Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala LumpurWilayah Persekutuan

Benarkan Pengeluaran Akaun 1 KWSP Bagi Elak Muflis – PPIM

By 18 April 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan & Foto oleh: Norhazlinawati Mat & Parameswary (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 18 April (Malaysiaaktif) – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini mengesyorkan kerajaan supaya mengkaji semula atau menggubal akta berkaitan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan mencadangkan agar pencarum yang mempunyai masalah keberhutangan, dapat mengeluarkan caruman Akaun 1 KWSP sebelum umur 55 tahun bagi melangsaikan hutang serta mengelakkan risiko muflis.

Menurut Nadzim, PPIM telah menerima sebanyak 28 aduan berkenaan perkara ini dalam tempoh masa empat bulan pertama bagi tahun 2017.

“Kebanyakan pengadu gagal untuk menjelaskan bebanan hutang dengan pihak bank walaupun permohonan pengeluaran KWSP itu bertujuan untuk mengelak daripada dijadikan muflis,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

WhatsApp Image 2017-04-18 at 5.35.34 PM

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nazim Johan (tengah) dan salah seorang pengadu, Kak J (kanan)

Tambahnya, terdapat juga kes pencarum yang memohon untuk mengeluarkan caruman tersebut bagi mengelak daripada rumah mereka dilelong sebelum usia mencecah 55 tahun.

Seorang ibu tunggal yang dikenali sebagai Kak J (nama samaran) turut memaklumkan bahawa dirinya kini tidak mampu menjelaskan ansuran pinjaman perumahan dengan pihak bank sehingga rumahnya hampir dilelong buat kali kedua akibat tidak mempunyai sumber pendapatan.

“Saya tiada cara lain selain mengeluarkan caruman Akaun 1 untuk menyelesaikan hutang rumah saya kerana jika tidak, rumah saya akan dilelong dan saya akan jadi gelandangan,” kata Kak J kepada pemberita.

Kak J menunjukkan surat permohonan pengeluaran caruman KWSP beliau

Menurut Kak J, dia pernah merujuk KWSP berkenaan perkara ini, namun permohonannya mendapat maklum balas yang mendukacitakan kerana tiadanya satu akta khas bagi membenarkan pencarum mengeluarkan caruman Akaun 1 untuk tujuan tersebut.

Bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan mengurangkan kadar kemuflisan, PPIM menggesa supaya Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 dikaji semula dengan membenarkan pencarum mengeluarkan caruman Akaun 1 sebelum mencapai tempoh matang usia 55 tahun.

– AH

Tinggalkan komen anda