Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Inkubator Usahawan Muda Platform Belia Mula Perniagaan

By 20 Mac 2017Tiada komen2 minit bacaan

 Laporan oleh: Nor Adilah Abdullah / Foto: Suhairi Ishak (Johor Baru)

Johor Bahru, 20 Mac (Malaysiaaktif) – Bagi membantu masyarakat Melayu khususnya golongan muda yang baharu melibatkan diri dalam bidang perniagaan, anak syarikat milik kerajaan negeri, Perbadanan Islam Johor Holding (PIJH) telah memperluas program inkubator melalui penyediaan ruang perniagaan dengan kadar sewa yang rendah.

Sebelum ini, usahawan-usahawan muda yang ingin melibatkan diri dalam bidang perniagaan sering berdepan dengan pelbagai masalah seperti ketiadaan tapak perniagaan kerana tidak mampu menyewa ruang pejabat dengan kadar sewa yang tinggi.

Seorang peniaga yang ditemui wartawan Malaysiaaktif, Noradlin Nordin, 32, meluahkan rasa terima kasihnya kepada kerajaan kerana membantu peniaga sepertinya yang sebelum ini hanya mengusahakan perkhidmatan hiasan pelamin bajet dan lukisan henna tangan di rumah.

Jelas Noradlin, kadar sewaan ruang niaga yang tinggi di kedai-kedai yang lain membuatkannya memilih untuk berniaga di rumah walaupun risau dengan keselamatan keluarga kerana pelanggan yang datang tidak diketahui latar belakang peribadi.

“Selepas saya pindah ke sini, perniagaan saya semakin dikenali dan saya tidak perlu risau akan keselamatan keluarga dan pelanggan semakin mempercayai perkhidmatan yang saya berikan kerana saya mempunyai bukti yang saya ada kedai untuk mereka datang dan melihat sendiri contoh pelamin dan lukisan henna,” kata Noradlin yang hampir dua bulan menyewa ruang niaga di sini.

Noradlin Nordin, menjalankan perkhidmatan hiasan pelamin bajet dan lukisan henna

Noradlin Nordin, menjalankan perkhidmatan hiasan pelamin bajet dan lukisan henna

Berkongsi pendapat yang sama, seorang lagi peniaga, Bahrin, 35 berkata projek inkubator adalah bagus sebagai pemberi semangat kepada peniaga-peniaga melayu sepertinya yang tidak mampu menyewa ruang pejabat yang mahal.

“Ruang dan kelengkapan yang ada ini akan saya gunakan untuk mengembangkan perniagaan saya dan bertemu dengan pelanggan lebih selesa. Sebelum ini saya hanya menjalankan perniagaan dengan berjumpa pelanggan di kedai-kedai mamak sahaja,” katanya yang menjalankan perkhidmatan hiasan selama hampir empat tahun.

Tambah Bahrin, dia berharap projek inkubator ini akan lebih banyak dibangunkan lagi untuk membantu usahawan yang baru memulakan perniagaan.

Bahrin, menjalankan perkhidmatan hiasan dalam rumah dan pejabat

Bahrin, menjalankan perkhidmatan hiasan dalam rumah dan pejabat

Menurut Pengurus Pembangunan Kanan (PIJH), Azizi Redza Zainal, setiap usahawan yang menyertai program berkenaan diberi tempoh selama tiga tahun untuk menyewa di kawasan yang disediakan sebelum disewakan kepada usahawan baru yang lain.

“Taman Bukit Dahlia ini adalah tapak yang pertama dibangunkan dan telah disiapkan dalam tempoh enam bulan yang mampu menempatkan 18 ruang pejabat dengan kadar sewaan serendah RM300 sebulan yang dihadkan bagi tempoh tiga tahun.

“Binaan ruang pejabat ini adalah menggunakan kabin kontena bersaiz 8 kaki x 20 kaki dengan kelengkapan peralatan asas pejabat seperti kerusi dan meja dengan kos RM1.5 juta ” katanya.

Deretan ruang pejabat atau kedai

Majlis Penyerahan Kunci, Surat Tawaran dan Kunci Inkubator PIJ Taman Bukit Dahlia ini telah disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Khaled Mohamed Nordin, pada 3 Februari lalu.

Selain Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang inkubator ini telah dibina di Pengerang, Bandar Baru Uda dan akan datang di Muar.

– AH

Tinggalkan komen anda