Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedahPutrajayaWilayah Persekutuan

Airfish 8, Teknologi Terbaru APMM

By 25 Mac 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Diyana Zamri (Putrajaya)

LANGKAWI, 25 Mac (Malaysiaaktif) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kini dalam perangkaan untuk menambahkan aset berteknologi tinggi terkini dalam armadanya bagi mengukuhkan penguatkuasaan pertahanan perairan negara.

Menurut Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar, APMM kini berkerjasama dengan Universiti Pertahanan Negara Malaysia (UPNM) dan syarikat AS Aero Services untuk membangunkan sebuah kapal ‘Wing-In Ground Effect’, Airfish 8.

“Ia nampak macam pesawat, namun bukan pesawat tetapi bot yang boleh meluncur di atas air. Klasifikasinya, itu masih bot dan oleh sebab reka bentuknya dibina begitu rupa, dengan kelajuan 35 knot ke atas, ia akan terbang di atas permukaan air, dipanggil ‘skimming’ (meluncur) dan dengan itu rintangannya di atas permukaan air itu tidak ada, maknanya ada kusyen udara di antara permukaan air dan juga Airfish ini.

“Dengan teknologi seumpama ini, ia bukan sahaja memberikan kelebihan berbanding dengan bot-bot biasa oleh sebab, pertamanya, ia adalah lebih stabil, tidak mencecah air dan yang keduanya, akan memberikan satu keadaan yang lebih sesuai bagi petugas-petugas yang bertugas di bot seumpama ini,” ujarnya.

KP APMM, Laksamana Maritim Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar.

Kapal Airfish 8 berkemampuan untuk terbang sehingga enam meter di atas permukaan air serta membawa muatan sehingga sebanyak 1,000 kilogram.

“Apabila kelajuan bot ini mencapai 100 knot ke atas, ia boleh pergi ke mana-mana lokasi dengan pantas, dapat menjimatkan lebih separuh masa perjalanan berbanding aset-aset permukaan sedia ada,” jelas Ahmad Puzi.

Dari segi penyelenggaraan, Airfish 8 adalah mudah dikendalikan dan mampu memberikan lebih penjimatan.

“Bot ini mudah dikendalikan kerana enjin yang digunakan ini ialah enjin kereta. Ini ialah sesuatu yang cukup baik kerana salah satu daripada usaha kita ialah kita dapat memperbaikinya dengan kos yang jauh lebih rendah kalau kita menggunakan marin enjin. Jadi, kelebihannya ini tentunya memberikan pulangan yang lebih baik.

“Kalau berlaku pembaikan yang nak dilaksanakan, di bengkel mana-mana sahaja boleh dilakukan. Kita sedang menimbang jenis enjin kereta apa yang harus kita gunakan. Mungkin kita boleh gunakan enjin Proton Perdana dan ini perlu kajian,” katanya lagi.

Dibina daripada material bukan logam, Airfish 8 juga menggunakan teknologi tempatan.

“Kita seboleh-bolehnya akan gunakan alat-alat dan juga materialnya daripada bahan-bahan tempatan. Bagi teknologi terkini, kita pun berkemampuan untuk membina ‘house structure’, ‘wing tip’ dan sebagainya menggunakan tenaga-tenaga dan buruh tempatan. Kita ada kepakaran yang boleh kita ketengahkan lagi dan tentunya ini akan menjadi the state of the art yang akan datang kerana bot-bot seumpama ini memberikan keselesaan,” ujarnya lagi.

Pandu uji Airfish 8

Airfish 8 sedang dipandu uji.

Tambah Ahmad Puzi, APMM juga sedang dalam pembinaan kapal-kapal besar bagi penggunaan jangka masa panjang.

“Kalau untuk pemintasan dan sebagainya, katakanlah radar kita menjejaki sesuatu sasaran, 50-60 batu (nautika) di luar pantai kita, Airfish 8 akan mengambil masa 40 minit untuk berada di situ dan menentukan siapa (berada) di sana.

“Jadi, kalau kita tahu siapa di sana, kalau ia melakukan sesuatu yang bercanggah dengan perundangan negara, harus kita mengambil tindakan yang sewajarnya. Dan tentunya dengan membawa pasukan khas dan sebagainya, saya amat yakin pelaksanaan tugas penguatkuasaan perairan negara itu tentunya dapat dilipatgandakan,” katanya.

Kini, terdapat dua kapal Airfish 8 yang sedang dalam proses pra produksi di Malaysia dan salah satunya telah diterbangkan buat pertama kalinya dari Melaka ke Pulau Langkawi untuk menyertai LIMA’17.

 

 

-AH

Tinggalkan komen anda