Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohorViral

Pidato 1Malaysia Tingkatkan Semangat Patriotisme

By 14 Mac 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan oleh: Hamisah Sumar / Foto: Suhairi Ishak (Tangkak)

TANGKAK, 14 Mac (Malaysiaaktif) – Kira-kira 500 orang awam telah membanjiri pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Ledang, di sini semalam bagi menyaksikan Pertandingan Pidato 1Malaysia Peringkat Negeri Johor Tahun 2017.

Juara pertandingan, Mohd Adam Salam, 29, memandang positif aktiviti-aktiviti yang diadakan dalam bentuk pertandingan seperti ini kerana memberi ruang dan peluang kepada anak muda untuk melontarkan pandangan.

“Dengan penglibatan pelajar-pelajar sekolah dalam program ini sebagai pendengar, ia secara tidak langsung dapat membantu mereka untuk lebih peka tentang isu semasa dan dapat meningkatkan patriotisme anak muda masa kini supaya menjadi modal insan berminda kelas pertama,” katanya.


Kesungguhan Adam yang juga merupakan kakitangan awam dalam mencari maklumat telah membolehkannya menewaskan lapan peserta  lain.

Membawa tema “Negaraku, Disinilah Segalanya”, Adam berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,500, piala dan sijil penyertaan.

Pertandingan yang bertemakan “Negaraku Sehati Sejiwa” ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan kefahaman orang ramai tentang dasar-dasar negara khasnya Gagasan 1Malaysia.

Program anjuran Jabatan Penerangan Johor ini turut diadakan bagi memupuk, menyuburkan, mengukuhkan dan mengekalkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia.


Seorang lagi peserta yang ditemui wartawan Malaysiaaktif, Norsheila Jamaluddin, 28, memberitahu penyertaannya dalam pertandingan pidato 1Malaysia ini adalah untuk mengasah bakat berucap di khalayak ramai.

Norsheila yang juga merupakan askar wataniah negeri Johor berpendapat pertandingan ini dapat meningkatkan semangat kecintaannya terhadap negara.

“Saya sangat berharap supaya semangat patriotisme dapat disemai dalam hati semua rakyat Malaysia terutamanya golongan remaja pada masa kini,” katanya.

Sementara itu, peserta dari Batu Pahat, Hanif Nor Azahar, 25, berharap dapat menyertai pertandingan ini lagi pada masa akan datang.

“Pertandingan Pidato 1Malaysia ini merupakan pertandingan yang pertama kali saya sertai. Walaupun tidak berjaya ke peringkat kebangsaan, namun pertandingan ini dapat memberi pengalaman yang berharga kepada saya untuk dipraktikkan kepada anak-anak murid saya,” jelas Hanif yang merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan Tengku Mariam, Batu Pahat.

Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir M.Asojan  Muniyandy.

Turut hadir, Pengarah Penerangan Johor, Zainudin Ismail.
 – AH

Tinggalkan komen anda