Tabiat Merokok Turut Jejas Ekonomi Negara, Produktiviti

rokokbantah

 

 Laporan / foto oleh Nur Hafif Zainurdin

ALOR GAJAH, 18 Apr (Malaysiaaktif) – Hasil jualan rokok mampu menjana ekonomi negara kerana sistem percukaian terhadap tembakau itu meningkat setiap tahun. Cukai rokok dipungut daripada pengilang rokok atau pengimport rokok.

Terdapat dua struktur cukai yang berbeza ke atas rokok domestik dan import. Cukai eksais dikenakan ke atas rokok keluaran domestik yang dijual di Malaysia, manakala cukai (duti) import dikenakan ke atas rokok yang diimport. Selain itu kedua-dua rokok domestik dan import tertakluk kepada 25% cukai jualan.

Walaupun sumber tembakau merupakan sumber pendapatan negara tetapi kerajaan mengambil pendekatan untuk menaikkan cukai eksais rokok bagi meningkatkan kesihatan masyarakat, melindungi kanak-kanak dan remaja daripada merokok serta meningkatkan hasil kerajaan.

Matlamat utama kerajaan menaikan cukai eksais supaya harga rokok tinggi dapat mengurangkan kekerapan merokok, meningkatkan kesihatan masyarakat, menyebabkan keuntungan bersih hasil cukai bagi kerajaan, dan mengurangkan kos perubatan kepada penyakit berkaitan rokok.

Namun begitu, walaupun harga rokok meningkat setiap tahun, kadar perokok tetap meningkat di negara ini.

Dianggarkan satu per tiga daripada penduduk Malaysia adalah golongan perokok. Mereka merupakan perokok tegar yang membawa beberapa faktor negatif kepada masyarakat khususnya berhubung kait dengan kesihatan, kos perubatan yang ditanggung kerajaan,  pematuhan undang-undang dan sebagainya.

Permasalahan ini pastinya mengganggu produktiviti negara kerana pekerja yang merokok akan menjejaskan kesihatan dan menambah perbelanjaan keluarga.

Misalnya, apabila perokok tersebut jatuh sakit mereka perlu menanggung kos perubatan yang tinggi, tidak hadir kerja dan menyebabkan prestasi dan produktivitinya menjadi rendah yang seterusnya mengakibatkan kerugian kepada organisasi berkenaan.

Kini, aktiviti merokok semakin menular dalam kalangan pelajar sekolah. Ada di antara mereka dikesan mula terjebak dengan rokok sejak berumur 10 tahun. Tidak dinafikan mungkin ada yang lebih awal merokok berdasarkan persekitaran sekarang, seperti kurangnya pengawasan ibu bapa.

Selain itu, rokok juga mudah didapati di pasaran dengan harga yang murah dan senang dibeli secara terbuka. Harga rokok murah yang dipercayai rokok seludup boleh didapati dengan harga antara RM3 hingga RM5 sekotak yang jauh lebih murah daripada harga rokok bercukai yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM 15.50 sekotak.

Menurut seorang pelajar sekolah, yang hanya mahu dikenali sebagai Umarul, 16, tujuh daripada 10 orang kawan rapatnya adalah perokok dan dia telah terjebak dalam aktiviti ini sejak empat tahun yang lepas kerana pengaruh rakan sebaya.

Rizal Jasmi

Rizal Jasmi – Rokok beri saya kepuasan.

Seorang penjawat awam, Rizal Jasmi, 42, berkata merokok mampu memberikan kepuasan kepadanya. Dia yang mula menghisap rokok sejak di bangku sekolah tidak pernah terfikir untuk berhenti kerana padanya, dia masih mampu untuk membeli rokok.

“Saya belanja kira-kira RM300 sebulan untuk membeli rokok. Namun, saya berharap anak-anak saya tidak mengikuti jejak langkah saya terjebak dalam aktiviti tidak sihat ini,” ujarnya.

Hashim Dollah - Perokok tegar yang berhasrat untuk berhenti merokok demi kesihatan.

Hashim Dollah – Perokok tegar yang berhasrat untuk berhenti merokok demi kesihatan.

Manakala menurut seorang warga emas, Hashim Dolah, 62, “saya masih merokok hingga ke hari ini, tetapi di dalam hati ini ada keinginan untuk berhenti merokok. Bukan kerana tidak cukup wang untuk membeli, tetapi telah timbul rasa bimbang terhadap kesihatan diri sendiri.

“Saya berusaha mengurangkan kadar menghisap rokok sehari dan setakat ini usaha itu menampakkan hasilnya. Dahulu saya merokok sebanyak dua kotak sehari, kini sekotak rokok untuk dua hari. Saya akan berusaha untuk berhenti merokok pada satu hari sebelum meninggalkan dunia,” azamnya.

Nasarauddin JunitSeorang pesara tentera, Nasarauddin Junit, 56, (gambar kecil) berkata, “saya telah menghentikan tabiat menghisap rokok ini sejak tiga tahun yang lalu selepas berada dalam kancah ini selama 30 tahun. Dia yang risau tentang tahap kesihatannya jika terus merokok mengambil langkah nekad untuk berhenti serta-merta bagi mengelakkan penyakit-penyakit berbahaya timbul di kemudian hari.

“Bukan mudah untuk berhenti apabila tabiat menghisap rokok sebanyak 20 batang sehari, namun kerana memikirkan juga wang yang mengalir keluar kerana tabiat ini menguatkan lagi azam saya untuk berhenti,” nekadnya.

Sementara itu, bagi mengurangkan jumlah perokok, kerajaan Negeri Melaka telah melancarkan Kempen Bebas Asap Rokok di negeri Melaka sejak Jun 2011.

Kempen oleh Jabatan Kesihatan negeri Melaka tersebut telah menguatkuasakan 21 kawasan larangan merokok termasuk kompleks membeli belah, padang awam, pusat hiburan, kawasan hospital, klinik, dalam kenderaan awam dan hentian pengangkutan awam serta dalam pejabat kerajaan.

 

Gimik pelancaran kempen larangan merokok di tempat awam

Datuk Ng Choon Koon (kanan) ketika gimik pelancaran kempen larangan merokok di tempat awam.

Timbalan Exco Kesihatan, Pembangunan Sukan dan Anti Dadah Negeri Melaka, Datuk Ng Choon Koon berkata dalam tempoh Jan-Mac 2017 ini, sebanyak RM56,590 kompaun telah dikutip berbanding RM39,040 bagi tempoh yang sama pada tahun 2016. Manakala, bagi tahun 2015, sebanyak RM125,025 kompaun dikutip berbanding RM195,090 pada tahun 2016.

Tambah Ng, kompaun sehingga RM5,000 akan dikenakan ke atas perokok yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.

 

-DZ
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...