Skip to main content
Berita TempatanSabah

[KEMAS KINI] RM42 Juta Bina Infrastruktur di Pulau Mantanani

By 15 Mac 2017Mac 21st, 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh: Asmidar Zainol / Foto: Abdullah Sani Ariff Lokhman (Sabah)

KOTA BELUD, 15 Mac (Malaysiaktif) – Perjalanan menempuh lautan ombak sejauh 30 minit penduduk di Pulau Mantanani ke Pekan Kota Belud hanya untuk mendapatkan khidmat klinik kesihatan kini berakhir.

Pengumuman pembinaan sebuah klinik kesihatan di pulau tersebut memberi kegembiraan kepada lebih 1000 penduduk Pulau Mantanani yang bakal menikmati arus kemajuan melalui pembangunan infrasturktur yang turut menjadikan pulau tersebut sebagai destinasi terbaharu di Sabah.

Menurut Ketua Kampung, Mohamed Tahir Johan, selama ini penduduk kampung yang mengalami masalah kesihatan terpaksa mengharungi perjalanan yang perit kerana terpaksa dirujuk di klinik berhampiran di Kota Belud.

Mohamed Tahir berharap pembangunan pulau berkenaan dapat meningkatkan taraf ekonomi masyarakat di Pulau Mantanani.

Mohamed Tahir berharap pembangunan pulau berkenaan dapat meningkatkan taraf ekonomi masyarakat di Pulau Mantanani.

“Dengan adanya pembinaan seperti klinik di sini pastinya memudahkan penduduk untuk mendapat rawatan terutama kepada ibu-ibu yang mengandung.

“Selain itu, pembinaan infrastruktur lain yang bakal dinikmati penduduk di sini secara langsung dapat memajukan pulau tersebut serta dapat meningkatkan taraf hidup dan ekonomi masyarakat tempatan.

Jelasnya, pembinaan pembangunan kerajaan untuk menjadikan pulau ini sebagai destinasi pelancongan terkemuka di peringkat antarabangsa adalah tepat kerana akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kampung dan seterusnya membantu dalam menjana pendapatan kami.

“Kami juga akan berusaha membantu pihak kerajaan dalam meningkatkan tahap kebersihan dan memberikan sokongan pembangunan industri pelancongan di Pulau Mantanani ini,” katanya selepas Majlis Perasmian Penyerahan Jentera dan Peralatan Bagi Perkhidmatan Pengurusan dan Pembersihan Sisa Pepejal di pulau tersebut pada Sabtu.

Siti Atim bersyukur dan gembira dengan pengumuman pembinaan klinik kesihatan di pulau terbabit.

Siti Atim bersyukur dan gembira dengan pengumuman pembinaan klinik kesihatan di pulau terbabit.

Sementara itu, suri rumah, Siti Atim Hakim, 60, pengumuman yang dibuat oleh Rahman berkenaan pembinaan klinik kesihatan di pulau tersebut amat dialu-alukan.

“Kami menyambut baik cadangan pihak kerajaan untuk membina klinik kesihatan di pulau ini memandangkan pada masa sekarang belum ada perkhidmatan seumpamanya disediakan di sini.

“Ketika ini, kami terpaksa ke klinik kesihatan di pekan Kota Belud untuk mendapatkan pemeriksaan dan sebagainya yang mengambil masa perjalanan 30 minit menaiki bot meredah lautan.

“Diharapkan dengan adanya klinik kesihatan di sini dapat memberi keselesaan kepada warga kampung dan pelancong-pelancong yang datang ke sini nanti sekiranya memerlukan perkhidmatan tersebut,” jelasnya gembira.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Rahman Dahlan, dalam ucapan perasmiannya mengumumkan peruntukan daripada kerajaan pusat bernilai RM42.85 juta telah disediakan kepada kerajaan tempatan bagi membina pelbagai kemudahan infrastruktur di pulau tersebut.

Tambahnya, antara kemudahan yang bakal dibina seperti Klinik Kesihatan, 100 buah rumah bagi projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT), dua jeti pelancongan di Kota Belud dan Pulau Mantanani.

Rahman mendengar taklimat daripada kontraktor yang bertanggungjawab terhadap pengurusan dan pembersihan sisa pepejal di Pulau Mantanani.

Rahman mendengar taklimat daripada kontraktor yang bertanggungjawab terhadap pengurusan dan pembersihan sisa pepejal di Pulau Mantanani.

“Kerajaan juga telah memperuntukkan bagi pembinaan pasar baharu di Kota Belud, projek naik taraf pasar lama Kota Belud kepada Pusat Kraftangan dan Kebudayaan serta jalan alternatif keluar dari pekan Kota Belud menggunakan Jalan JKR,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kota Belud.

Rahman turut memaklumkan, pembangunan Pulau Mantanani akan terus dipertingkat melalui jalinan kerjasama peringkat Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

“Bila kita meletakkan Pulau Mantanani ini pembangunan khusus sebagai sebuah agenda di peringkat BIMP-EAGA, akan menarik minat agensi-agensi dan urusetia BIMP-EAGA dan juga World Bank, ASEAN Development Bank untuk melabur ke sini.

“Kita telah berbincang dan mereka akan turun ke Pulau Mantanani untuk melihat sama ada pulau ini boleh diangkat matrabatnya sebagai salah satu agenda pembangunan di bawah inisiatif BIMP-EAGA.

“Bila kita bangunankan Pulau Mantanani ini di bawah BIMP-EAGA kita akan dapat publisiti di Filipina,Indonesia dan sebagainya,” jelasnya.

SF

Tinggalkan komen anda