Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurWilayah Persekutuan

Zon Khas Motosikal Diperkenal – DBKL

By 15 Mac 2017Tiada komen2 minit bacaan

Liputan oleh : Mohd Anuar Ibrahim / Foto oleh : Sazaki Abd Rahman

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Malaysiaaktif) – Dalam usaha memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya di ibu kota, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan zon khas motosikal di beberapa lokasi lampu isyarat di sekitar Kuala Lumpur.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin, sebagai tempoh percubaan, tiga buah lokasi utama telah dipilih iaitu persimpangan di antara Jalan Raja ke Jalan Raja Laut, Jalan Tunku Abdul Rahman ke Jalan Raja dan Jalan Raja ke Jalan Tun Perak.

“Inisiatif ini diambil bagi memastikan keselamatan penunggang motosikal agar tidak berhenti dicelah-celah kenderaan di samping dapat menjamin keselamatan pejalan kaki ketika melintas jalan dengan lebih selamat tanpa halangan di lintasan berlampu isyarat,” katanya.

WhatsApp Image 2017-03-15 at 2.45.10 PM

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin (tiga dari kiri) semasa taklimat dan sidang media pelancaran Zon Motosikal Khas DBKL bersama Ketua Pegawai Eksekutif Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan (PEMUDAH), Tan Sri Saw Choo Boon (empat dari kiri) dan Pengerusi PEMUDAH DBKL, Datuk Pardip Kumar Kukreja (dua dari kiri).

Tambah Datuk Seri Mhd Amin, langkah ini merupakan usaha DBKL bagi mengekang berlakunya kesalahan jenayah jalan raya seperti kes ragut dan pecah kenderaan ketika pengguna jalan raya berhenti di kawasan lampu isyarat.

“Berikutan maklum balas positif mengenai kemudahan ini, DBKL akan menambah bilangan zon khas motosikal ini ke beberapa lokasi mengikut jumlah pengguna motosikal dan pejalan kaki yang tinggi di sekitar kawasan segi tiga emas dan pusat bandar.” jelasnya lagi.

Untuk permulaan, DBKL akan mengambil tempoh beberapa bulan bagi mendidik penunggang motosikal agar mematuhi arahan supaya motosikal berhenti di zon khas yang disediakan dan tidak berada di luar zon ketika di lampu isyarat.

Selepas tempoh tersebut tamat, DBKL akan melaksanakan penguatkuasaan saman kepada mereka yang ingkar di mana kompaun yang akan dikenakan sekitar RM50 hingga RM100.

Pelancaran turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan (PEMUDAH), Tan Sri Saw Choo Boon dan  Pengerusi PEMUDAH DBKL, Datuk Pardip Kumar Kukreja,

-MSM

Tinggalkan komen anda