Skip to main content
Berita TempatanHomeLabuanWilayah Persekutuan

Kelong Lubuk Temiang Destinasi Bajet Kaki Pancing

By 27 Februari 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Oleh Mohd Faizal Mansor / Foto: Roziman Mahmuddin

LABUAN, 27 Feb (Malaysiaaktif) – Kampung Lubuk Temiang memang tidak asing lagi bagi kaki pancing di sini untuk mengisi masa lapang terutamanya ketika cuti hujung minggu.

Untuk mereka yang ‘gila memancing’ di kawasan laut, biasanya akan menaiki bot sewa khas yang memakan masa beberapa hari bagi menjalankan aktiviti memancing selain memilih kolam ataupun sungai-sungai.

Namun, ada juga kaki pancing yang memilih kelong walaupun ia terletak beberapa ratus meter dari pantai untuk melepaskan ‘gian’ melayan joran.

DSC_0282

Inilah rumah kelong Kampung Lubok Temiang yang menjadi tarikan kaki pancing.

Terletak di luar Pantai Kampung Lubuk Temiang yang berjarak kira-kira 12 kilometer dari bandar Labuan, kelong memancing yang diusahakan oleh Abdul Aziz Mohamad, 39, sejak September lalu boleh dilihat kira-kira 800 meter dari persisiran pantai.

Menariknya, caj yang dikenakan bagi seorang kaki pancing ialah sebanyak RM20 dan tambahan RM5 bagi setiap tambahan joran pancing selama enam jam memancing di kelong tersebut.

Menurut Abdul Aziz, kelong tersebut boleh menempatkan seramai 15 orang kaki pancing dalam satu-satu masa di samping ruangan khas bagi mereka yang membawa rakan-rakan mahupun ahli keluarga yang tidak memancing.

DSC_0353

Pengusaha kelong Lubuk Temiang, Abdul Aziz (kanan) dan Nordin (tengah) ketika ditemu bual.

“Tercetusnya idea untuk mendirikan kelong tersebut adalah dari kawan-kawan yang mempunyai hobi memancing yang mencadangkan agar saya mendirikan kelong memancing kerana ada sesetengah kaki pancing yang mabuk laut sekiranya menaiki bot untuk memancing ikan,” jelasnya.

Jadi, dengan modal sendiri lebih kurang RM30 ribu, Abdul Aziz yang dibantu enam orang pembantu memulakan pembinaan rumah kelong yang berkeluasan 70 x 20 kaki lebar tersebut pada bulan Mei tahun lalu dan mengambil masa lebih kurang tiga bulan untuk menyiapkannya.

“Alhamdullilah, berkat usaha selama ini, kelong ini mampu menjana pendapatan sebanyak RM4 ribu semenjak ianya dibuka yang mampu dimanfaatkan oleh kami sekeluarga.

DSC_0289

Kaki pancing membanjiri rumah kelong Lubuk Temiang.

“Setakat ini saya hanya mempromosikan kelong memancing ikan tersebut melalui media sosial seperti Facebook dan aplikasi Whatsapp dan berharap satu hari nanti kelong ini akan menjadi salah satu tarikan pengunjung di Kampung Lubuk Temiang,” jelas Abdul Aziz.

Salah seorang pekerjanya, Hadzkhan Abd. Karim, 29, bertanggungjawab membawa pengunjung ke kelong tersebut dengan menaiki perahu enjin dari pantai.

“Pelbagai jenis ikan seperti ikan kerapu, ikan putih, ikan pari, ikan tambak, sotong dan lain-lain lagi jenis ikan yang mudah dipancing di kelong tersebut merupakan faktor para pengunjung semakin ramai memancing di sana di samping caj memancing yang dikenakan amatlah murah,” kata Hadzkhan.

DSC_0294

Pemandancan indah di pelantar kelong Lubuk Temiang menanti kaki pancing dan juga mereka yang tidak memancing.

Ujarnya lagi, kelong tersebut turut sesuai dijadikan aktiviti-aktiviti santai seperti majlis barbeku bagi mereka yang membawa keluarga bercuti di kelong tersebut.

“Kelong itu juga dilengkapi dengan tandas, dapur, dan tangki tadahan yang boleh digunakan oleh pengunjung tanpa sebarang caj,” jelasnya.

Menurut Ketua Kampung Lubok Temiang, Nordin Ahmad, 51, selain kampung tersebut menjadi lokasi pendaratan ikan di Labuan, dia turut bersyukur kerana dengan adanya kelong tersebut, bakal menjadi daya tarikan pelancong ke kampungnya.

Nordin yang juga Pengerusi Komuniti 1Malaysia Zon 1 Lubok Temiang dan Batu Manikar amat berbangga dengan kegigihan dan usaha Abdul Aziz dalam mengusahakan kelong tersebut menggunakan duit sendiri.

unnamed

“Ini akan menarik minat generasi muda di kampung tersebut agar menceburi bidang perniagaan tidak kiralah dalam bidang eko-pelancongan mahupun usaha tani,” tambah Nordin.

Menurut Pengarah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Labuan,  Vinson Embaran (gambar kecil), pihaknya amat mengalu-alukan industri kelong sebagai salah satu lagi cabang bagi menarik para pelancong untuk datang ke Labuan.

“Walaupun ia dianggap baru di pulau ini, namun, saya berharap agar lebih ramai usahawan-usahawan kelong akan bertambah di Labuan ini.

“Pihak MOTAC Labuan sendiri telah dan akan membantu dari  segi mempromosikan kelong Lubok Temiang ke media-media sosial serta menguar-uarkan kepada para pelancong dari dalam dan luar negara yang berkunjung ke Labuan,” tambah Vinson.

 

 

-DZ

Tinggalkan komen anda