Skip to main content
Berita TempatanSabah

Hadiah Untuk Ibu, Ayah – Pelajar Cemerlang STPM

By 10 Mac 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan & Foto: Abdul Aziz Ghani (Sabah)

KUNAK, 10 Mac (Malaysiaktif) – Jasa pengorbanan ibu dan ayah tiada nilainya,tiada insan yang ingin dilahirkan serba kemiskinan, namun hidup dalam kalangan masyarakat berstatus miskin tidak pernah mematahkan semangat seorang anak buruh untuk mengecap kejayaan.

Walaupun keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) telah seminggu diumumkan, Effa Rizan Nanang, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kunak terus menjadi bualan mulut para pendidik di sekolahnya.

Effa Rizan Nanang.

Effa Rizan Nanang.

Kejayaan Effa terlalu manis untuk tidak diperkatakan kerana kejayaan memperoleh gred purata 4.00 menjadikannya antara pelajar terbaik di daerah tersebut.

Kecemerlangan ini bukan suatu yang mudah diperoleh maka wajar dihargai sebagai pembakar semangat kepada bakal pelajar yang akan menduduki peperiksaan tersebut tahun ini.

Effa menjelaskan kejayaan ini berkat doa dan sokongan kedua-dua ibu bapanya yang tidak pernah jemu mengajarnya erti berusaha.

“Ayah dan ibu ialah inspirasi sebenar saya. Kesusahan hidup seharian membakar semangat saya untuk memberikan yang terbaik kepada kedua-dua ibu bapa yang bersusah payah mencari rezeki tanpa kenal erti penat berkerja. Hanya satu sahaja yang boleh membahagiakan mereka dengan memperoleh keputusan terbaik,” katanya ketika Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan di sekolah terbabit pada Isnin.

“Tiada apa-apa yang dapat saya katakan lagi hanya syukur kepada Ilahi atas pemberian nilai kegembiraan yang tidak mampu saya luahkan dengan perkataan hanya perasaan syukur, gembira dan hiba, Ini ialah hadiah untuk ibu dan ayah.

Effa juga berharap hasil kejayaan yang diperoleh ini membuka ruang untuknya melanjutkan pelajaran ke universiti awam di negeri ini.

“Memang terlintas di hati ingin terus belajar hingga ke institut pengajian tinggi tetapi bergantung kepada kemampuan kami jika ada rezeki insya-Allah,” jelasnya.

Effa yang berminat dan bercita-cita agar dapat menceburi bidang perguruan sejak di bangku sekolah rendah lagi berharap mampu dicapai kerana bidang perguruan banyak memberi motivasi kepada dirinya untuk terus berusaha.

“Semoga dengan kejayaan ini dapat memberi motivasi kepada adik-adik yang masih bersekolah di sekolah yang sama dan terus berusaha untuk kejayaan sekeluarga,” ujarnya anak kedua daripada tiga beradik yang hidup dalam keluarga sederhana dengan ayah yang berkerja sebagai buruh kasar dan ibu seorang suri rumah.

effa2

Effa menerima sijil pelajar cemerlang daripada wakil Pejabat Pendidikan.

Sementara itu, ayah Effa, Nanang Nermawi, 40-an, berkata dia tiada pelajaran tinggi yang mampu mengajar dan hanya berdoa dan berserah kepada Ilahi agar mempermudah kejayaan anaknya ketika menduduki peperiksaan

“Saya tidak menyangka Effa mampu peroleh keputusan tersebut. Namun saya lihat tingkah lakunya yang dilihat fokus dan tekun belajar.

“Effa sering meminta kebenaran untuk pergi ke perpustakaan atau ke Pusat Maklumat Rakyat, Jabatan Penerangan Kunak sebab boleh melayari Internet percuma sebagai sebahagian daripada usahanya mencari rujukan.

“Apa pun yang dilakukannya saya redakan saja kerana saya tidak mampu memberi pelbagai kemudahan seperti anak orang lain yang mempunyai kemudahan komputer, cuma doa sahaja yang mengiringi usahanya,” ujarnya yang ditemani isterinya Mariani Abdullah.

Dalam pada itu, guru, Siti Sundari Mukson Hadi berkata Effa merupakan seorang pelajar yang agak pemalu tetapi suka bertanya selain aktif dalam kegiatan kokurikulum.

“Atas sikap yang suka memahami setiap perkara terutama dalam mata pelajaran selain memiliki sikap rajin dan bersungguh-sungguh apabila membuat sesuatu perkara, memberikannya kelebihan.

“Selaku guru saya meletakkan keyakinan tinggi bahawa Effa boleh berjaya jika sokongan dan dorongan terus diberikan berikutan sikapnya yang tidak pernah berputus asa,” katanya.

Effa diumumkan pelajar terbaik STPM seluruh daerah Kunak selain turut menerima pengiktirafan sebagai antara pelajar cemerlang STPM Sabah selepas memperoleh 4 (P) dengan gred purata 4.00. Kejayaan Effa ini turut diiringi seorang lagi rakannya, Masyitah Karate.

Kejayaan pencapaian STPM tahun ini meletakkan Sekolah Menengah Kebangsaan Kunak sebagai sekolah yang cemerlang dengan pencapaian lulus pada 2015 dengan peratusan 97 peratus kepada 100 % pada 2016.

-SF

Tinggalkan komen anda