Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Kecuaian Punca Utama Kemalangan Kenderaan Berat

By 15 Februari 2017Tiada komen4 minit bacaan

 Gambar hiasan: FMT

 Laporan dan foto oleh: Hatta Johari

MELAKA, 15 Feb (Malaysiaaktif) – Keselamatan di jalan raya merupakan aspek penting bagi mengelak dari berlakunya kemalangan serta kehilangan nyawa terutamanya melibatkan kenderaan berat.Faktor kecuaian manusia dikenal pasti sebagai punca utama berlakunya kemalangan yang melibatkan kenderaan berat.

Berdasarkan kajian oleh Jabatan Keselamatan Trafik PLUS, 38 peratus kemalangan kenderaan berat berpunca daripada pemandu yang mengantuk, manakala 33.4 peratus pula melibatkan pemandu yang memandu terlalu laju.

14 peratus kemalangan pula disumbangkan oleh pemandu yang hilang kawalan ke atas kenderaan mereka dan selebihnya berpunca daripada masalah teknikal seperti kegagalan brek dan tayar pecah atau pancit.

Seorang pengguna jalan raya, Muhamad Firdaus Mokhtar, 24, berpendapat kemalangan yang melibatkan kenderaan berat mampu diatasi dengan pelbagai cara.

Muhamad Firdaus Mokhtar berpendapat pengguna jalan raya yang dikesan mempunyai saman kesalahan jalan raya tidak patut dibenarkan memandu lagi.

                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                              “Banyak langkah yang boleh diambil. Contohnya, tetapkan had kelajuan bagi setiap kenderaan berat. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh membuat pemeriksaan terhadap kenderaan yang menggunakan jalan raya dan hanya membenarkan kenderaan yang baik sahaja beroperasi di jalan raya.

“Manakala, pihak polis boleh membuat perangkap had laju di semua jalan raya dan saman kenderaan yang dipandu melebihi had laju yang ditetapkan. Pemandu yang mempunyai saman kesalahan jalan raya pula, tidak perlu dibenarkan memandu lagi di jalan raya,” katanya.

                                                                                                                                                                                                                 Dalam pada itu, seorang pemandu kontena, Abu Simbel Tuah, 29, berkata keluarga juga boleh membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan media turut boleh memainkan peranan untuk mengatasi masalah ini.

“Bagi saya, didikan yang paling utama. Di rumah, ibu bapa boleh nasihatkan anak-anak agar memandu dengan cermat ketika di jalan raya dan anak-anak juga boleh ingatkan ibu bapa supaya mematuhi peraturan jalan raya pada setiap masa. Kalau ada sikap saling nasihat-menasihati ini, pasti dapat kurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Abu Simmel Tuah berkata keluarga dan media main peranan dalam meningkatkan kesedaran pengguns tentang keselamatan jalan raya.

“Kemalangan boleh berlaku di mana sahaja, jadi yang penting dan mesti dipatuhi ialah jangan memandu melebihi had laju yang telah ditetapkan oleh undang-undang. Pemandu juga mesti bertolak-ansur ketika berada di jalan raya dan berhati-hati ketika memandu,” tegasnya. 

Sementara itu, Kerajaan Negeri Melaka telah meminta dan mengarahkan pihak berkuasa yang berkaitan untuk mengkaji semula laluan bagi kenderaan berat terutamanya laluan yang berhampiran dengan sekolah bagi mengelak berlakunya tragedi yang tidak diingini.

                                                                                                                                                                                                 Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, menyifatkan tindakan itu wajar dilaksanakan susulan kemalangan meragut nyawa tiga beranak yang menaiki motosikal berlanggar dengan sebuah lori di Bukit Larang, di sini, baru-baru ini.

“Adalah wajar pihak berkuasa mengkaji laluan bagi kenderaan berat supaya kejadian itu tidak berulang.

“Sebagai contoh, buat larangan kenderaan berat melalui jalan berhampiran sekolah bagi satu tempoh seperti 30 hingga 45 minit selepas tamat sesi persekolahan,” katanya.
-DZ

Tinggalkan komen anda