Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Dahulu Roti Canai, Kini Keropok Lekor

By 21 Mac 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan dan foto oleh: Mohd Baharruddin Mohamad (Sarawak)

KUCHING, 21 Mac (Malaysiaaktif) – Resam orang berniaga, kadangkala untung kadangkala rugi. Namun, seperti yang tercatat dalam hadis Riwayat Tirmizi, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “9/10 rezeki itu datang daripada perniagaan.”

Bertitik tolak daripada itu, seorang peniaga Junaidi Kaderi, 32, yang dahulunya pernah akur apabila perniagaan roti canai sejuk bekunya tidak memberi pulangan kini bangkit sebagai pengusaha perniagaan keropok lekor yang berjaya.

“Saya dan isteri, Siti Mas Ayu Sahdan. pada mulanya mengusahakan perniagaan roti canai sejuk beku dengan modal sendiri sebanyak RM3000.

Junaidi menunjukkan keropok lekor yang sudah siap dan sedia untuk dijual

Junaidi menunjukkan keropok lekor yang sudah siap dan sedia untuk dijual

“Ketika itu, banyak masalah seperti pasaran tidak menentu, pulangan modal lambat, pelanggan tidak konsisten dan banyak modal diperlukan untuk tenaga elektrik. Sejak 2010, saya tekad bertukar untuk mengusahakan keropok lekor sejak 2010,” ujarnya yang ditemui pada Ahad.

Junaidi yang terpilih sebagai Ikon Belia Sarawak 2016 itu kini maju dalam perniagaan memproses keropok lekor mentah, D’junai Enterprise di Fasa 2 Tanjong Bundong, Kota Samarahan.

“Perniagaan keropok lekor ini lebih berbaloi, lebih untung dan dijual terus secara tunai di samping tidak perlu dibekukan jika dibuat mengikut permintaan setiap hari. Kebanyakan keropok lekor saya dijual di Samarahan, Simunjan, Serian, Sri Aman dan Kuching.

Gambar keropok lekor yang sudah siap diproses

Gambar keropok lekor yang sudah siap diproses

“Dalam sehari kami dapat memproses sebanyak 500 hingga 900 batang mengikut permintaan pelanggan yang menjadikan pendapatan  kasar RM900 sehari. Harga sebatang ialah RM1 dan jika pelanggan membeli 500 batang ke atas, akan mendapat 50 batang percuma,” ujarnya lagi.

Menyentuh sudut modal, Junaidi dan isteri banyak meminta bantuan selain menyertai seminar anjuran agensi kerajaan yang membantu usahawan desa seperti mereka.

“Untuk projek pertama saya membuat roti canai sejuk beku, saya terima bantuan sebanyak RM15,000 daripada Jabatan Pertanian Sarawak. Ada juga Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) memberi bantuan sebanyak RM20 ribu di bawah Program Industri Desa.

 Isteri Junaid, Siti Mas Ayu Sahdan (kanan)i membantu  Junaidi melayan pelanggan.

Isteri Junaid, Siti Mas Ayu Sahdan (kanan)i membantu Junaidi melayan pelanggan.

“Selain itu, saya pernah menerima bantuan 1Azam sebanyak RM10,000 untuk  bantuan kewangan, peralatan seperti meja dan perkakas lain. Pada masa yang sama isteri saya juga dapat bantuan peralatan daripada Pembangunan Pertanian Bersepadu (AIDA) Kawasan Samarahan berbentuk mesin, kuali, tong gas dan meja.

“Bagi menampung dan menambahkan lagi peralatan saya juga pernah membuat pinjaman daripada TEKUN Nasional sebanyak RM20,000 dan pinjaman tersebut sudah habis dibayar.

“Untuk memantapkan pengetahuan dalam bidang ini, saya pernah  menghadiri pelbagai kursus  seperti Seminar Asas Keusahawan Tekun, Kursus Motivasi dan Pengurusan Perniagaan anjuran SEDC, Kursus Keusahawanan anjuran Jabatan Pertanian Sarawak, dan Seminar Pembangunan usahawanan Bahagian Samarahan anjuran Majlis Pembangunan Usahawanan Bahagian Samahan (MPUB),” ujarnya lagi.

Pelanggan tetap, Shadan Mohidin

Pelanggan tetap, Shadan Mohidin

Bertemakan“sedap bagitahu teman, tak sedap bagitahu tuan’, D’Junai Lekor mendapat sambutan bukan sahaja daripada penggemar keropok lekor malah peniaga sendiri.

“Keropok lekor Junaidi sedap dan berbaloi kerana berharga RM1 sebatang. Setiap hari saya ke sini kerana saya mahu keropok yang masih dalam keadaan yang segar dan baharu,” kata pelanggan tetap Shadan Mohidin, 38, semasa ditemui Malaysia Aktif di tempat memproses di sini kelmarin.

Manakala bagi peniaga Hashim Tani berasal dari Lundu berkata dia membeli lebih daripada 100 batang sehari dan menjual keropok tersebut di pasar malam Batu Kawa, Kuching.

Kini Junaidi mempunyai seramai 16 pekerja yang terdiri daripada ibu tunggal dan warga emas dari sekitar kampung berdekatan Samarahan, bercita-cita untuk membesarkan perniagaan keropok lekornya bukan sahaja di setiap bahagian dalam Sarawak malahan di luar Sarawak.

-SF

Tinggalkan komen anda