Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Rezeki Datang Tepat Pada Masanya, Ringankan Beban Makwe

By 12 Februari 2017Tiada komen3 minit bacaan

Β 

Laporan oleh Khairunnisa Abd Rahman / Foto: Norhafisha Ramli

JASIN, 12 Feb (Malaysiaktif) – Jika teringin menikmati kuih muih tradisional Melayu dan kacang pedas lazat, penduduk sekitar pasti akan ke Kampung Serkam Pantai, di sini, untuk membeli dengan Bastiah Dali, 62, kerana keaslian rasa kuih dan kacang pedas buatannya.

Keenakan kuih buatan Bastiah, yang lebih mesra dipanggil ‘Makwe’, pasti akan membuatkan pelanggan datang kembali.

Namun, semenjak suami Bastiah, Hashim Mahat, 64, mengalami masalah kesihatan sehingga tidak mampu berjalan dan menggunakan kerusi roda untuk bergerak, sukar untuk merasai lagi kuih hasil air tangan Makwe kerana masanya lebih banyak dihabiskan untuk menjaga suami.

Suami Makwe, Hashim Mahat, kini terlantar dan tidak mampu untuk berkerja.

 

Tambahan pula, kebelakangan ini Hashim kerap dimasukkan ke hospital kerana mengalami pendarahan hidung tanpa dapat dikenal pasti oleh doktor dan pendarahan mata pula berlaku pada Khamis malam.

Selain itu, masalah kewangan serta kesukaran memperoleh modal untuk menyediakan kuih muih dan kacang pedas yang memerlukan banyak modal juga menjadi punca Makwe tidak dapat meneruskan jualannya kecuali tempahan dengan kuantiti yang kecil.

Makwe yang mudah mesra, peramah dan sentiasa ringan tulang sering membantu jiran-jiran di majlis kenduri dan amat disenangi oleh sesiapa sahaja. Dia percaya rezeki Allah pasti ada untuk keluarganya.

Dalam pada itu, anak kedua Makwe, Sarimah Hashim, yang dipanggil Kak Ngah, turut menetap bersama di rumah Makwe bersama-sama tiga anak serta suaminya yang juga sakit.

Suami Kak Ngah, yang masih bertongkat akibat kemalangan tahun lepas, sukar untuk mendapatkan pekerjaan kerana keadaannya.

Kak Ngah menyara keluarga Makwe dengan gaji harian yang diperoleh melalui kerja sebagai tukang masak di gerai ikan bakar. Hasil dari pendapatan tersebut digunakan sepenuhnya untuk menyara seisi keluarga.

“Saya amat bersyukur dengan adanya bantuan untuk anak fakir miskin daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sebanyak RM200 atas nama anak sulung yang sedikit sebanyak membantu untuk membeli keperluan sekolah,” ujar Kak Ngah.

Anak ketujuh Makwe, Syahidah Hashim, 30, berkata: “Alhamdulillah, Kak Ngah mempunyai kawan-kawan sekolah yang sudi hadiahkan ‘chiller’ untuk digunakan bagi menyimpan stok kuih sejuk beku.

“Kacang pedas mak ni ‘top’ tau kat KL. Ini pun banyak yang tempah tapi mak cakap tak dapat nak buat, tak cukup modal,” tambah Syahidah.

Kini, jualan kuih dan kacang pedas tidak lagi menjadi punca pendapatan Makwe. Namun mereka mengintai peluang sekiranya ada pihak yang dapat membantu dari segi peralatan dan punca untuk mendapatkan modal bagi meneruskan perniagaan.

Seakan kena pada masanya, bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 telah diluluskan dan Makwe mula mendapat bantuan tersebut pada Khamis.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan menyampaikan bantuan tersebut dalam Program Ziarah Kasih anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Melaka dengan kerjasama ADUN Serkam.

JaPen Melaka turut menyumbangkan barangan seperti beras, minyak masak dan barang dapur kepada keluarga Makwe.

“Alhamdulillah, syukur pada Allah, Makwe dapat duit kebajikan ni. Bolehlah nak cukupkan keperluan yang patut dan tambah-tambah duit belanja,” ujar Makwe.

Sebelum ini, bantuan bulanan JKM untuk Makwe tertangguh kerana pegawai yang menguruskannya telah bertukar ke tempat lain, namun, atas inisiatif Zaidi, bantuan ini akhirnya berjaya diproses dan diserahkan kepada Makwe.

Selain Makwe, enam warga emas dan seorang pesakit saraf yang berkerusi roda turut diberikan sumbangan dan membuat pemeriksaan tekanan darah dan glukos secara percuma oleh Klinik Kesihatan Umbai (KKU).

Pegawai Klinik Kesihatan Umbai sedang membuat pemeriksaan kesihatan terhadap salah seorang penerima sumbangan Program Ziarah Kasih.

 

Di majlis yang sama, Pegawai JKM Merlimau, Nurul Nadia Nordin berkata JKM ada menyediakan bantuan untuk Makwe meneruskan perniagaan.

“Makwe boleh memohon bantuan ‘one off’ Geran Pelancaran RM2,700 untuk dijadikan modal membeli peralatan dan bahan untuk berniaga dari JKM. Pegawai JKM akan turun bersama-sama Makwe untuk membeli keperluan tersebut.

“Makwe juga boleh ke Pejabat JKM berdekatan untuk mendapatkan surat pengesahan penerima bantuan JKM untuk pengecualian bayaran keluar hospital suaminya,” tambahnya lagi.

 

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda