Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

‘Malaysia Boleh’ Bakar Semangat Peserta FitMalaysia

By 14 Februari 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan : R.Fauzi Abdul Lahap / Foto : Nurhamisah Mohd Rapi (Sandakan)

SANDAKAN, 14 Februari (Malaysiaktif) – Laungan semangat ‘Malaysia Boleh’ yang di laungkan di sepanjang laluan larian lima kilometer benar-benar membakar semangat Natasha Ayumie, 12, dari Sekolah Kebangsaan St.Monica.

Natasha yang turut mangambil bahagian berkata begitu teruja untuk menyertai program tersebut bagi kategori larian sejauh lima kilometer sehingga sanggup berada di lokasi awal pagi untuk memastikan diri bersedia mengikuti larian tersebut.

“Saya berada seawal pukul enam pagi lagi di kawasan larian ini bersama rakan-rakan sekolah dan guru yang turut sama berlari bagi jarak lima kilometer ini.

Natasha Ayumie (kanan) bersama rakan ketika ditemui selepas mengikuti acara larian sejauh 5km

Natasha Ayumie (kanan) bersama rakan ketika ditemui selepas mengikuti acara larian sejauh 5km

“Penat jugalah, saya belum pernah berlari sejauh ini dan atas sokongan serta galakan dari kawan-kawan, guru akhirnya sampai jua ke garisan penamat.

“Tapi yang paling saya lebih bersemangat adalah laungan ‘Malaysia Boleh’ oleh penganjur di sepanjang laluan ini menyebabkan halangan mental yang pada mulanya rasa tidak mampu akhirnya dapat diatasi,” katanya semasa ditemui Malaysiaaktif selepas selesai menamatkan larian.

Sementara itu, seorang kakitangan awam, Rais Ismail, 40, berkata sudah tiba masanya rakyat Malaysia menjadikan budaya bersukan sebahagian daripada gaya hidup seharian.

“Budaya bersukan seharusnya menjadi budaya hidup seharian rakyat Malaysia kerana melalui sukan ia dapat memastikan kesihatan bukan sahaja dari segi fizikal malah mental.

“Selain itu, faktor obesiti di kalangan rakyat Malaysia juga semakin membimbangkan, jadi ada baiknya menjadikan sukan sebagai salah satu kemestian bagi menjaga kesihatan tubuh badan.

Tambahnya lagi, program FitMalaysia ini harus dijadikan acara tahunan atau setidak-tidaknya dwitahunan kerana kesannya adalah amat baik.

Pegawai Pembangunan Kecergasan Nasional, Jabatan Belia dan Sukan (P) Sabah menjelaskan Program FitMalaysia ini adalah kesinambungan pelaksanaannya tahun lalu yang lebih bertujuan menggalakkan rakyat hidup secara lebih sihat.

“Penyertaan luar jangka yang dianggarkan seramai lebih 15 ribu orang mengikuti penganjuran kali ini menunjukkan rakyat benar-benar ambil berat akan kesihatan dan seronok dapat bersukan bersama-sama ahli keluarga lain.

Khairy (dua dari kiri) turut bermesra sambil berswafoto bersama-sama para belia Sandakan.

Khairy (dua dari kiri) turut bermesra sambil berswafoto bersama-sama para belia Sandakan

Jelasnya lagi, pada penganjuran kali ini pelbagai aktiviti dijalankan antaranya kayuhan basikal sejauh 10km dan 30km, larian 5km dan 10km, promosi sukan Sea KL 2017, pameran, demonstrasi, jualan produk kesihatan, senaman kecergasan seperti zumba dan pelbagai lagi.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin berkata program FitMalaysia Sabah di Sandakan bakal menjadi gelombang kecergasan dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara membudayakan sukan.

“Saya amat kagum dengan peserta yang begitu ramai hari ini yang sanggup berkumpul seawal pukul enam pagi lagi.

Tambahnya, kalau gelombang ini dapat dikekalkan, hasrat untuk mewujudkan rakyat yang lebih cergas dan sihat, bersatu padu akan dapat dicapai.

Jelasnya, FitMalaysia lebih berpaksikan masyarakat di mana aktiviti yang dilaksanakan tidak memerlukan kemudahan atau peralatan khusus untuk bersukan, mudah dipelajari dan boleh dilakukan pada bila-bila masa secara berseorangan atau berkumpulan.

“Walaupun usaha membudayakan sukan dalam kalangan rakyat ini memakan masa, namun jika segala program dijalankan dengan konsisten pasti matlamat itu dapat dicapai hasil kerjasama semua pihak,” ujarnya lagi.

Khairy turut menjelaskan acara ini bukan semata-mata untuk atlet sukan sahaja tetapi ia adalah melibatkan semua rakyat tanpa mengira usia, jantina dan ideologi politik demi memastikan bersukan menjadi gaya hidup rakyat Malaysia.

“Penglibatan rakyat Malaysia dalam sukan dan senaman masih terlalu rendah hanya 30 peratus, Justeru, program ini diharap menjadi pemangkin kepada perubahan tersebut.

“Selain bermatlamatkan membudayakan sukan diharap program ini juga dapat membantu usaha untuk mengenal pasti bakat-bakat baharu dalam bidang sukan negara,” jelasnya.

 

-SH

Tinggalkan komen anda