Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahNegeri Sembilan

Pandu Cermat, Sampai Selamat

By 27 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Jamilah Sulaiman Nasution, Suzilawati Kamaruddin & Daniel Jong

NEGERI SEMBILAN, 26 Jan (Malaysiaaktif) – Dalam usaha untuk mengurangkan statistik kemalangan, Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2017 yang bertemakan ‘Pandu Cermat, Sampai Selamat’ telah diadakan di Plaza Tol Senawang, di sini, semalam.

Menurut Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri Sembilan, Zaitun Iffah Hamid, Seremban merupakan daerah yang mencatitkan kemalangan dan kematian yang tertinggi.

“Berdasarkan statistik kemalangan yang diperolehi daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Negeri Sembilan, data kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya di Negeri Sembilan didapati meningkat dari tahun 2015 ke 2016.

“Sebanyak 414 kematian telah dicatitkan berlaku pada tahun 2016 jika dibandingkan 355 kematian bagi tahun 2015. Data ini telah menunjukkan sebanyak 59 kes ataupun 16.6 peratus. Jumlah kemalangan maut juga didapati meningkat sebanyak 12.6 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya,” jelasnya.

Objektif kempen anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Sembilan dengan kerjasama JKJR Negeri Sembilan ini adalah untuk memberi peringatan kepada pengguna jalan raya supaya lebih cermat dan berhati-hati ketika memandu sewaktu berada di jalan raya atau lebuhraya, terutamanya yang ingin pulang ke kampung halaman pada musim perayaan.

Sementara itu, pihak PDRM yang ditemui wartawan MalaysiaAktif, berharap Ops Selamat yang telahpun dilaksanakan bermula 21 Januari hingga 5 Februari 2017 akan mencapai misi untuk melancarkan laluan di jalan raya dan mencegah jenayah di taman-taman perumahan, terutamanya kes pecah rumah.

Majlis yang dirasmikan oleh Pengerusi MKJR Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim ini turut dimeriahkan dengan pelbagai program lain seperti penukaran topi keledar selamat bagi dewasa dan kanak-kanak, baju pemantul cahaya dewasa dan kanak-kanak, penampalan sticker pemantulan cahaya (VEM) di motosikal dan pengedaran risalah keselamatan jalan raya kepada pengguna-pengguna jalan raya yang melalui kawasan rehat berkenaan.

 

– AH

Tinggalkan komen anda