Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

7 Wasiat Raja-Raja Melayu Jamin Kestabilan Negara

By 8 Februari 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan / foto: M Zakry Chan

MELAKA, 8 Feb (Malaysiaaktif) – Wasiat yang disampaikan ketika Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan bagi pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 adalah:

*Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (sekarang dikenali dengan nama Malaysia);

 *Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;

 *Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara;

 *Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini;

 *Kami isytiharkan ISLAM adalah Agama Persekutuan;

 *Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU; dan

 *Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Dalam kesibukan mengejar arus kemodenan, masyarakat Malaysia khasnya golongan muda kian melupakan sejarah negara dan salah satunya adalah Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu.

Manisah Ayu Osman

Manisah Ayu Osman – Penerangan harus diberi kepada masyarakat terutamanya golongan muda yang makin lupa tentang sejarah negara.

Menurut seorang pegawai Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Melaka, Manisah Ayu Osman 40, penerangan harus diberi kepada masyarakat tentang Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu terutama golongan muda yang makin lupa tentang sejarah negara.

“Saya melihat Jabatan Penerangan boleh memainkan peranan yang penting dalam memberi kefahaman kepada rakyat. Selain itu, pelbagai bahan penerbitan seperti Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), Rasionalisasi Subsidi, Maklumat Bencana dan banyak lagi yang dicetak eksklusif oleh pihak Jabatan Penerangan,” jelasnya.

Abdul Aziz Jaafar

Abdul Aziz Jaafar – Penerbitan risalah ini penting untuk generasi muda memahami tentang Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu.

Pengerusi Komuniti 1Malaysia Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Abdul Aziz Jaafar, 50, bersetuju dengan pendapat Manisah dengan penerbitan risalah Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu oleh Jabatan Penerangan ini penting untuk pemahaman rakyat terutamanya kepada generasi muda masa kini.

Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam Unit Tabung Darah Hospital Melaka, Noriah Abu Bakar, 41, berpendapat pendekatan terbaik dalam memberi penerangan adalah melalui turun padang bersemuka bersama masyarakat.

Noriah Abu Bakar

Noriah Abu Bakar – Semua warganegara Malaysia harus memahami kepentingan Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu bagi mengekalkan kestabilan dan keharmonian kepelbagaian kaum di negara ini.

“Kepentingan Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu harus difahami oleh semua warganegara Malaysia. Dalam wasiat ini terkandung perkara yang amat penting dalam mengekalkan kestabilan dan keharmonian kepelbagaian kaum di Malaysia,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Idris Haron menegaskan setiap bangsa di Malaysia harus saling menghormati.

Ketua Menteri merasmikan Program Info Komuniti

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron ketika merasmikan Program Info Komuniti 1Malaysia DUN Sungai Udang.

“Dan jangan sesekali menyentuh sensiviti kaum lain kerana keharmonian kita sebagai masyarakat Malaysia harus dipertahankan sehingga bila-bila,” ujarnya ketika merasmikan program Info Komuniti 1Malaysia dan Penerangan Bajet 2017 di Kompleks JAPERUN Sungai Udang, semalam.

 

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda