Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Bahaya Radiasi Komunikasi Hanya Khayalan

By 16 Mac 2017Tiada komen3 minit bacaan

Gambar utama: Amanz.my

 

Laporan dan foto oleh: Lim Ann Teck dan Azreen Ahmad

MELAKA, 16 Mac (Malaysiaaktif) – Melaka merupakan sebuah negeri yang kecil. Keluasannya hanya 1,663 kilometer persegi tetapi liputan komunikasi negeri kecil ini masih bermasalah.

Menurut Exco Penerangan Komunikasi dan Koperasi negeri Melaka, Datuk Latiff Tamby Chik, dia kerap menghadapi masalah ‘drop call’ semasa berkomunikasi khususnya di kawasan bandar.

Pengurus Besar Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH), Zainal Abidin Ismail berkata masalah liputan di Melaka tidak serius tetapi bersifat kelompok kerana masalah menara pemancar komunikasi tidak dapat dibina di kawasan-kawasan tertentu akibat mendapat bantahan daripada orang ramai.

Latiff (empat dari kiri) hadir merasmikan Majlis Taklimat dan Penerangan Kesedaran Kepentingan Telekomunikasi Peringkat Negeri Melaka

Exco Penerangan Komunikasi dan Koperasi negeri Melaka, Datuk Latiff Tamby Chik (empat dari kiri) hadir merasmikan Majlis Taklimat dan Penerangan Kesedaran Kepentingan Telekomunikasi Peringkat Negeri Melaka.

“Orang ramai membantah adalah kerana mereka percaya bahawa radiasi komunikasi ini boleh mendatangkan penyakit kanser kepada yang tinggal berdekatan dengan menara pemancar dan terdedah kepada radiasi,” ujarnya.

Oleh itu, bagi menjawab persoalan dan perjelaskan kekeliruan berkaitan perkara itu, MICTH menganjurkan Taklimat Penerangan Kesedaran Radiasi Komunikasi bertempat di Dewan Citra Kasih, Bangunan Hijau Hang Tuah Jaya, Ayer Keroh, di sini, semalam.

MICTH turut menjemput Jabatan Nuklear Malaysia (MINT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberi penjelasan tentang radiasi komunikasi dalam kehidupan harian kepada pemimpin-pemimpin peringkat akar umbi seperti Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN), penghulu, dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Dr. Bidi Ab Hamid, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawal Selia Radiasi Perubatan KKM

Dr. Bidi Ab Hamid, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawal Selia Radiasi Perubatan KKM.

Ketua Penolong Pegawai Kanan, Bahagian Kawal Selia Radiasi Perubatan, KKM, Dr Bidi Ab. Hamid, menjelaskan radiasi komunikasi tidak mendatangkan apa-apa bahaya kepada kita.

“Kajian yang dilaksanakan di negara maju tidak ada sebarang bukti bahawa radiasi komunikasi mendatangkan penyakit kanser kepada manusia.

“Tiada satu pun badan penasihat kesihatan di peringkat nasional atau antarabangsa yang mencadangkan ‘Electro Magnetic Fields’ (EMF) dan menara telekomunikasi dan telefon bimbit boleh menyebabkan kanser.”

Roha Tukimin, Pengurus Bahagian Radiasi Kesihatan dan Keselamatan MOSTI

Roha Tukimin, Pengurus Bahagian Radiasi Kesihatan dan Keselamatan MOSTI.

Manakala, Pengurus Bahagian Radiasi Kesihatan dan Keselamatan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Roha Tukimin, menjelaskan radiasi adalah sesuatu yang tiada rasa, bau dan tidak dapat dilihat, oleh itu, radiasi komunikasi tidak mendatangkan bahaya kepada manusia.

Sementara itu, seorang peserta taklimat, Suhaimi Ahmad, 47, berkata dia pernah terbaca mengenai radiasi komunikasi sebelum ini.

“Saya ada membaca di laman sesawang bahawa menara telekomunikasi memancarkan radiasi dan boleh menyebabkan kanser dalam jangka masa panjang. Namun begitu, saya tidak pasti sejauh mana kesahihah dan kebenaran maklumat yang saya baca itu.

Suhaimi Ahmad, Setiausaha JAPERUN Merlimau

Suhaimi Ahmad, Setiausaha JAPERUN Merlimau.

“Saya berharap program taklimat dan penerangan ini dapat memberi pencerahan kepada saya serta dapat saya berkongsi maklumat yang benar kepada rakan-rakan yang tidak dapat hadir pada hari ini,” ujar Suhaimi yang juga Setiausaha JAPERUN Merlimau itu.

Manakala bagi seorang lagi peserta taklimat, Suriah Muad Hashim, 33, dia juga pada awalnya mempercayai keburukan radiasi komunikasi yang telah tular secara meluas itu.

“Pada mulanya saya juga percaya dan merasa bimbang tentang kesan radiasi kepada manusia yang boleh menyebabkan penyakit kanser tetapi setelah mendengar penerangan wakil dari pihak MCMC dan KKM barulah saya sedar selama ini maklumat yang saya terima ternyata tidak benar sama sekali.

Suriah Muad Hashim, Setiausaha Timbalan EXCO Kerajaan Negeri

Suriah Muad Hashim, Setiausaha Timbalan EXCO Kerajaan Negeri.

“Saya berterima kasih dapat menyertai program ini kerana banyak maklumat yang sangat bermanfaat dapat diperolehi. Saya berharap program taklimat dan penerangan ini diteruskan kepada semua lapisan masyarakat agar tidak terus diselubungi maklumat yang salah dan tidak sahih,” kata Suriah yang merupakan Setiausaha kepada Timbalan EXCO Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-pulau Melaka, Datuk Ghazale Muhamad.

Selain itu, pelajar tahun akhir Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Komputer, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Nursyafawani Roslan, 23, berkata “setiap sesuatu itu pasti ada baik dan buruk tetapi selalu kita lebih tertarik untuk mengetahui keburukan daripada kebaikan.

Nursyafawani Roslan, pelajar tahun akhir Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Komputer dari UTeM

Nursyafawani Roslan, pelajar tahun akhir Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Komputer dari UTeM.

“Tidak tahu saluran yang sewajarnya untuk bertanya juga menyebabkan kita mendapat maklumat yang salah. Samalah macam kesan radiasi ini yang sebenarnya tidak memberi kesan kepada kesihatan. Seharusnya masyarakat lebih berfikiran terbuka dan  jangan cepat melatah dalam menerima setiap perubahan dalam kehidupan.”

 

 

-DZ

Tinggalkan komen anda