Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurWilayah Persekutuan

RM 15 Juta, Sasaran Jualan HKK 2017

By 7 Februari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan oleh: Ruhamin Ramli / Foto oleh : Nasiron Hasim

KUALA LUMPUR, 7 Februari (Malaysiaaktif) – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui Kraftangan Malaysia mensasarkan nilai jualan sebanyak RM15 juta sempena Hari Kraftangan Kebangsaan 2017  (HKK 2017) yang bakal berlangsung di Kompleks Kraf, Jalan Conlay bermula 22 Februari hingga 6 Mac 2017.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Ab.Ghaffar A.Tambi, jumlah jualan itu bakal dipacu berdasarkan sasaran 50,000 pengunjung yang bakal hadir dan berpotensi membeli barangan yang dipamerkan oleh usahawan tempatan dalam tempoh 13 hari penganjuran HKK 2017.

“Antara produk yang dijangka mendapat sambutan menggalakan adalah batik, anyaman dan juga ukiran. Selain itu, beberapa aktiviti telah dirancang bagi menarik perhatian pengunjung termasuk pameran busana perdana, jualan kraf, pameran dan jualan produk kraf rekaan baharu, pameran produk kraf warisan, pameran standard batik dan songket serta demonstrasi kraf,” jelas Datuk Ab. Ghaffar lagi semasa pengumuman penganjuran HKK di Kompleks Kraf Jalan Conlay, Kuala Lumpur hari ini.

a40bf8f5-392e-402b-b06d-01136f6abd7d (1)

Dari kiri, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Rashidi Hasbullah, Ketua Setiausaha, Datuk Ab. Ghaffar A.Tambi, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Nor Yahati Awang dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Hajah Zuraida Mokhtar semasa sesi sidang media pengumuman HKK 2017.

Bertemakan “Kraf Menjana Ekonomi Berkonsepkan Natif ke Kreatif”, HKK 2017 akan menghimpunkan seramai 400 usahawan kraf dari seluruh negara meliputi pelbagai bidang seperti tekstil, hasil rimba, hasil tanah, hasil logam dan aneka kraf.

Hari Kraf Kebangsaan merupakan aktiviti tahunan terbesar yang telah dipersetujui Jemaah Menteri pada 2002 yang dilaksanakan pada minggu terakhir bulan Februari setiap tahun. Sambutan Hari Kraf Kebangsaan yang pertama diadakan pada Februari 2003.

Turut hadir pada sidang media pengumuman HKK 2017 tersebut ialah Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Zuraida Mokhtar.

 

-MSM/AAS

Tinggalkan komen anda