Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangorViral

Sultan Muhammad V Dimasyhurkan Canselor UiTM

By 16 April 2017Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / foto: Mohamad Zairin Mohamad Zin (Petaling)

SHAH ALAM, 16 Apr – “Beta berasa syukur kerana diberikan kesempatan untuk menabur bakti kepada sebuah institusi pendidikan tinggi yang mempunyai sejarah perjuangan yang cukup panjang,” titah Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V selepas dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-5 bertempat di Dewan Agong Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam semalam.

“Beta berasa amat gembira kerana dapat bersama-sama warga UiTM ketika universiti ini sedang melangkah ke arah merealisasikan hasrat untuk menjadi sebuah universiti yang unggul dan bertaraf dunia menjelang tahun 2020 dan ini perlu disokong dan diterjemahkan agar ia menjadi kenyataan yang bermakna setelah UiTM melalui 60 tahun penubuhannya,” titah baginda lagi.

Sultan Muhammad V semalam dimasyhurkan sebagai Canselor UiTM

Sultan Muhammad V semalam dimasyhurkan sebagai Canselor UiTM

Baginda menzahirkan rasa bangga dengan peranan besar yang dimainkan oleh UiTM dalam melahirkan modal insan Bumiputera yang berkualiti, cemerlang dan terbilang.

Baginda turut menzahirkan keyakinan bahawa UiTM adalah peneraju utama kepada sumber modal insan bumiputera yang menjadi momentum kepada perubahan taraf sosial dan ekonomi di Malaysia.

“Beta percaya jika suatu bangsa ingin mengubah atau berhadapan dengan cabaran dan mahu mengatasi cabaran itu dengan jayanya maka aset yang paling penting adalah sumber manusia berilmu pengetahuan,” titah baginda lagi.

Sultan Muhammad V semalam dimasyhurkan sebagai Canselor UiTM menggantikan Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 12 Disember lepas.

Watikah pemasyhuran telah disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh kepada baginda.

Pemasyhuran baginda sebagai Canselor UiTM yang baru adalah berdasarkan Seksyen 19A(2) Akta Universiti Teknologi Mara 1976 (Akta 173) yang memperuntukkan bahawa Canselor ialah Yang di-Pertuan Agong.

 

-SH

Tinggalkan komen anda