Skip to main content
Berita TempatanSabah

28 Etnik Tempatan, Luar Negara Sertai FKAT 2017

By 17 Mac 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj Bulka

TAWAU, 17 Mac (Malaysiaaktif) – 28 etnik tempatan termasuk tiga dari negara luar seperti Indonesia, Thailand dan Filipina menyertai
Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) di hadapan Majlis Perbandaran Tawau bermula hari ini.

Memasuki tahun keenam penganjurannya, FKAT mempamerkan pakaian, permainan dan makanan suku kaum masing-masing.

Sugeng bersama makanan tradisi Jawa Gemblong dan wajik

Sugeng bersama makanan tradisi Jawa Gemblong dan wajik

Menurut Sugeng Haryadi, 61, yang ditemui pagi tadi ini merupakan tahun ketiga bagi Persatuan Jawa mengikuti festival tersebut dan turut membawa busana perkahwinan Jawa bagi memenuhi tema.

“Pada pendapat saya, program sebegini mampu menarik belia menjadi pelapis, seandainya jika kami yang sudah tua ini telah tiada, masih ada yang akan menyambung adat resam budaya Jawa,” katanya.

Sugeng yang menetap di Kongsi 10 berkata sangat perlu memperkenalkan budaya sendiri kepada orang muda supaya tidak pupus, dan dia berbangga anak muda di daerah ini masih sudi memakai blangkon berserta pakaian tradisi etnik Jawa.

Alat muzik yang dimainkan suku kaum Bajau.

Alat muzik yang dimainkan suku kaum Bajau.

“Blangkon ialah tutup kepala yang digunakan lelaki jawa yang diperbuat daripada kain batik. Di sini kami masih memakainya lebih-lebih lagi jika ada perkahwinan dan anak muda juga turut digalakkan untuk memakainya,” ujarnya.

Namun begitu, menurut Sugeng ada pantang larang yang dipandang ringan dan tidak lagi diikuti anak muda sekarang contohnya pemilihan tarikh perkahwinan.

“Orang dahulu akan menjemput ‘primbon’ iaitu orang yang mahir untuk memilih tarikh-tarikh yang baik untuk mengadakan majlis perkahwinan dengan merujuk kepada buku panduan,” jelasnya.

Tetapi, katanya itu bukanlah satu masalah yang besar jika tidak menggunakan khidmat primbon kini, yang penting perjalanan majlis tersebut diadakan mengikut lunas-lunas agama Islam sudah memadai.

Abdul Latif bersama AJK PECOS

Abdul Latif bersama AJK PECOS

Sementara itu, menurut Yang DiPertua (YDP) Persatuan Cocos Sabah (PECOS) Cawangan Tawau Abdul Latif Ghani, program FKAT ini sangat baik untuk perpaduan bangsa dan juga peluang untuk memperkenalkan suku kaum Cocos sendiri yang semakin dilupakan oleh generasi muda kini.

“Tahun lalu apabila FKAT memberikan konsep kepahlawanan, kami ada menyediakan sinopsis tentang asal usul Cocos, bertujuan untuk menepis beberapa artikel yang kurang tepat yang disebarkan di Internet,” katanya.

Menurutnya, bangsa Cocos datang ke Borneo suatu ketika dahulu bukanlah sebagai pendatang tetapi secara sukarela dibawa oleh Pegawai British dari Kepulauan Cocos untuk bekerja dalam sektor perladangan dan membantu dalam peperangan.

Antara tenunan suku kaum Iban

Antara tenunan suku kaum Iban

“Anak-anak muda juga ada yang segan untuk mengenakan busana perkahwinan Cocos di majlis mereka kerana kurangnya pendedahan daripada ibu bapa sendiri. Sangat merugikan kerana kita akan merasa aura yang berbeza jika memakai busana tradisi,” katanya.

Tambah Abdul Latif, semenjak dia dilantik menjadi YDP PECOS, dia banyak melibatkan anak-anak muda dalam setiap program yang diadakan, untuk menarik anak muda daripada bangsa lain juga meminati busana dan budaya tradisi etnik masing-masing.

Dalam pada itu, peniaga muda Noranaz Nasip, 26 yang berniaga makanan ringan di FKAT berkata peluang setahun sekali menghadiri program ini diambilnya untuk berniaga dan juga mengenali etnik-etnik lain di Sabah.

Noranaz di gerai jualannya.

Noranaz di gerai jualannya.

“Dalam program ini saja saya dapat mempelajari budaya bangsa lain dan juga mengetahui cara hidup mereka kerana ada suku kaum yang saya tidak pernah dengar sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, ini merupakan kelebihan masyarakat Malaysia yang bukan sahaja mempunyai pelbagai kaum tetapi bangsa yang perlu dihormati dan difahami antara satu sama lain.

FKAT berlangsung sehingga 19 Mac ini.

SF

Tinggalkan komen anda