Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurWilayah Persekutuan

Pesakit Barah Tambah Pendapatan Secara Dalam Talian

By 20 Februari 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan oleh : Mazlina Abdul Aziz / Foto oleh : Elyas Hisyam Mat Zin

KUALA LUMPUR, 20 Februari 2017 (Malaysiaaktif) – Pesakit barah kini mempunyai alternatif kepada bantuan kewangan khususnya bagi mereka yang bercuti panjang atau berhenti kerja bagi menjalani rawatan dan pemulihan.

Demikian dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Datuk S.Subramaniam melalui pelancaran ‘Cancefly Employment Portal & Canbazaar HKL 2017’ kerjasama di antara Cancerfly Networks dan Jabatan Radioaktif & Onkologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.

“Program ini memberi peluang kepada pesakit barah menjana ekonomi kerana ada dalam kalangan mereka terpaksa mengambil cuti panjang dan berhenti semasa mendapatkan rawatan kemoterapi dan radioterapi.”

WhatsApp Image 2017-02-20 at 4.19.20 PM

Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri S.Subramaniam semasa menyampaikan ucapan perasmian ‘Cancefly Employment Portal & Canbazaar HKL 2017’

Jelas Datuk Seri Subramaniam lagi, portal ini merupakan satu anjakan paradigma baharu dalam usaha membantu pesakit barah ke arah proses pemulihan dan memastikan pesakit boleh kembali ke dalam masyarakat dan mempamerkan produktiviti.

Seorang pesakit barah yang ditemui, Karumah a/p Karupusamy, 58 tahun, merasa gembira kerana diberi peluang untuk berniaga melalui medium perniagaan yang mudah dan tidak melibatkan kos operasi yang tinggi.

WhatsApp Image 2017-02-20 at 4.19.49 PM

Karumah a/p Karupusamy, 58 bersama produk marukunya.

“Program ini dapat menjana pendapatan saya sebagai seorang suri rumah. Saya dapat mempromosikan produk maruku di portal yang telah disediakan,” ujarnya yang sedang menjalani rawatan kemoterapi bagi barah payudara.

Bagi Zuraidah Mohd Noor, 38 tahun, beliau perlukan sesuatu untuk mengisi masa lapang semasa bercuti bagi mendapatkan rawatan dan berniaga kecil-kecilan sebagai motivasi melawan penyakit barah payudara yang dihidapinya

“Saya merasa gembira kerana inilah satu-satunya peluang untuk saya menambah pendapatan keluarga dengan menjual produk sambal goreng garing dan pes tomyam,” kata Zuraidah yang juga merupakan seorang guru.

WhatsApp Image 2017-02-20 at 4.20.17 PM

‘Sambal goreng pedas dan pes tomyam antara produk terlaris’ – Zuraidah Mohd Noor, 38

Cancerfly Networks adalah satu ‘social enterprise’ yang ditubuhkan dengan misi untuk membantu pesakit kanser di Malaysia agar lebih stabil dari segi kewangan melalui portal pekerjaan www.cancerfly.com sebagai web pengiklanan produk dan perkhidmatan mereka kepada orang ramai.

Seramai 25 orang pesakit barah telah berpeluang mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka kepada orang ramai semasa pelancaran.

Syarikat korporat seperti McDonald dan Prudential Bank Simpanan Nasional (BSN) mengambil bahagian dengan menawarkan sesi temu duga untuk pengambilan pekerja baru dalam kalangan pesakit barah berkhidmat di syarikat mereka

Turut hadir sama semasa pelancaran ialah Pengarah HKL, Datuk Dr Zaininah Mohd Zain.

 

-MSM

Tinggalkan komen anda