Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Jadi Bos Sebelum Konvo

By 21 Februari 2017Mac 2nd, 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Oleh: Nurhasnani Abdul Wahab /Foto: Norus Saadah Ahmad

MELAKA, 21 Feb (Malaysiaaktif) – ‘Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’ merupakan perumpaan yang sesuai menggambarkan tuah badan beberapa orang alumni Kolej Komuniti Bukit Beruang, Melaka (KKBBM) yang belum sempat ke pentas konvokesyen tetapi telah bergelar usahawan.

Salah seorang alumni tersebut, Muhammad Azid Hidayat Abdullah, 21, merupakan lepasan Program Sijil Fesyen dan Pakaian dan kini boleh berbangga dengan Perniagaan Azid Glory Collection yang diusahakannya di Melaka mendapat tempat di pasaran.

“Ketika berusia 13 tahun lagi saya sudah mula berjinak-jinak membantu ibu menjahit manik untuk baju tempahan pengantin,” jelas Azid yang turut menguruskan sepenuhnya Butik Andaman Pengantin milik ibunya Butik Idaman Haifi Enterprise.

Pengarah KKBM menerima kunjungan Azib (Dua dari kiri)

Azid (dua dari kiri) ketika membuat kunjungan ke pejabat Pengarah KKBBM, Jamalluddin Mohd Ali.

Katanya, pengajian di KKBBM memberi laluan dan petunjuk kepadanya untuk lebih berani menceburi bidang keusahawanan.

“Dorongan para pensyarah dan didikan mereka menjadikan saya untuk tidak berputus asa dan berani mencuba. Peluang untuk menyertai pertandingan semasa semester tiga dalam pertandingan ‘Waste is Amaze’ anjuran Alam Flora dengan membawa tema kebaya dan bersaing dengan lebih 50 peserta dari seluruh negara antara yang tidak boleh dilupakan.

“Kejayaan mendapat tempat ketiga ketika itu adalah antara pencapaian manis dan meyakinkan saya untuk lebih serius dalam bidang ini,” tambahnya lagi.

Azid bersama ibu memperagakan baju rekaannya 2

Azid (kanan) bersama ibunya, Ida Fazilawati Ahmad (dua dari kanan) memperagakan baju rekaannya di Anugerah Busana Terbaik Hotel Internasional KL. / Gambar ihsan Azid

Terkini, Azid baru sahaja memenangi Anugerah Busana Terbaik Hotel Internasional KL anjuran Persatuan Bersahabat Selamanya pada 17 Januari yang lalu.

Seorang lagi alumni, Muhammad Ridzuan Rashif, 20, merupakan anak bongsu daripada tiga beradik yang meminati bidang automatif sejak zaman persekolahan lagi memulakan perniagaan Bengkel AZ Workshop sejurus tamat pengajiannya dalam Program Sijil Servis Kenderaan Ringan di KKBBM.

Walaupun Ridzuan ditawarkan untuk terus bekerja di syarikatnya menjalani latihan industri, dia tetap memilih untuk menceburi bidang usahawan. Bermodalkan hanya RM5,000, Ridzuan membuka bengkelnya itu di kawasan bersebelahan rumah neneknya di Malim, di sini.

Wan sedang membaiki kereta di bengkelnya

Ridzuan sedang membaiki kereta di bengkelnya.

Kemahiran yang dipelajari dimanfaatkan sepenuhnya bagi memulakan perniagaan tersebut. Ditambah dengan bantuan bapa saudaranya, perniagaan Ridzuan berkembang maju dan kini menjana pendapatan menarik dengan majoriti pelanggannya adalah dalam kalangan kenalan, pelanggan tetap serta pelanggan baharu yang diperkenalkan oleh pelanggan tetap.

“Fasiliti pengajian dan bimbingan di KKBBM menjadikan minat dan kemahiran sedia ada dalam diri saya dapat diserlahkan dengan baik. Tiada alasan untuk menganggur dan memilih kerja kerana kemahiran dan keberanian menjadi usahawan diterapkan sepanjang pengajian di KKBBM,” jelas Ridzuan.

Alumni terakhir ditemui, Anis Adilah Jasmani, 24, pemilik La-Man Sungai Rambai Cafe, seorang pelajar lepasan pengajian program Sijil Kulinari yang juga akan bergraduasi pada tahun ini.

Kafe milik Anis

Kafe milik Anis, La-Man Sungai Rambai Cafe.

Berkongsi pengalaman, Anis memberitahu, “sebelum ini saya telah memiliki Diploma Makmal Perubatan namun memilih KKBBM sebagai destinasi melanjutkan pengajian dan menambah kemahiran bagi merealisasikan impian untuk membuka kafe.”

Menariknya, kafe Anis ini mula beroperasi semasa dia berada di semester kedua dan berkata, “saya perlu bijak membahagikan masa. Dalam masa yang sama, saya terus mempraktikkan segala ilmu dan kemahiran yang dipelajari di dalam kelas.”

Anis mendapat kerjasama dan sokongan baik dari rakan-rakan apabila dua orang rakan sekelasnya di KKBBM pula sudi bekerja secara sambilan di kafenya itu. Kini, Anis mempunyai lima orang pekerja tetap termasuk seorang rakan alumni Sijil Kulinari KKBBM.

Anis berkongsi pengalaman bersama Pengarah KKBM

Anis, ketika berkongsi pengalaman bersama Pengarah KKBBM, Jamalluddin Mohd Ali.

Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Bukit Beruang, Jamalluddin Mohd Ali, ketika ditemui untuk memberi pandangan kejayaan alumninya memberitahu, “KKBBM sentiasa menyokong usaha kerajaan untuk mengarusperdanakan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) dalam melahirkan graduan yang memenuhi kehendak pasaran.

“Kurikulum Kolej Komuniti digubal dengan penglibatan pihak industri bagi menentukan keperluan kemahiran dan kehendak industri, agar graduan yang dilahirkan memenuhi keperluan pasaran kerja.

“Elemen keusahawanan juga diterapkan semasa dalam tempoh pengajian bagi membuka minda pelajar agar dapat merealisasikan kejayaan dalam pelbagai bidang selaras dengan lonjakan pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) iaitu melahirkan Graduan Holistik, Berciri Keusahawanan dan Seimbang,” jelasnya.

 

 

-DZ

Tinggalkan komen anda