Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Masyarakat Batu Pahat Tingkat Keselamatan

By 25 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Mazlin Basir (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 25 Jan (Malaysiaaktif) – Penurunan kadar jenayah sebanyak 14% pada tahun lepas, menunjukkan kepekaan masyarakat Batu Pahat terhadap kes-kes jenayah.

Bagi meningkatkan keselamatan, Ops Selamat 10 telah dilancarkan oleh Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, semalam.

Sempena Ops Selamat ini, kempen Rumah Selamat telah diadakan selama 15 hari, mulai 21 Januari sehingga 4 Februari 2017 berikutan perayaan Tahun Baru Cina.

Kempen Rumah Selamat ini dilaksanakan untuk memastikan harta benda yang ditinggalkan semasa pulang bercuti berada dalam keadaan selamat.

Pemantauan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dilakukan apabila masyarakat melaporkan kepada pihak polis sekiranya mahu meninggalkan rumah.

Selain itu, objektif lain Ops Selamat adalah untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya berikutan kadar kemalangan jalan raya di Daerah Batu Pahat yang mencatat kes kemalangan paling tinggi di Malaysia pada tahun lalu dengan 208 kes melibatkan kematian.

Sementara itu, Abdul Wahib turut menasihati orang ramai mengenai enam kesalahan yang sering dilakukan oleh pengguna jalan raya sehingga menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

Enam kesalahan tersebut adalah tidak mematuhi had laju yang telah ditetapkan, melanggar peraturan garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat merah, menggunakan lorong kecemasan, memotong barisan dan menggunakan alat komunikasi semasa pemanduan.

Pada majlis yang sama, Abdul Wahib turut menyampaikan sumbangan berbentuk keperluan harian kepada Rumah Sejahtera Batu Pahat dan Pertubuhan Perkhidmatan Intervensi Awal serta ‘goodies bag’ kepada pengguna-pengguna jalan raya.

Program anjuran PDRM dengan kerjasama Community Policing dan Lion Club Batu Pahat ini turut dihadiri oleh Pengerusi Persatuan Kepolisan Komuniti Batu Pahat, Datuk Andy Low Leong Huat dan Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan KS Mender Singh.

 

– AH/AAS

Tinggalkan komen anda