Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurWilayah Persekutuan

Cadangan MRSM Untuk Golongan Mampu Diteliti

By 7 Februari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan / foto : Zaharah Ismail & Amirah Ahmad

KUALA LUMPUR, 7 Februari (Malaysiaaktif) – “Majlis Amanah Rakyat (MARA) masih mempertimbangkan penubuhan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi golongan berkemampuan untuk menikmati sistem pendidikan di MRSM.”

Demikian kata Pemangku Pengerusi MARA, Datuk Dr. Yusof Yacob berkenaan cadangan penubuhan MRSM berbayar yang sebelum ini hanya melibatkan kemasukan pelajar kurang berkemampuan dan berasal dari luar bandar.

“Permohonan kemasukan ke MRSM mendapat sambutan yang hangat daripada golongan berkemampuan yang tinggal di bandar-bandar besar. Justeru, cadangan harus diteliti agar golongan ini dapat menikmati sistem pendidikan sama seperti pelajar MRSM sedia ada.

Jelas Datuk Dr. Yusof lagi, kemungkinan satu MRSM akan dibina sebagai percubaan namun pemilihan lokasi dan waktu pembinaan masih belum dikenal pasti.

e93de0d6-952b-4dc1-bd06-652f3843e725

Serahan MOU antara USM dan MARA yang di wakili oleh Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dan Datuk Ibrahim bin Ahmad.

Datuk Dr. Yusof ditemui dalam majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di antara MARA dan Universiti Sains Malaysia (USM) di Anjung Korporat, Ibu Pejabat MARA di sini hari ini.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, MoU yang ditandatangani ini melibatkan kerjasama strategik pengajian kursus dan program di USM yang akan ditawarkan di kolej MARA seluruh negara.

“MoU ini akan menjadikan hubungan yang sedia ada lebih formal untuk diperluaskan dalam pelbagai bidang lain pada masa hadapan. Ini termasuklah penganjuran program latihan untuk meningkatkan kemahiran ilmiah dan kajian mengenai proses pengajaran dalam kalangan pelajar dan tenaga pengajar MARA.

“Saya juga berpendapat ini adalah satu usaha yang penting dan wajar diperluaskan dan mungkin juga kita boleh menjalankan kursus-kursus keusahawanan, pengurusan, pentadbiran perniagaan, ICT dan lain-lain lagi di mana pihak USM mempunyai kepakaran tersebut,” katanya.

Turut hadir semasa Majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad.

Sebelum ini  Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mencadangkan penubuhanMaktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar untuk anak-anak golongan berkemampuan.

Mnurut beliau ini kerana MARA menerima banyak permintaan daripada ibu bapa berpendapatan tinggi yang anak mereka cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan mahu menghantar anak mereka melanjutkan pelajaran di MRSM.

 

-MSM/AAS

Tinggalkan komen anda