Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohorViral

Pengharaman Rokok Belum Diwartakan Secara Drastik

By 19 April 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan oleh: Nor Adilah Abdullah / Foto: Suhairi Ishak (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 19 April (Malaysiaaktif) – Merokok bukan sahaja menjadi tabiat segelintir pelajar di pusat pengajian tinggi dan murid-murid sekolah, malah golongan profesional seperti pemimpin masyarakat, doktor, guru, pendakwah dan ustaz.

Bagi perokok tegar, Faizal Yaa’kub, 37, tidak perlu mengeluarkan fatwa jika benar rokok itu adalah haram.

“Jika benar nas dan hukum mengatakan ia betul haram, seharusnya tidak perlu mengeluarkan fatwa kerana fatwa ini masih lagi boleh diteruskan atau tidak. Maka perokok seperti saya akan terus merokok tanpa rasa bersalah pada hukum” katanya.

Seorang ibu yang ditemui wartawan Malaysiaaktif, Musliha Yusof, 43 berkata, dia selalu mengingatkan anaknya tentang bahaya merokok dan kesan kepada orang sekeliling.

Mempunyai anak lelaki yang masih bersekolah, Musliha berkata walaupun fatwa merokok ini belum digazetkan haram, nasihat dan peringatan ibu bapa adalah sangat penting di samping memberitahu anak-anak bahawa merokok merupakan pembunuh secara senyap.

Musliha Yusof, 43, mempunyai anak lelaki yang masih bersekolah

Sementara itu, penjawat awam, Muhammad Zhafry Hakim Abu Khair, 29 berkata, pengetahuan dalam menangani isu yang melibatkan ketagihan merokok atau kebiasaan dalam kehidupan bukanlah sesuatu yang mudah untuk diamalkan.

Zhafry yang juga merupakan guru bimbingan dan kaunseling sambilan memberitahu bahawa kesedaran terhadap hukum merokok dan implikasi terhadap beberapa punca penyakit yang boleh membawa maut sentiasa diterapkan khususnya di sekolah-sekolah waima kepada warga pendidik juga.

Tambahnya, amalan merokok perlulah dijauhi kerana profesi sebagai guru adalah ‘role model’ kepada anak-anak didik dan masyarakat.

Menurut Timbalan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad, Mesyuarat Majlis Fatwa Negeri Johor Bil 2/2012 masih belum mewartakan pengharaman rokok secara drastik kerana masih ramai masyarakat yang tidak jelas akan isu rokok ini.

Jelas Yahya, pada masa kini jumlah perokok sama ada di negara maju atau negara membangun masih begitu besar walaupun pelbagai usaha telah dibuat oleh kerajaan serta badan sukarela bagi menyedarkan orang ramai tentang bahaya merokok.

Tmbalan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad

Tambahnya, di Malaysia sahaja merokok menyumbang kepada 10,000 kematian setahun dan 30 peratus daripadanya disebabkan oleh 10 jenis kanser.

Mengikut Imam shafie dalam kitab Al Am Ya’it, “Jika mereka mengambil sesuatu makanan minuman atau sesuatu yang dihisap, dihidu dan disedut dan boleh memabukkan maka perbuatan itu adalah jelas haram termasuklah yang mengandungi racun yang menyebabkan kematian.”

Bagi peringkat permulaan, Yahya memberitahu bahawa tindakan Jabatan Agama dengan kerjasama Jabatan Kesihatan telah mengadakan majlis penerangan, iklan-iklan, kempen dan taklimat bahaya merokok di program-program yang dijalankan.

Yahya turut menyatakan bahawa Jabatan Agama Islam telah menubuhkan jawatankuasa pemantau bagi memantau tempat larangan di semua tempat di bawah kuasa penuh Jabatan Agama seperti di bangunan kerajaan jabatan agama, sekolah-sekolah agama, masjid-masjid, surau, sekolah-sekolah agama dan semua pegawai-pegawai di bawah Jabatan Agama Islam Negeri Johor secara berperingkat.

Dalam pada itu, Imam Masjid Al-Falah, di sini, Mohamad Aris Sulaiman, 55, memberitahu bahawa semua masjid di negeri Johor telah meletakkan tanda larangan merokok.

“Pengharaman merokok di masjid-masjid memang sudah dilaksanakan atas arahan Jabatan Agama Islam sejak tahun 2012. Akan tetapi tidak ada penguatkuasaan dari jabatan agama itu sendiri bagi memantau orang ramai untuk merokok di kawasan masjid,” katanya.

Imam Masjid Al Falah, Mohamad Aris Sulaiman

Menurutnya, kesedaran orang ramai adalah sangat penting untuk menghormati tempat beribadah dengan tidak melakukan perbuatan tersebut dan ahli jawatankuasa masjid hanya boleh menegur serta menasihati orang ramai yang merokok di masjid sahaja.

Pengharaman rokok telah lama diwartakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sejak 1995 berdasarkan tiga faktor iaitu membahayakan kesihatan pengguna, mendatangkan kemudaratan kepada orang di sekeliling perokok serta alam sekitar dan menjurus kepada pembaziran.

Majlis Fatwa Kebangsaan turut memutuskan bahawa menanam tembakau atau merokok dan memanfaatkan hasil tembakau adalah HARAM dengan berpandukan dalil-dalil serta nas-nas al-Quran, hadis dan pendapat para ulama.

– AH

Tinggalkan komen anda