Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurWilayah Persekutuan

Gelanggang Futsal Percuma Untuk Penduduk Wilayah Persekutuan

By 8 Februari 2017Tiada komen1 minit bacaan

KUALA LUMPUR 7 Februari (Malaysiaaktif) – Penduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bakal menikmati penggunaan gelanggang futsal secara percuma bermula hari ini.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Kementerian Wilayah Persekutuan dan agensi di bawahnya akan menanggung semua kos penyelenggaraan dan operasi gelanggang futsal bagi menggalakkan lebih ramai orang menggunakan kemudahan ini tanpa mengeluarkan kos yang tinggi untuk beriadah.

“Kemudahan percuma ini melibatkan gelanggang futsal di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan sahaja. Golongan belia dan remaja di Kuala Lumpur akan menikmati kemudahan percuma di 22 gelanggang futsal pada waktu hari bekerja (Isnin hingga Jumaat) dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang,” ujar Datuk Seri Tengku Adnan dalam satu kenyataan media hari ini.

Dua unit gelanggang di Putrajaya iaitu di Gelanggang Futsal Mokhtar Dahari di Kompleks Futsal 1Malaysia, Presint 18 diberi percuma antara pukul 4.00 petang hingga 7.00 malam dari hari Isnin dan Khamis. Kemudahan percuma ini juga akan melibatkan dua gelanggang futsal di Labuan pada setiap hari dari pukul 8.00 pagi hingga 2.00 petang kecuali hari Sabtu dan Ahad.

Inisiatif Kerajaan dalam memberikan kemudahan percuma bagi penggunaan gelanggang futsal adalah atas permintaan yang tinggi daripada penduduk Wilayah Persekutuan. Adalah menjadi hasrat Kerajaan bagi mewujudkan komuniti yang sihat dan cergas seiring dengan tema ‘Wilayah Ceria Rakyat Sejahtera’.
-MSM

Tinggalkan komen anda