Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangor

Rai Kepelbagaian, Saling Hormat, Asas Keharmonian Kaum – PM

By 4 Februari 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan / Foto Oleh Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 4 Februari (Malaysiaaktif) – “Keharmonian perlu dipupuk dan yang penting adalah saling menghormati antara satu sama lain kerana masih terdapat kes-kes terpencil seperti menghina agama lain dan konsep hormat menghormati perlu diterapkan dan diperkukuhkan sejak awal iaitu di peringkat sekolah rendah lagi.”

Itu harapan Guru SJK (C) Kheow Bin, Batu Caves, Jessy Ng Chor Eng  yang berharap Sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dianjurkan  lebih kerap dan melibatkan belia-belia yang merupakan golongan yang penting bagi memastikan perpaduan kaum terus kekal pada masa hadapan.

WhatsApp Image 2017-02-04 at 7.40.15 PM

Sekolah merupakan medium terbaik memupuk semangat perpaduan antara kaum – Jessy Ng, guru

Sementara itu bagi Ahli Akademik dan Penyelidik Kesenian dan Sains Sosial Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Juli Edo berkata, langkah kerajaan menganjurkan program seperti ini  amat baik dan ia perlu diteruskan pada masa hadapan serta dilaksanakan di semua peringkat untuk memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini.

“Cuma saya berharap semua pihak tidak melihat program yang diadakan ini sekadar program sahaja, tetapi ianya perlu dihayati sebagaimana yang dilafazkan semasa ikrar Rukun Negara tadi.

“Masih banyak ruang yang boleh diperbaiki dalam membentuk perpaduan negara kerana ia hanya dilihat baik di peringkat pemimpin atau peringkat atasan sahaja, tetapi di peringkat akar umbi ia dilihat masih longgar seperti penempatan tempat tinggal masih masih tidak bercampur dan wujud prasangka terhadap kaum lain,” ujar beliau lagi.

WhatsApp Image 2017-02-04 at 7.40.13 PM

Ahli Akademik dan Penyelidik Kesenian dan Sains Sosial Universiti Malaya Profesor Madya Dr. Juli Edo menegaskan setiap daripada rakyat Malaysia perlu saling menghormati agar perpaduan dapat dikekalkan.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak melalui Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan secara jelas mengatakan agama Islam sebagai Agama Persekutuan dan agama-agama lain bebas diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

“Konsep kesatuan rakyat dalam kepelbagaian sekiranya dipegang dalam membina sebuah negara dijadikan asas ke arah keharmonian negara.

“Sekiranya rakyat Malaysia menjunjung dan mempertahankan prinsip Perlembagaan, nescaya negara akan terus aman dan harmoni walaupun kepelbagaian kaum di negara ini terlalu kompleks berbanding negara lain,” ujar beliau semasa merasmikan Sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia yang diadakan di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong petang tadi.

WhatsApp Image 2017-02-04 at 7.39.28 PM

Generasi muda tunjang perpaduan negara – Najib Razak

Tambah Perdana Menteri lagi, Kerajaan sentiasa berusaha memperkukuhkan perpaduan hasil kesinambungan zaman Tun Razak yang telah mewujudkan Rukun Negara. Beliau juga telah memperkenalkan konsep 1Malaysia, Wasatiyah (kesederhanaan) dan meraikan sambutan perayaan agama-agama lain sebagai perayaan nasional.

“Keharmonian dan perpaduan ibarat sepohon pokok yang perlu sentiasa disiram serta dibaja dan benih pertama yang ditanam dalam pembentukan nasional di negara ini adalah Perlembagaan Persekutuan”.

“Semakin tinggi kita menghormati dan meraikan kepelbagaian ini, semakin tinggi kefahaman dan rasa menghormati penganut agama lain yang mesti diterapkan dalam masyarakat Malaysia supaya kita tidak menghina orang lain.” tegas Perdana Menteri lagi.

 

-MSM/AAS

Tinggalkan komen anda