Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Jangan Bandingkan Saya Dengan Tok Nan – Jamilah

By 17 Februari 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan dan foto oleh Syed Fauzi Syd Mostapa

LUNDU, 17 Feb (Malaysiaaktif) –Ketiadaan Calon Barisan Nasional sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.3 Tanjong Datu, Puan Sri Jamilah Anu disebabkan tempoh idah tidak menjejaskan reputasinya sebagai calon utama bagi menggantikan arwah suaminya, Tan Sri Adenan Satem.

Penglibatannya tetap dirasai apabila sejak hari pertama kempen, kelima-lima anaknya Siti Rafida Adenan, Hayati Hamidah Adenan, Abdul Aziz Adenan, Aziza Jasmin Adenan dan Azizul Annuar Adenan bekerjasama untuk turun padang bagi menggantikan ibunya.

Menerusi surat terbuka yang dikeluarkan oleh Jamilah di sini semalam, dia menyatakan kesediaannya untuk meneruskan perjuangan arwah suaminya.

“Atas rasa tanggungjawab dan demi kesejahteraan semua warga Tanjong Datu, saya sedia memikul amanah serta cabaran ini untuk meneruskan perjuangan arwah Tok Nan.

“Di hati saya terbuku satu keazaman yang kuat untuk meneruskan dan menyelesaikan banyak kerja yang telah dirancang oleh suami saya,” ujarnya.

Menerusi surat yang disediakan dalam empat Bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Iban, bahasa Salako, dan bahasa Mandarin itu, Jamilah turut meminta untuk tidak dibandingkan dengan kepimpinan arwah suaminya.

“Tok Nan seorang suami, ayah, pemimpin yang unik dan istimewa. Sebagai seorang wanita yang asalnya dari desa, isteri yang setia dan ibu, saya telah melalui pelbagai rintangan bersama arwah terutama dalam memahami tugasan sebagai Wakil Rakyat. Kesungguhan arwah akan saya bawa dalam budaya kerja saya nanti,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Jamilah turut meluahkan rasa terkilannya oleh sebab tidak dapat berjumpa dalam kempen PRK yang yang berakhir pada tengah malam ini.

“Demi menghormati hukum agama dan kesopanan, sebagai seorang yang baru kematian suami, saya tidak dapat hadir sendiri untuk sama-sama berkempen dalam PRK ini. Namun, setiap hari saya mengikuti perkembangan semasa,” ujarnya lagi.

Imam Masjid Kg. Sileng, Arif Elie memahami keadaan Jamilah yang sedang dalam tempoh idah

Imam Masjid Kg. Sileng, Arif Elie memahami keadaan Jamilah yang sedang dalam tempoh idah

Sementara itu, Imam Masjid Kg. Sileng, Arif Elie, 51 yang ditemui pada Jumaat  menganggap tempoh idah bukan penghalang untuk Jamilah menang pada PRK kali ini.

“Tak payah pun Puan Sri turun kerana kemenangan tetap dalam tangan. Tempoh idah tak jadi masalah. Puan Sri ramai penyokong. Kita harap pengundi akan turun mengundi. Sokongan memang ada tak kira dari kampung kita atau kampung luar. Lagipun Puan Sri Jamilah memang selalu turun kampung,” ujarnya lagi.

 Azizul ketika sidang media

Azizul ketika sidang media

Dalam pada itu, bagi anak Jamilah, Azizul Annuar Adenan, sepanjang tempoh berkempen isu ketiadaan ibunya memang sering ditanya oleh masyarakat setempat.

“Sepanjang berkempen saya terima banyak persoalan berkenaan di mana ibu saya. Namun setelah saya menjelaskan berkenaan situasi sebenar, dan mereka faham ketiadaan ibu disebabkan dalam tempoh idah. Setiap pagi dan malam juga ibu akan telefon saya untuk mengetahui perkembangan semasa,” ujarnya yang ditemui ketika sidang media pada Khamis.

Esok seramai 9771 orang Tanjong Datu layak mengundi di 16 pusat mengundi yang disediakan Suruhanjaya Pilihan Raya.

-SF

Tinggalkan komen anda