Skip to main content
Berita TempatanSabah

Jubli Emas 50 SMK Putatan, Gamit Memori

By 20 Februari 2017Februari 27th, 2017Tiada komen3 minit bacaan

Oleh: Yahya Abdul Rajak / Foto: Azman Jumat (Sabah)

KOTA KINABALU, 20 Feb (Malaysiaktif) – Sambutan Jubli Emas ke-50, Sekolah Menengah Kebangsaan Putatan penuh meriah menggamit memori bertaut kasih setiap warga bergelar bekas pelajar, guru dan kakitangannya.

Majlis Makan malam tautan kasih jubli emas ke-50 sekolah berkenaan di Putera Theatre Ballroom Bukit Padang berjaya menghimpunkan lebih 1,080 bekas pelajar, guru dan kakitangannya dengan pungutan mencecah RM100,000.

Menurut Timbalan Pengarah Program, Samatra Yahya, sambutan majlis tersebut berjaya mencapai matlamat program menghimpunkan bekas pelajar, guru dan kakitangan selain beramal mengumpul dana bagi pembinaan dewan terbuka di sekolah terbabit.

“Selaku timbalan pengarah program saya merasa amat gembira melihat kehadiran para tetamu yang hadir menjayakan sambutan jubli emas ini sambil beramal,” ujarnya.

Terdahulu, Pengarah Pelajaran Negeri Sabah, Maimunah Suhaibul mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada warga pendidik sekolah terbabit termasuk para ibu bapa, pelajar dan bekas pelajar serta PIBG yang dapat berkolaborasi bersama menjayakan majlis yang cukup meriah ini.

“Program yang dilaksanakan dengan dua tujuan menjalin kasih bekas seluruh warga sekolah yang terpisah amat menyentuh perasaan sambil bertemu dapat juga menyumbang mengumpul dana bagi membina infrastruktur kemudahan dewan terbuka di sekolah berkenaan.

Maimunah (empat dari kanan) bersama Jawatankuasa penganjur memegang bebola laser sebagai tanda perasmian majlis berkenaan.

Maimunah (empat dari kanan) bersama Jawatankuasa penganjur memegang bebola laser sebagai tanda perasmian majlis berkenaan.

“Tahniah atas kegigihan pengurusan sekolah kerana melalui aktiviti sebegini pasti membuahkan keberhasilan selaras matlamat yang digariskan dalam ‘Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid (PPPM), Kementerian Pelajaran Malaysia.

“Secara tidak langsung penganjuran program ini berjaya melengkapi aspirasi pendidikan negara melalui PPPM dalam melahirkan rakyat yang menghayati nilai berkerjasama, Nilai mengenang dan membalas jasa, pemurah, jujur dan ikhlas memberi.

“Penganjuran ini turut berjaya membentuk suatu kerjasama dengan PIBG, komuniti dan sektor swasta secara meluas,” katanya semasa merasmikan Majlis Makan Malam Tautan Kasih Jubli Emas ke 50 Tahun sekolah berkenaan pada Sabtu.

Sambutan meriah dari bekas-bekas pelajar SMK Putatan pada majlis tersebut

Sambutan meriah daripada bekas pelajar SMK Putatan pada majlis tersebut

“Syabas semua, hasrat yang dicita bakal terungkap dengan terbinanya bumbung terbuka untuk manfaat semua setelah 50 tahun anak didik terpaksa berpanas, berhujan dan kadangkala terpaksa menunda aktiviti kerana faktor cuaca ketika mengadakan sesuatu program di sekolah terbabit.

“Besar juga harapan saya agar bekas pelajar di sekolah terbabit dapat terus menabur bakti, ibarat peribahasa jadilah umpama sirih pulang ke gagang dan elakkan menjadi umpama kacang yang lupakan kulit.

“Insya-Allah, Jabatan Pelajaran Negeri akan turun membantu bagi merealisasikan impian demi kecemerlangan pelajar di sekolah berkenaan,” ujarnya.

Pengetua Cemerlang SMK Putatan, Diuh Balimbang ketika menyampaikan ucapan.

Pengetua Cemerlang SMK Putatan, Diuh Balimbang ketika menyampaikan ucapan.

Sementara itu, Pengetua Cemerlang SMK Putatan, Diuh Balimbang berkata kehadiran barisan mantan-mantan pemimpin dalam kalangan guru, Jawatankuasa PIBG Sekolah, Alumni pelajar, anak-anak dari rumah Assakinah amat menggamit memori nostalgia indah bersama.

“50 tahun SMK Putatan mengharungi pelbagai cabaran, dugaan pahit manis menghasilkan kejayaan demi kejayaan sama ada aspek akademik Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) mahupun kokurikulum.

“Kejayaan ini semestinya berjaya meningkatkan sekolah terbabit antara rebutan ibu bapa untuk menempatkan anak mereka belajar di sini, tambahan SMK Putatan merupakan salah satu pusat prauniversiti Mod 2 dengan bilangan pelajar yang semakin meningkat hingga mencecah seramai 400 orang.

“Kini sekolah ini sedang berusaha mengharungi era transformasi pendidikan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang pastinya akan digalas sepenuhnya bagi mencapai penerapan kemahiran berfikir aras tinggi para pelajar agar dapat bersaing di pentas antarabangsa,” ujarnya.

Bagi Yang Dipertua PIBG, Abu Kassim Binsin kejayaan menghimpunkan mantan guru dan pelajar dari era 60an hingga 80an adalah suatu yang amat membanggakan.

“Sekolah ini merupakan salah sebuah alma mater luar bandar yang cemerlang dalam kondusif pembelajaran di persekitaran membangun yang memerlukan satu frasarana terbaik bagi menyokong kecemerlangan tersebut,” jelasnya.

Bekas pelajar, Rozidah Samudin yang bertugas sebagai perancangan Bandar di Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata penganjuran program tersebut amat baik, meriah dan dapat merapatkan silaturahim bersama bekas-bekas pelajar di sekolah tersebut.

“Terima kasih atas penganjuran program ini yang dapat mengingatkan kembali suka duka ketika bergelar pelajar di sekolah ini dan tidak menyangka dapat bertemu semula dengan guru kesayangan iaitu Datuk Normah Gagoh di majlis ini,” katanya.

Pelbagai pengisian menarik dan meriah sepanjang mengimbau 50 tahun penubuhan sekolah terbabit yang mula ditubuhkan sekitar 1967 hingga kini yang tentunya ramai melahirkan pelajar cemerlang mengharumkan nama negara.

-SF

 

Tinggalkan komen anda