Skip to main content
Berita TempatanHomeLabuanWilayah Persekutuan

Labuan Go Green: Tangani Masalah Kurang Bekalan Kelapa

By 3 Mac 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh Faizal Mansor / Foto: Taulani Hamzah

LABUAN, 3 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 800 keluarga dari 27 buah kampung di Wilayah Persekutuan Labuan menyertai Program Labuan Go Green yang dianjurkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bersempena  Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2017 pada Ahad.

Menurut Ketua Kampung Lajau, Mohammad Jakop, 55, usaha KWP melalui program ‘Go Green’ ini akan memberi manfaat kepada para penduduk di kampungnya kerana sebanyak 500 anak benih kelapa diagihkan kepada setiap rumah di kampung Lajau.

“Melalui usaha tersebut, ia mampu menyelesaikan kekurangan bekalan kelapa di Pulau Labuan kerana anak benih tersebut mampu menuaikan hasil dalam tempoh tiga tahun,” ujar Mohammad.

Ku Nan

Mohammad Jakop (kanan) menerima benih pokok kelapa daripada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Bagi Faizal Lakat, 39, dia memuji usaha kerajaan yang sentiasa memikirkan bagaimana untuk mengurangkan kos hidup yang semakin tinggi pada masa sekarang.

“Langkah berbakti kepada tanah yang diserapkan dalam program tersebut merupakan langkah yang bijak bagi mendorong warga Labuan menanam pokok kelapa atau buah-buahan lain yang bermanfaat,” katanya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor turut hadir merasmikan program tersebut serta mengagihkan lebih 1,000 benih pokok kelapa matang dan kelapa pandan kepada penduduk Kampung Lajau dan Kampung Bukit Kuda untuk ditanam dalam kawasan perumahan masing-masing.

Menurut Tengku Adnan, program ini merupakan salah satu langkah awal kementeriannya untuk mengurangkan beban rakyat Labuan dari segi mendapatkan bahan-bahan komoditi hasil pertanian seperti kelapa parut dan santan yang dijual pada harga yang mahal.

Faizal

Faizal Lakat, puji inisiatif kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat di Labuan.

“Penanaman pokok kelapa ini juga akan dilaksanakan di kawasan tanah kosong untuk kegunaan bersama bagi penduduk kampung yang mempunyai kekangan dari segi kawasan tanah di halaman rumah mereka,” ketika merasmikan program tersebut di Kampung Lajau, di sini.

Tambahnya, program ini juga dibiayai oleh kementeriannnya dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan Jabatan Pertanian Sabah yang memberikan khidmat nasihat mengenai penanaman dan penjagaan pokok kelapa kepada penduduk yang terlibat.

Adnan turut berharap agar program tersebut dapat membantu menangani masalah kos sara hidup yang tinggi di Labuan.

“Program yang dilaksanakan ini akan memberikan pulangan kepada penduduk kampung dalam tempoh tiga tahun akan datang apabila ia mula mengeluarkan hasil tanpa perlu membeli dengan harga yang tinggi,” katanya.

Turut hadir, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Haji Isli dan Senator Dewan Negara Labuan, Datuk Yunus Kurus.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda