarakan itu termasuk anggota pertubuhan tempatan serta luar negara antaranya China, Taiwan dan Singapura.


-DZ

Tinggalkan komen anda