Pupuk Generasi Belia Berbudaya Tinggi Hadapi TN50

Feature - Pupuk Generasi Belia Berbudaya Tinggi

 

 Oleh Mohd Faizal Mansor / Foto: Usamah Ibrahim

LABUAN, 20 Mac (Malaysiaaktif) – “Sambutan Hari Sastera yang julung kali diadakan di Wilayah Persekutuan Labuan boleh dilihat menjadi platform untuk mendidik golongan belia berbudaya tinggi.”

Demikian kata Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan ketika Program Wacana Nilai Budi Integriti dan Keselamatan Negara Dalam Sektor Awam dan Swasta sempena Sambutan Hari Sastera Negara Ke-17 2017 di Menara Perbadanan Labuan, pada Jumaat.

“Ini seiring dengan aspirasi kerajaan untuk merealisasikan Transformasi Nasional 2050 (TN50) sebagai satu perubahan yang harus dilaksanakan untuk menuju ke negara maju pada tahun 2050,” ujarnya.

Tambahnya, budi pekerti yang mulia seperti kesopanan, kesantunan, bersahsiah, berakhlak mulia dan juga berkarakter bakal menjadikan gologan belia ini sebagai insan yang boleh memikul pimpinan negara kelak.

Datuk Zainal Abidin sampaikan wacananya 2

Datuk Zainal Abidin ketika menyampaikan wacananya.

“Bak kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Ini adalah kesinambungan peribahasa daripada turun-temurun yang memberikan impak yang besar dalam mendidik anak-anak bukan sahaja untuk menjadi manusia yang berguna bahkan kesopanan dan kesantunan dari segi berbahasa dan menghormati orang yang lebih tua.

“Itulah didikan utama untuk mereka perturunkan pula kepada generasi yang akan datang. Maka, generasi muda mahupun anak-anak kecil perlu dididik tentang sopan santun serta bersahsiah tinggi seperti tidak bongkak dan sombong apabila berjaya di puncak.

“Ini kerana sifat-sifat tersebut telah mula dilupai oleh generasi sekarang yang lebih menerapkan sifat-sifat kemodenan dan pengaruh yang tidak sihat dari negara barat.

“Oleh yang demikian, menepati tema sambutan Hari Sastera ke 17 ini, pelbagai pandangan serta idea-idea dapat dilontarkan dalam membincangkan isu-isu bagi menghadapi cabaran tahun mendatang 2050 sekaligus bukan sahaja meningkatkan minat masyarakat Malaysia terhadap hasil sastera dalam bahasa kebangsaan bahkan menerapkan nilai-nilai murni khususnya kepada generasi belia,” jelas Zainal.

Hari Sastera ke-17 (2017) yang dianjurkan bersama Perbadanan Labuan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan GAPENA menghimpunkan para pengarang, sarjana dan peminat bahasa, sastera dan budaya untuk membincangkan persoalan-persoalan bahasa, sastera dan budaya dalam tema-tema tertentu yang bersesuaian dengan keadaan semasa.

Para panel terdiri daripada Anuar Ahmad (Institut Integriti Malaysia) dan Datin Zalena Mohd Ariffin (PDRM, Bukit Aman) dan Ketua Dua Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (Perwila), Sahar Misron bertindak sebagai moderator.

Responden Mazlin Mohamad

Mazlin Mohamad

Menurut salah seorang peserta, Mazlin Mohamad, 35, program tersebut amat berguna khususnya kepada golongan belia kerana zaman sekarang golongan tersebut mula melupai khazanah sastera dan budaya seni khususnya bagi masyarakat Melayu.

“Platform ini boleh juga dijadikan wacana dalam membincangkan isu-isu sastera dan budaya kerana aspek sastera itu amatlah besar yang mencakupi pelbagai bidang dan banyak input-input boleh dibincangkan,” ujarnya yang merupakan penjawat awam.

Manakala bagi Salmi Mohammad, 39, tajuk budi bahasa yang diutarakan oleh Datuk Zainal amat relevan sekali dengan situasi sekarang.

“Golongan belia sekarang telah banyak rosak dari segi adab pekerti, kita dapat lihat seperti aktiviti di sekolah serta vandalisme semakin menular ketika ini. Oleh itu, penerapan nilai-nilai murni terhadap mereka di sekolah-sekolah amatlah perlu agar ia tidak akan  memudaratkan generasi yang akan datang,” ujar Salmi.

 

-DZ/AAS
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *