Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantan

Hukum Merokok Dipandang Ringan

By 17 April 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan / foto oleh : Mohd Suhaidi Bin Mat Jusoh (Kota Bharu)

KOTA BHARU, 17 April (Malaysiaktif) – Perbezaan pendapat di kalangan ulama dan mufti di negara ini berhubung dengan pengharaman merokok terus diperkatakan hingga masyarakat memandang ringan perkara tersebut.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana terdapat kemudaratan.

Di Kelantan, tinjauan yang di lima daerah Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat Pasir Puteh dan Gua Musang mendapati semua yang ditemu bual bersetuju dan menyatakan merokok adalah haram kerana wujud kemudaratan kepada tubuh manusia.

Mereka, bagaimana pun, mempersoalkan kenapa fatwa berkenaan tidak dikuatkuasakan secara menyeluruh.

Ini telah membawa kepada keadaan yang semakin serius, terutama apabila membawa kepada penularan tabiat yang semakin serius dalam kalangan anak muda. Ketiadaan penguatkuasaan yang serius juga mengukuhkan lagi tanggapan kononnya merokok cara yang paling berkesan untuk  menghilangkan tekanan.

Seorang kakitangan kerajaan yang juga merupakan perokok tegar, Nik Nazrin Nordin, 26, dari Kampung Kebakat, Tumpat berkata, merokok adalah cara untuk mengembalikan tenaga yang hilang akibat tugas berat di pejabat.

Biarpun diputuskan haram, masih terdapat di kalangan ahli agama yang merokok - Nik Nazrin Nordin

Biarpun diputuskan haram, masih terdapat di kalangan ahli agama yang merokok – Nik Nazrin Nordin

“Ia juga sebagai sumber inspirasi untuk mencetus idea baru dalam meningkatkan mutu kerja. Mengenai fatwa merokok haram, saya tidak kisah kerana melihat sendiri ada tok imam atau tok lebai yang menghisap rokok,” ujarnya.

Daripada jawapan yang diberikan kita dapat merumuskan bahawa contoh yang ditunjukkan oleh sesetengah ulama sebagai model peranan banyak menjadi penyebab kepada gejala anti-sosial ini.

Bagi Imam Muda Masjid Simpangan Tumpat, Dollah Yaacob, merokok jelas haram kerana ada dalil atau nas yang menyebutnya.

Merokok jelas haram kerana ada dalil yang menyebutnya - Dollah Yaacob

Merokok jelas haram kerana ada dalil yang menyebutnya – Dollah Yaacob

“Mengikut Imam Syafie dalam kitab Al-Umm, “jika mereka mengambil sesuatu makanan, minuman atau sesuatu yang dihisap, dihidu atau disedup yang boleh memabukkan, perbuatan itu adalah jelas haram”.

“Dalam Surah Al-Baqarah ayat 195 pula disebutkan “janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil) yang bermaksud jangan kamu melakukan sebab yang menjadi kebinasaan diri mu,” jelasnya lagi.

Pendapat ini disokong oleh Guru Pondok Pasir Tumboh, Kota Bharu, Ustaz Hazri Hisham Abd. Rahman, 48.

Beliau berkata, “merokok adalah haram di sisi Islam kerana Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang memutuskannya haram maka sesiapa yang mengambilnya akan berdosa dan tempatnya di neraka jahanam,” katanya kepada Malaysiaaktif.

 

-SH/AAS

Tinggalkan komen anda