Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala LumpurWilayah Persekutuan

Buku Negara Maslahah Alies Nor Dilancarkan

By 18 April 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan / foto oleh: Halim Aman & Azhar Yazid (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 18 April (Malaysiaaktif) – Didorong kesedaran untuk memberikan wajah baharu dalam sistem politik dan pentadbiran negara, Pengerusi Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Tan Sri Datuk Seri Dr. Alies Anor Abdul telah menulis sebuah buku ilmiah bertajuk ‘Negara Maslahah Dalam Konteks Malaysia’ dengan terbitan bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM ) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM ).

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, buku ini merupakan kajian akademik yang istimewa kerana pendekatan yang dibuat adalah berbeza daripada sebelum ini.

“Buku Negara Maslahah Dalam Konteks Malaysia adalah amat baik dan sesuai dijadikan panduan kepada masyarakat hari ini dan akan datang.

“Negara Maslahah Dalam Pemikiran Politik Al-Ghazali, dunia mengenali Al-Ghazali sebagai pelopor penting dalam bidang Tasawuf, etika sosial dan psikologi pendidikan sebagai acuan utamanya.

“Namun amat sedikit yang mengetahui isi penting Al-Ghazali dalam khazanah intelektual Islam sebagai pengasas politik dan kenegaraan. Malah, amat jarang berlaku perbincangan dan kajian mengenali Al-Ghazali yang khusus dalam soal siasah dan pemikiran politik,” ujar Zahid pada Majlis Pelancaran buku tersebut, di sini semalam.

Melalui bukunya ini, penulis telah telah menelaah fenomena budaya politik Sunni dalam sistem ketatanegaraan Malaysia dan mengaitkan situasi semasa politik negara dengan pemikiran politik falsafah Sunni Imam Al-Ghazali.

“Secara umumnya, buku ini merupakan kajian dan cetusan idea yang ingin diketengahkan kepada khalayak pembaca mengenai kepentingan pemikiran politik Al- Ghazali dalam wacana dan amalan politik di Malaysia,” jelas Zahid lagi.

WhatsApp Image 2017-04-18 at 7.18.21 AM

Timbalan Perdana Menteri menandatangai plak sebagai Gimik Perasmian disaksikan oleh Ahli Parlimen Sg Besar, Tuan Budiman Mohd Zohdi (kiri), Tan Sri Datuk Seri Dr Alies Anor Abdul (tiga dari kanan) dan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar (dua dari kanan).

Buku setebal 266 halaman ini dibahagikan kepada tujuh bab yang turut membincangkan teori umum dan pandangan dalam politik Islam serta latar belakang Al-Ghazali.

Penulisan dalam buku ini turut mencadangkan faktor yang boleh menambahbaik sistem politik dan kekuasaan negara Malaysia ke arah yang lebih sempurna untuk menjadi sebuah negara Maslahah.

Buku dikatakan sesuai untuk dijadikan rujukan sebagai langkah mencungkil pemikiran politik Islam dalam memberikan panduan pemikiran dan amalan bagi pentadbiran sebuah negara.

Gagasan politik moral Al-Ghazali di dalam buku ini tidak hanya tertumpu kepada golongan cendiakawan dan elit politik, malah diperluaskan bagi menjadi ‘santapan’ intelektual yang memberi nikmat kepada masyarakat Islam di negara ini.

Buku ini dijual pada harga RM110.00 senaskhah dan boleh dibeli secara dalam talian melalui www.itbm.com.my atau aplikasi Whatapps ke talian 019-2219015.

 

– AH/AAS

Tinggalkan komen anda