Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerak

Gunung Kerunai: Destinasi Pilihan Penggemar Aktiviti Lasak

By 23 Februari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan / foto oleh Muhammad Amizan Lokman

GERIK, 23 Feb (Malaysiaaktif) – Gunung Kerunai, yang bersebelahan dengan Gunung Kenderong sehingga mendapat jolokan ‘The Twin Peaks of Perak’ atau (K2), terletak kira-kira 18 kilometer dari Pekan Gerik di Perak.

Di atas gunung yang berketinggian 1,000 meter dari paras laut itu, pendaki boleh menyaksikan Pekan Gerik dengan jelas dan panorama yang menarik sekitar kawasan itu.

Keindahan pemandangan di Gunung Kerunai menjadi pembakar semangat untuk penggemar aktiviti lasak.

Keindahan pemandangan di Gunung Kerunai menjadi pembakar semangat untuk penggemar aktiviti lasak.

Aktiviti pendakian di gunung tersebut kebiasaannya dimulakan awal pagi, sekitar pukul 3 pagi kerana cuaca pada masa itu sejuk dan nyaman jika dibandingkan pada waktu siang cuacanya agak panas.

Bagi pengemar aktiviti lasak seperti mendaki gunung, pastinya mereka tidak akan melepaskan peluang untuk merasai sendiri bagaimana cabaran mendaki gunung tersebut.

Pada Sabtu, seawal pukul 4 pagi, kelihatan beberapa pendaki berhempas pulas mendaki Gunung Kerunai yang terletak tidak jauh dari Pekan Gerik, termasuklah sepuluh orang remaja tempatan yang tidak ingin melepaskan peluang menyaksikan keindahan matahari terbit.

4

Sepuluh remaja tempatan yang menjadikan aktiviti memanjat Gunung Kerunai sebagai aktiviti mingguan.

Pendakian yang dimulakan dengan bacaan doa itu diketuai oleh Sharifuddin Caie, 27, seorang anak jati Gerik yang sudah arif tentang selok-belok Gunung Kerunai. Mereka juga telah bersiap sedia dengan membawa alatan yang lengkap termasuklah peti pertolongan cemas sebagai langkah berjaga-jaga keselamatan sekiranya berlaku kecederaan.

Pendakian ke puncak mengambil masa lebih kurang dua jam dengan jalan yang amat berliku dan mencabar pada waktu malam. Para pendaki perlu mempunyai stamina yang tinggi dan mental yang kuat untuk sampai ke Puncak Gunung Kerunai.

2

Salah seorang pendaki membuat ‘track marking’ bagi memudahkan pendaki lain.

Mereka turut membuat ‘track marking’ sepanjang perjalanan menuruni gunung bagi memudahkan pendaki lain untuk datang ke sini.

Menurut seorang pendaki dalam kumpulan itu, Shazril Ezzani Zul, 28, pendakian gunung tersebut merupakan aktiviti mingguannya bersama rakan-rakan yang lain untuk menikmati keindahan alam semula jadi.

Sementara itu, seorang lagi pendaki, Amiruddin Ramly, 27, berkata “aktiviti mendaki Gunung dapat memperlihatkan kita pada kebesaran maha Pencipta dengan keindahan alam flora yang ada di Gunung tersebut.”

Amiruddin turut menambah, pendaki yang baru berjinak dengan aktiviti mendaki dinasihatkan untuk membawa air yang mencukupi sepanjang pendakian kerana tiada punca air di sepanjang trek pendakian.

Aktiviti mendaki Gunung Kerunai bukan sahaja menjadi kegemaran penggemar aktiviti lasak malah boleh dijadikan tempat pelancongan yang menjadi tarikan ramai sekiranya disediakan kemudahan oleh pihak kerajaan bersempena Tahun Melawat negeri Perak 2017.

7

Namun, bagi sebuah tempat pelancongan yang popular dalam kalangan penggemar aktiviti lasak, pihak Pelancongan Negeri Perak tidak tahu menahu mengenai kewujudan tempat ini. Malaysiaaktif telah menghubungi pejabat Pelancongan Negeri Perak bagi mendapatkan maklum balas pada Isnin mengenai Twin Peaks of Perak ini tetapi tidak berhasil.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda