Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

WP, N9 Juara Tilawah, Hafaz Al-Quran Kebangsaan 2017

By 10 April 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Nurhasnani Abdul Wahab (Melaka)

 MELAKA, 10 Apr (Malaysiaaktif) – Qari Wilayah Persekutuan, Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad dan qariah dari Negeri Sembilan, Normalina Alias berjaya dinobatkan sebagai johan Tilawah al-Quran pada Majlis Tilawah & Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1438H\2017M.

Wan Fakhrul dan Noramalina masing-masing berjaya mendapat pungutan markah keseluruhan tertinggi dengan 89 peratus dan 86.33 peratus.

Johan Qari ketika memperdengarkan bacaan semula.

Namun, yang mencuri tumpuan rakyat Malaysia ialah qari dari Kelantan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 19, yang berjaya mendapat tempat ketiga dengan markah 87 peratus.

Bacaannya menggunakan Quran Braille yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menarik minat rakyat Malaysia apabila mendapat 591 perkongsian dalam masa sehari.

Qayyim menerima ucapan tahniah selepas majlis penutup berakhir.

“Al-Quran Braille sudah banyak di Malaysia dan peluang mempelajari al-Quran semakin luas jadi sesiapa pun boleh belajar tajwid dan tarannum,” ujar Qayyim yang merupakan peserta qari termuda dalam pertandingan tahun ini.

Melaka buat julung kalinya muncul sebagai Johan Keseluruhan Hafazan dengan kemenangan tempat pertama bagi dua kategori iaitu Hafazan Perempuan Kategori 1-30 Juzuk Beserta Tafsir melalui Nur Amalina Azharudin dan kategori Hafazan Lelaki 1-10 Juzuk Beserta Tarannum oleh Ahmad Luqman Ahmad Zaini.

Tiga lagi peserta hafazan dari Melaka turut diumumkan sebagai pemenang tempat kedua dan ketiga dalam kategori masing-masing iaitu Muhammad Abdullah Azidin dan Dina Hadfina Umarul Hisyam, naib johan bagi kategori 1-30 juzuk berserta tafsir (lelaki) dan kategori 1-10 juzuk beserta tarranum (wanita) manakala Muhd Insamullah Zahidi, tempat ketiga bagi kategori 1-20 juzuk (lelaki).

Sementara itu, Ketua Pengarah JAKIM selaku Pengerusi Jemaah Hakim, Tan Sri Datuk Othman Mustapha berkata mutu bacaan para qari dan qariah dan kualiti hafazan meningkat berbanding tahun-tahun sebelum ini.

KP JAKIM ketika menyampaikan keputusan.

“Di bumi Melaka ini mencatat sejarah apabila dua orang qari kelainan upaya (penglihatan) iaitu dari Sabah dan Kelantan mencetus fenomena di seluruh negara apabila berupaya memperdengarkan bacaan dengan kualiti yang sangat baik.

“Kedua-dua qari telah menggunakan Quran Braile terbitan JAKIM dan ia adalah pertama kali berlaku dalam pertandingan tilawah al-Quran peringkat kebangsaan,” katanya semasa membuat ulasan penutup pertandingan, pada Sabtu.

Pada waktu yang sama, acara tahunan kebangsaan ini turut mencatat sejarah apabila julung kali dianjurkan secara serentak Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Majlis Menghafaz Al-Quran Kebangsaan.

Hadirin yang turut hadir di MTHQK 2017.

Petugas Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Melaka, Mohd Hatta Johari, 29, yang bertugas sepanjang seminggu penganjuran MTHQK 2017 berkata, orang ramai di pelbagai peringkat umur sentiasa memenuhi ruang di dalam dewan serta di dataran yang disediakan khemah untuk pengunjung.

“Saya menjangkakan pada setiap malam lebih seribu orang hadir bagi menyaksikan pertandingan tilawah dan hafazan al-Quran dan saya bersyukur program berjalan dengan baik sehingga malam terakhir ini,” katanya.
MTHQK 2017 yang berlangsung sejak 2 April lalu menutup tirai dengan sejarahnya tersendiri di Dewan Seri Negeri, pada malam Sabtu.

TYT YDP Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob ketika menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang kategori lelaki telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob manakala kategori wanita disampaikan oleh isterinya, Toh Puan Zurina Kassim pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah MTHQK 2017.

Turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda