Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Kereta Api Simpan Sejarah Permulaan Ekonomi Sabah

By 10 Mac 2017Tiada komen3 minit bacaan
Oleh Asmidar Zainol / Foto: Shahvian Muhammad Razali (Sabah)

KOTA KINABALU, 10 Mac (Malaysiaktif) – Sejarah bermulanya perkhidmatan kereta api Sabah seharusnya lebih dihayati oleh setiap lapisan masyarakat kerana di sinilah bermulanya perkembangan ekonomi Sabah ketika itu.

Perkhidmatan kereta api pertama yang bermula pada 1896, menghubungkan Bukau ke Weston sepanjang 37 kilometer seterusnya dari Beaufort ke Melalap sepanjang 65 kilometer banyak meninggalkan sejarah penting kepada negeri ini.

Keputusan kerajaan negeri untuk menjadikan Stesen Kereta Api Melalap sebagai tapak warisan sejarah lewat akhir tahun ini disambut baik penduduk di negeri ini.

Perasmian Galeri Kereta Api di Muzium negeri semalam, memberi keterujaan kepada para pelajar dari Sekolah Rendah Kebangsaan Sacred Heart yang dijemput bagi menyaksikan hari bersejarah tersebut.

RASMI... Kamarlin (tengah) menandatangani plak sebagai merasmikan Galeri Pameran Kereta Api pagi tadi.

RASMI… Kamarlin (tengah) menandatangani plak sebagai merasmikan Galeri Pameran Kereta Api pagi tadi.

Pengalaman kali pertama melihat kepala gerabak kereta api, mencetuskan rasa gembira dalam kalangan pelajar.

Dua pelajar sekolah berkenaan, Evan Joel Edger dan Micah Diego berkata, peluang yang diberikan oleh guru mereka, Syamilah Ezzati Elias untuk bersama-sama menyertai lawatan berkenaan amat dihargai.

“Kami amat gembira dan teruja dapat menyaksikan kepala kereta api yang dipamerkan di galeri ini di samping melihat gambar-gambar sejarah awal pembinaan landasan kereta api dan video-video tentang perkhidmatan kereta api di Sabah.

“Lebih menyeronokkan apabila kami diberi peluang untuk masuk ke dalam gerabak dan kepala kereta api di galeri ini,” ujar mereka gembira.

Sementara itu, guru pengiring, Syamilah berkata pameran tersebut amat menarik dan penuh dengan sejarah menyebabkan para pelajar tidak putus-putus bertanyakan soalan berkenaan peralatan dan bahan-bahan pameran di galeri tersebut.

Syamilah turut menyeru kepada orang ramai untuk datang dan menyaksikan pameran tersebut kerana menarik selain padat dengan maklumat sejarah bermulanya perkhidmatan kereta api di negeri ini.

Pembinaan rangkaian landasan kereta api di negeri ini telah didorong oleh perkembangan permintaan barangan berasaskan getah asli serta tembakau bagi membantu membangunkan lagi industri tersebut yang terdapat di pedalaman seperti di daerah Tenom, Melalap dan Beaufort.

Selain menjadi pengangkutan utama penghantaran hasil tanaman ke pelabuhan di Jesselton (Kota Kinabalu) untuk eksport luar negara, kereta api ketika itu turut menjadi pengangkutan penumpang yang tinggal di sepanjang landasan bagi membawa hasil tanaman seperti beras, sayuran dan buah-buahan untuk dijual di Pekan Tenom dan Beaufort.

Evan (belakang, dua dari kiri) dan Micah (belakang, tiga dari kiri) bersama rakan-rakan bergambar kenangan bersama tetamu kehormat pagi tadi di galeri tersebut.

Evan (belakang, dua dari kiri) dan Micah (belakang, tiga dari kiri) bersama rakan-rakan bergambar kenangan bersama tetamu kehormat.

Dalam pada itu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Kamarlin Ombi berkata pihak Jabatan Muzium Negeri sedang dalam perbincangan untuk menjadikan kawasan Stesen Kereta Api Melalap sebagai tapak sejarah dan seterusnya menjadinya sebagai kawasan pelancongan.

“Saya juga mencadangkan supaya stesen pertama tempat bermulanya pembinaan kereta api, iaitu Bukau turut diwartakan sebagai salah sebuah tapak warisan sejarah Sabah.

“Bukau merupakan lokasi pertama permulaan pembinaan landasan kereta api sebelum merdeka iaitu pada 1896 dan merupakan sesuatu yang amat bermakna kepada penduduk setempat. Oleh yang demikian sekiranya diwartakan, kita harap sebuah galeri kecil akan dibina di sana nanti.

“Walaupun kesan landasan di tapak ini kini sudah tiada lagi, tetapi jika sejarah ini dipakejkan dengan sejarah pekan Weston, pastinya dapat menjadi suatu daya tarikan pelancong baharu untuk berkunjung ke tempat ini,” ujarnya semasa sidang media selepas Majlis Pelancaran Rasmi Galeri Kereta api di Muzium negeri.

Sejarah menceritakan landasan yang siap pada 1906 dari Beaufort ke pelabuhan Jesselton telah mewujudkan bandar di sepanjang laluan tersebut yang semakin berkembang seperti Pekan Membakut, Papar, Kinarut, Putatan dan banyak lagi sebelum perkhidmatan ini terputus akibat perang dunia kedua pada 1945.

-SF

Tinggalkan komen anda