Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Harga Ikan Temenung Melambung Naik

By 20 Februari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan oleh : Nor Haliza Ridzuan / Foto: Ariza Mohamed Zaki (Tasek Gelugor)

TASEK GELUGOR, 20 Feb (Malaysiaaktif) – Harga bagi sekilo ikan temenung di sekitar pasar di Tasek Gelugor didapati melambung naik daripada biasa sehingga mencecah antara RM15 hingga RM20.

Seorang peniaga ikan di Pasar Awam Tasek Gelugor yang ingin dikenali sebagai Sim, 43, berkata, harga ikan temenung naik ekoran faktor cuaca yang tidak menentu.

Ujar Sim, pada kebelakangan ini cuaca agak berangin dan kadangkala menyebabkan nelayan tidak dapat turun ke laut akibat laut bergelora.

Tambah Sim, kenaikan harga yang mendadak ini menyebabkan Sim kini jarang mengambil bekalan ikan temenung ekoran takut dimarahi pelanggan yang menyatakan harga ditetapkan terlalu tinggi.

Kebanyakan peniaga di sini mendapatkan bekalan ikan daripada peraih di sekitar Jeti Nelayan Kuala Muda dan Pengkalan Lahar Endin, Penaga, Kepala Batas. Harga yang ditawarkan adalah bergantung kepada harga yang ditetapkan oleh peraih kepada peniaga.

WhatsApp Image 2017-02-17 at 8.11.27 PM

Sementara itu Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Seri Muda yang dikenali sebagai Azman berkata, harga minyak termasuk diesel yang naik baru-baru ini turut menjadi antara penyebab kenaikan harga ikan temenung.

Jelas Azman, perkara ini menyebabkan kos nelayan untuk keluar ke laut meningkat dan adakalanya mencecah RM400 untuk sekali keluar ke laut.

Seorang pelanggan yang ditemui wartawan Malaysiaaktif, Hasnah Abdullah, 53, memberitahu pelanggan menjadi berbelah bagi untuk membeli ikan ini dan terpaksa melupakan hasrat membeli kerana harganya yang terlalu mahal.

Hasnah turut mendesak agar pihak berwajib dapat memantau kenaikan harga barangan yang pada ketika ini dilihat tidak masuk akal.

Harga ikan kembung dijangka akan kembali turun selepas ini selepas cuaca di laut semakin baik menjelang bulan Mac atau April ini.

– AH

Tinggalkan komen anda