Skip to main content
Berita TempatanSabah

Buta Bukan Penghalang Bergelar Juara Tilawah Al-Quran Sabah

By 13 Mac 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh: Muhammad Khairul Azad Yunus / Foto: Azman Jumat (Sabah)

KOTA KINABALU, 13 Mac (Malaysiaktif) – Dunia yang gelap mula menjadi terang dengan cahaya Al-Quran buat Muhamad Fiqry Muhamad Fahmi, 21.

Fiqry yang buta sejak lahir tidak pernah menyangka minat untuk membaca Al-Quran ketika berusia tujuh tahun akan menjadikannya johan dalam Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ), Peringkat Sabah, pada Jumaat.

Muhamad Fiqry memperdengarkan bacaan Al-Quran kepada hadirin.

Muhamad Fiqry memperdengarkan bacaan Al-Quran kepada hadirin.

Anak muda yang lahir di Kapit, Sarawak dan dibesarkan di Johor mula memasuki pertandingan tilawah Al-Quran ketika berusia 13 tahun dengan membaca Al Quran braille.

Menurutnya, membaca Al-Quran braille mempunyai cabaran tersendiri antaranya dari sudut makhraj atau cara sebutan huruf di dalam Al-Quran.

“Belajar membaca Al-Quran braille memang sedikit mencabar dan memakan masa. Tetapi saya percaya kekurangan bukan penghalang untuk kita belajar.

“Saya ingin membuka mata masyarakat untuk tidak mudah berputus asa kerana setiap yang kita lalui pasti ada cabaran, yang penting kita perlu bersabar dan terus belajar,” kongsinya.

Muhamad Fiqry mengakui sejak mula menjadikan Al-Quran sebagai sahabat, hidupnya lebih tenang dan pintu rezekinya sentiasa luas terbuka.

Menyentuh tentang persediaan yang dilalui, Zikry hanya membuat persediaan selama dua minggu selepas memenangi Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Bahagian Pantai Barat Selatan.

“Insya-Allah untuk peringkat Kebangsaan di Melaka nanti, saya akan membaiki bacaan dari aspek tajwid, fasohah dan tarannum.

“Saya tidak meletakkan harapan tinggi cuma berharap dengan penyertaan saya boleh membuka mata masyarakat untuk mendekatkan diri dengan Al-Quran walau dalam apa-apa keadaan sekali pun,” jelasnya.

Hasil kemenangannya baru-baru ini, Zikry menerima wang tunai RM 6000, piala iringan, sijil penyertaan dan pakej menunaikan Fardu Haji sumbangan Kerajaan Negeri.

Rezekinya tidak terhenti di situ  apabila turut dipilih menyandang gelaran Johan Terbaik MTQ dan menerima wang tunai RM1000 berserta piala iringan.

Zikry yang kini menetap di Kampung halaman ibunya, Kampung Topokon, Tuaran ternyata sudah tidak sabar-sabar untuk menunaikan Fardu Haji dan berhajat membawa ibunya sekali.

Johan kategori Qariah menerima sijil penyertaan daripada Juhar (dua dari kiri)

Johan kategori Qariah menerima sijil penyertaan daripada Juhar (dua dari kiri)

Terdahulu, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, usaha untuk memahami, menghayati dan meneroka khazanah ilmu yang terkandung di dalam Al-Quran tidak harus terhad kepada penganjuran majlis Tilawah sahaja.

“Usaha ini hendaklah digerakkan secara berterusan melalui penerapan budaya pembelajaran sepanjang hayat sama ada secara formal atau pun tidak formal khususnya dalam kalangan generasi muda,” jelasnya.

Tambah Musa, amat penting bagi para ulama, golongan ilmuan dan profesional Islam dalam pelbagai disiplin ilmu untuk berkongsi kepakaran dan bekerjasama dalam usaha penyelidikan terhadap kandungan Al-Quran.

“Langkah ini sejajar dengan usaha Kerajaan untuk memacu kemajuan negeri ke tahap yang lebih tinggi tanpa mengabaikan aspek pembangunan insan dan kerohanian,” katanya.

Terdahulu, umat Islam diajak untuk kembali kepada fundamental ajaran Islam sebenar dalam memelihara dan mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara.

Dalam pada itu, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berkata, prinsip utama fundamental itu ialah mentaati Allah dan Rasul-Nya selain mentaati pemimpin yang berkuasa secara sah menurut undang-undang.

Sanayah Janaid, memperdengarkan bacaannya.

Sanayah Janaid, memperdengarkan bacaannya.

“Jadilah rakyat yang hidup dan berjuang berlandaskan ajaran agama, jangan sesekali hidup dan berjuang dipandu emosi dan nafsu amarah,” ujarnya.

Tun Juhar juga menekankan perlunya perpaduan ummah dijadikan sebagai tonggak kekuatan dan nilai maruah Islam.

“Mutakhir ini wujud gerakan menyemai sentimen perkauman serta menyemarakkan api kebencian di dalam masyarakat.

“Gejala tidak sihat itu digawatkan lagi dengan usaha menjadikan negara kita sebagai sasaran kumpulan pelampau.

“Ancaman anasir jahat bertopengkan aneka pertubuhan bukan kerajaan seolah-olah tidak senang melihat keamanan, keharmonian dan pencapaian negara kita selama ini,” katanya semasa merasmikan Majlis Penutupan Menghafaz dan Tilawah Al/Quran Peringkat Sabah 2017.

Sementara itu, Qari cacat penglihatan, Muhamad Fiqry Muhamad Fahmi, 21, yang mewakili Pantai Barat Selatan berjaya menjadi johan dengan mengumpul sebanyak 90.67 peratus.

Sanayah Janaid mewakili Bahagian Pendalaman Bawah pula berjaya menjadi johan bagi kategori Qariah dengan mengumpulkan markah keseluruhan sebanyak 82.33 peratus.

Johan bagi setiap kategori pertandingan bakal mewakili Sabah ke Majlis Tilawah Al-Quran,Peringkat Kebangsaan di Melaka pada April ini.

SF

Tinggalkan komen anda