Pelajar Lemah Buat Kejutan Jadi Pelajar Terbaik SPM 2016

IMG_2192

 

Oleh: Tseu Chung Yee, Feziena Rajasmi, Matfazly Mat Kasim, Petrick Benedict Chiam & Dearjoland Denis Sitampek / Foto: Hendry Nurdin & Md. Yusrie Othman (Sabah)

KENINGAU, 20 Mac (Malaysiaktif) – Walaupun tidak diletakkan harapan tinggi, dikategorikan pula sebagai seorang pelajar lemah, namun situasi tersebut sebenarnya memberi motivasi kepada seorang pelajar lemah mencabar kemampuan diri untuk berjaya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Keningau II yang dikategorikan sebagai pelajar yang ‘Lemah’ berjaya membuka mata mencipta kejutan apabila bergelar pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 di sekolah terbabit.

Adzrul Danin@ Mohd Faiz, 18, pelajar aliran Sains Tulen mencatatkan keputusan 9A 3B berkata, amat terkejut dengan keputusan tersebut kerana tidak mengharapkan keputusan sedemikian namun sangat bersyukur.

“Saya sering merasa tercabar apabila sedar kemampuan diri tidak diletakkan harapan tinggi pihak sekolah kerana tergolong dalam kalangan pelajar lemah.

“Namun, diletakkan dalam kalangan lemah langsung tidak mematahkan semangat saya untuk berjaya dan membuktikan bahawa saya juga boleh berjaya.

“Pemilihan waktu belajar yang sesuai dan bijak membahagikan masa belajar pada waktu petang dan malam menjadi kunci kejayaan kecemerlangan.

“Dengan cara ini, saya dapat mengelakkan daripada belajar ketika penat dan lemah kerana akan menyukarkan proses pembelajaran saya,” katanya semasa ditemu bual selepas mengambil keputusan SPM pada Khamis.

Adzul turut berkongsi hasrat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan turut memaklumkan cabaran untuk menjadi yang terbaik benar-benar merubah rutin pembelajarannya dan pemikirannya untuk terus berjaya.

“Ibu bapa saya sering memberikan sokongan penuh dan tidak terlalu memaksa saya untuk memperoleh keputusan yang cemerlang.

“Ini membuatkan saya tidak rasa tertekan menyebabkan saya lebih fokus dan yakin mampu memperoleh keputusan yang cemerlang,” ujarnya.

Pengetua SMK Keningau II, Joanes Onson
Sementara itu, Pengetua SMK Keningau II, Joanes Onson berkata dahulu Adzul memang seorang pelajar yang sedikit lemah dalam beberapa subjek.

“Namun dia telah berjaya membuktikan kepada guru dan rakan sekolah bahawa kerja keras dan usaha gigihnya membuahkan hasil yang membanggakan.

“Pihak sekolah amat berbangga dengan pencapaiannya dan berharap agar lebih ramai pelajar mengikut jejak beliau selepas ini” katanya.

Dalam pada itu, bagi Ess Natasha Darius dari Sekolah Menengah Kebangsaan Beaufort yang memperoleh keputusan 10A menganggap kejayaan ini ialah hasil dorongan daripada kehidupan keluarga yang susah.

Ess Natasha Darius dari Sekolah Menengah Kebangsaan Beaufort.

Ess Natasha Darius dari Sekolah Menengah Kebangsaan Beaufort.

“Melihat keperitan ibu bapa bekerja mencari kewangan untuk menampung keperluan kami empat beradik membakar semangat saya untuk turut memberi yang terbaik kepada mereka.

“Ayah hanya berkerja sebagai juruteknik di sebuah kilang pemprosesan daging ayam manakala ibu pembantu tadbir. Melihat kegigihan ibu dan ayah ini saya nekad untuk belajar bersungguh-sungguh membantu mengubah taraf kehidupan kami sekeluarga.

“Belajar bersama rakan, sentiasa melakukan ulang kaji dan dua minggu sebelum peperiksaan perhatian lebih kepada mata pelajaran menjadi keutamaan.

Jelasnya ketika ini dia telah membuat permohonan mendapatkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di Malaysian Japanese Higher Education Programme dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.

Berbeza dengan pengalaman kejayaan seorang lagi pelajar pedalaman iaitu Julie Ve Colin yang memperoleh keputusan 6A yang turut dinobatkan antara pelajar terbaik SPM 2016 Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan Tongod.

Julie Ve Colin, SMK Pekan Tongod, Daerah Tongod.

Julie Ve Colin, SMK Pekan Tongod, Daerah Tongod.

Katanya, ini merupakan hari paling gembira dalam hidupnya apabila dimaklumkan merupakan pelajar terbaik SPM 2016 bagi sekolah terbabit.

“Ibu bapa saya ketika ini tidak memiliki pekerjaan tetap sejak khidmat sebagai pembantu rumah kepada seorang guru sekolah diberhentikan disebabkan guru terbabit berpindah ke sekolah lain dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada hasil tanaman padi yang diusahakan sendiri.

“Sepanjang tempoh persekolahan saya tidak pernah memperoleh A dalam apa-apa mata pelajaran. Saya sebelum ini mendapat keputusan gagal pada peperiksaan UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah) dan juga PT3 (Pentaksiran Tingkatan Tiga)

“Apabila ibu bapa saya tiada pekerjaan saya mula menanam impian untuk memperoleh keputusan yang terbaik dan saya mula memaksa diri untuk belajar dengan menempatkan diri di asrama sekolah.

“Apabila saya berjaya masuk ke asrama pada Julai 2016, saya sentiasa fokus pada setiap subjek yang disampaikan guru.

Tambahnya, pelbagai program turut diikuti terutama program Restu Ilmu yang memberikan saya kesedaran untuk terus berjaya.

“Ketika ini saya terpaksa bekerja dahulu bagi membantu kehidupan keluarga selain mengumpul kewangan bagi membiayai pengajian yang akan saya pohon nanti,” ujarnya.

Julie turut menanam impian jika diberi peluang melanjutkan pelajaran nanti dia lebih memilih pengajian dalam bidang fisioterapi atau bidang pelancongan sekiranya berpeluang nanti.

Pengetua SM St Micheal Penampang, Jennifer Asing (kanan) menerima Anugerah Pencapaian Cemerlang SPM bagi sekolah-sekolah seluruh Sabah dari Timbalan Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Dr.Mohamad Kassim Ibrahim.

Pengetua SM St Micheal Penampang, Jennifer Asing (kanan) menerima Anugerah Pencapaian Cemerlang SPM bagi sekolah-sekolah seluruh Sabah

Bagi Sekolah Menengah St Micheal, Penampang kejayaan memperoleh tempat ketiga antara sekolah terbaik seluruh Sabah merupakan suatu pencapaian cemerlang sekolah terbabit.

Pengetua, Jennifer Asing berkata setelah berkhidmat hampir 23 tahun dan memegang jawatan pengetua pada 2015 di sekolah terbabit, keputusan peperiksaan SPM 2016 merupakan suatu pencapaian terbaik sekolah terbabit.

“Sejak berkhidmat 23 tahun, pencapaian SPM 2016 merupakan suatu yang terbaik kerana mendapat tempat ketiga sekolah terbaik seluruh Sabah.

“Saya bersama kakitangan melakukan pelbagai perancangan serta aktiviti untuk mengharungi dugaan peperiksaan SPM 2016. Seawal bulan pertama lagi kami mula menggerakkan aktiviti sama ada mengadakan kelas tambahan, kelas bimbingan dan juga kaunseling.

“Memberi fokus kepada para pelajar lemah seterusnya memberi dorongan bahawa mereka boleh melakukannya.

“Sokongan daripada ibu bapa yang turut meluangkan masa menghantar anak mereka ke kelas tambahan yang diadakan sepanjang tahun tersebut juga banyak memberi keyakinan kepada sekolah untuk mampu menjadi yang terbaik,” jelasnya.

Sekolah Menengah St Micheal, Penampang pula mencatatkan seramai 14 pelajar mendapat semua A dalam mata pelajaran yang diambil, 13 pelajar mendapat 9A, 6 pelajar mendapat 8A, 15 pelajar mendapat 7A, 15 pelajar mendapat 6A, 13 pelajar peroleh 5A, 12 pelajar peroleh 4A dan 6 pelajar mendapat 3A.

Jennifer Asing (empat dari kiri) bersama warga pendidik bergambar bersama para pelajar cemerlang.

Jennifer Asing (empat dari kiri) bersama warga pendidik bergambar bersama para pelajar cemerlang.

Keputusan ini menjadikan gred purata pada 2015 iaitu 2.97 meningkat kepada 2.63 pada tahun ini. Keputusan ini berjaya meletakkan sekolah terbabit memperoleh sekolah cemerlang seluruh Sabah pada 2016.

Sementara itu, keluhan dan kesayuan terhadap pelajar yang kurang bernasib baik turut mendapat perhatian dan lontaran semangat turut diberikan agar terus berusaha kerana kejayaan pasti menjelma selagi berusaha.

Bagi Nur Haliza Abdullah, 42, ibu kepada Mohd Izwan, 17, dari SMK Pekan Tongod turut mengucapkan tahniah kepada yang berjaya dan tetap yakin keputusan kurang bernasib baik diperoleh anaknya bukan penamat untuk tidak berjaya.

Nur Haliza Abdullah bersama anaknya Mohd Izwan.

Nur Haliza Abdullah bersama anaknya Mohd Izwan.

“Kita lihat bagaimana Walt Disney yang suatu ketika dahulu membuang pekerja disebabkan kurang memiliki imaginasi tetapi akhirnya mereka mampu berjaya.

“Begitu juga dengan pelajar yang kurang bernasib baik ini, mungkin mereka berbakat dalam bidang lain seperti sukan atau nyanyian,” ujarnya.

Mohd Izwan berkata dia terima keputusan ini dengan sebaiknya dan tetap yakin bahawa kejayaan akan dia peroleh juga suatu hari nanti.

“Saya berminay dalam bidang masakan dan yakin suatu hari nanti dia pasti dapat mengikuti pengajian masakan di mana-mana institut pengajian tinggi nanti,” ujarnya.

SF

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...