Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Pusat Dialisis At-Taqwa Tawar Bantuan Dialisis

By 2 Februari 2017Tiada komen1 minit bacaan

 

 Oleh: Salawati Mat Shariff (Kepala Batas)

KEPALA BATAS, 2 Feb (Malaysiaaktif) – Dialisis merupakan terapi pengganti ginjal yang dilakukan apabila ginjal pesakit tidak dapat berfungsi secara optimal untuk membuang sisa-sisa metabolisme.

Bagi membantu pesakit yang memerlukan bantuan dialisis, Pusat Dialisis Al-Taqwa di bawah pengurusan Persatuan Kebajikan Pusat Haemodialisis Masjid Al-Taqwa, Taman Bertam Indah, di sini telah diwujudkan.

Menurut Jururawat Pusat Dialisis Al-Taqwa, Azimah Mohamed Alias, setakat ini pusat dialisis tersebut telah menerima pesakit buah pinggang berusia 30 hingga 60 tahun yang terdiri daripada bekas kakitangan kerajaan dan orang awam.

Sejak mula beroperasi daripada Januari 2015, seramai lapan jururawat terlatih bersama dua doktor pakar Nefro dipertanggungjawabkan dengan enam mesin dialisis untuk merawat pesakit yang memerlukan rawatan.

Rawatan mencuci buah pinggang yang mengandungi bahan kumuh termasuk air berlebihan dalam badan ini perlu dilakukan sepanjang hayat pesakit selagi mereka tidak menerima pemindahan buah pinggang baharu oleh ahli keluarga terdekat.

Pesakit memerlukan empat jam rawatan bagi setiap sesi, tiga kali seminggu mengikut jadual yang ditetapkan oleh doktor.

“Sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik, setiap mesin dialisis masih boleh beroperasi selama 15 minit menggunakan bateri, selama tempoh itu darah sempat di pam semula ke dalam badan pesakit” jelas Azimah.

Dalam pada itu, Azimah turut menasihati masyarakat supaya menjaga kesihatan diri sendiri terutamanya buah pinggang sejak dari usia muda lagi melalui pengambilan makanan berkhasiat dan mengamalkan gaya hidup sihat.

– AH

Tinggalkan komen anda