Rokok: Fatwa, Kempen Larangan Kurang Impak Di Perak

Feature - Rokok Dasar Fatwa Kempen Larangan Kurang Berimpak
Laporan / foto oleh Ismail Daud, Yosme Yahya, Siti Asmah Mat Ali, dan Suzira Zainol Abidin

PENGKALAN HULU, 20 Apr (Malaysiaaktif) – Pelbagai dasar telah diperkenal dan dilaksanakan oleh kerajaan dalam langkah mengurangkan jumlah perokok di negara ini antaranya melaksanakan tindakan penguatkuasaan seperti melarang rokok dijual kepada pelajar di bawah 18 tahun dan dengan menambahkan tempat-tempat larangan merokok.

Bagi seorang suri rumah, Norhashimah Nokman, 38, keberkesanan fatwa, dasar mahupun penguatkuasaan mengenai larangan merokok ini boleh disifatkan sebagai tidak berkesan kerana sehingga kini, ramai anak muda masih ketagih merokok di merata-merata kawasan.

“Tindakan yang diambil oleh kerajaan belum cukup berkesan dan tegas untuk mengurangkan gejala merokok dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Faridah bt Mat Tais dan suami

Faridah Mat Tais dan suami.

Seorang lagi suri rumah, Faridah Mat Tais, 63, berkata dasar yang dilaksanakan harus diperhalusi lagi bagi menyesuaikannya dengan keadaan semasa berikutan peningkatan bilangan perokok yang semakin membimbangkan.

Dalam pada itu, menurut seorang pesara kerajaan, Abdullah Ramli, 67, penambahan zon larangan merokok, kempen ‘Tak Nak Merokok’, dan peningkatan harga rokok misalnya adalah antara tindakan yang bijak untuk menangani masalah rokok.

Bagi penjawat awam yang hanya mahu dikenali sebagai Miza, 30an, ura-ura bahawa harga rokok akan dinaikkan daripada RM17.00 kepada RM21.00 dilihat tidak akan memberikan kesan kepada perokok tegar.

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

Namun, seorang perokok, Amirul Mukminin, 22, menyatakan bahawa kenaikan harga rokok antara penyebab dia mengurangkan aktiviti merokok. Hal ini membuktikan penguatkuasaan masih berkesan bagi sesetengah golongan.

Dalam pada itu, kerajaan melakukan usaha berterusan bagi membanteras gejala merokok dengan mengadakan kempen larangan merokok melalui media serta meletakkan visual mengerikan di kotak rokok.

“Ini wajar diberikan pujian, namun dasar kerajaan, fatwa mahupun kempen larangan merokok yang dijalankan kerajaan masih kurang memberi impak buat golongan perokok tegar terutamanya yang berusia 40 dan ke atas,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim.

Pengawal keselamatan, Zubir bin Ramli

Pengawal keselamatan, Zubir Ramli.

Aznel mencadangkan supaya pendidikan ataupun larangan merokok ini dilaksanakan dari tadika lagi bagi menanam rasa takut, benci dan jijik pada rokok dalam kalangan generasi akan datang.

“Adalah sukar untuk menyuruh dan memaksa golongan perokok tegar berhenti merokok kerana rokok mempunyai kesan ketagihan yang sama dengan dadah. Walaupun kerajaan menaikkan harga rokok kepada RM17.00 sekotak, bagi perokok tegar yang berkemampuan mereka tetap akan merokok.

“Bagi yang kurang berkemampuan pula, mereka akan beralih kepada rokok seludup atau rokok haram yang dijual pada harga RM5.00 sekotak. Rokok jenis ini adalah lebih berbahaya kerana kandungannya bukan mengunakan tembakau sebenar dan kesannya adalah lebih buruk terhadap kesihatan perokok tegar,” ujarnya lagi ketika dihubungi melalui telefon.

Manakala,  menurut seorang pengawal keselamatan Tenaga Nasional Berhad Cawangan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ipoh, Zubir Ramli, 55, penjualan rokok haram di kedai-kedai masih berlaku.

“Ini terjadi mungkin sebab pihak berkuasa terlepas pandang kerana penjual menjual secara rahsia dan kepada pelanggan tertentu sahaja,” katanya.

Selain itu, seorang peniaga di UTC Ipoh, Rashidah Mohd Maideen, 47, berpendapat terdapat ketirisan dalam penguatkuasaan menyebabkan masalah ini tidak berpenghujung.

Abd razak mohd latip dan rashidah mohd maideen

Peniaga di UTC Ipoh, Rashidah Mohd Maideen (kanan) dan suaminya, Abd Razak Mohd Latip.

“Gejala rasuah yang berlaku dlm kalangan segelintir penjawat awam menyebabkan usaha kerajaan gagal,” ujarnya.

Pegawai Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di UTC Ipoh, Killivalavan a/l Ramasamy, 55, menegaskan perlunya kerjasama daripada orang awam juga dalam membanteras gejala tidak sihat ini kerana bukan setiap masa pihak berkuasa boleh mengawal situasi ini.

Sementara itu, Ketua Penolong Pegawai Penguatkuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Wan Embong Ismail berkata kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hanya mengeluarkan kompaun atau saman kepada perokok yang merokok di panggung wayang di bawah Akta Zon Larangan Merokok di panggung.

Zon Larangan Merokok di UTC

Zon Larangan Merokok di UTC Ipoh.

“PBT juga akan mengeluarkan kompaun atau saman terhadap kesalahan membuang puntong rokok di merata tempat. Jika ditangkap, akan disaman sebanyak RM50 sepuntong,” tegas Wan Embong.

Bagi penguatkuasaan di tempat zon larangan merokok di tempat awam, kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan padang awam pula adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Perak.

Eksekutif Operasi PLUS Malaysia Berhad, Faruqi Ismail berkata, PLUS membantu dari segi memberi kebenaran kepada Jabatan Kesihatan untuk memasang papan kenyataan Zon Larangan Merokok di kawasan R&R. saiz papan kenyataan adalah 4×4 .

“Zon Larangan Merokok di R&R meliputi kawasan berbumbung dengan garis jarak tiga meter luar daripada premis berbumbung sahaja. Lebih daripada jarak tersebut adalah dibenarkan untuk merokok,” jelasnya.

Unit Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Negeri Perak merupakan badan yang bertanggungjawab dalam penguatkuasaan Zon Larangan Merokok di bawah Akta Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Ketuanya, Samad Mohd Dom berkata akta ini melibatkan beberapa peraturan dari Peraturan 11(1)a hingga 11(1) W 2017.

“Taman-Taman Awam dan Taman Negara juga adalah kawasan larangan merokok yang telah diwartakan pada Februari 2017 dan warta ini diberikan tempoh penyesuaian penguatkuasaan sehingga Mei 2017.

“Melalui Warta ini, mulai 1 Jun 2017 nanti segala penguatkuasaan akan berkuat kuasa serta-merta bagi setiap kesalahan yang dikesan atau didapati akan ditangkap dan dikompaunkan.

“Apabila operasi penguatkuasaan dijalankan, kompaun atau saman serta merta akan dikenakan kepada pesalah merokok di tempat awam. Cara saman adalah dengan mengambil gambar pesalah dan puntong rokok sebagai bukti  kes. Saman yang dikenakan adalah RM250 minimum hingga RM5,000 mengikut kesalahan.

Peta Negeri Perak

Peta Negeri Perak. / Sumber: Wikipedia

“Penguatkuasaan dijalankan di setiap daerah yang terbahagi kepada 20 pasukan, dengan satu pasukan terdiri daripada gabungan tiga orang Pegawai Penguat Kuasa Kesihatan negeri dan daerah.

“Melalui penguatkuasaan yang dijalankan, diharap dapat memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai Zon Larangan Merokok. Namun begitu, kebanyakan pesalah didapati mempunyai tabiat tidak dapat mengawal nafsu merokok,” ujarnya.

Tambah Samad, pihaknya juga telah menjalankan kempen dan penguatkuasaan ‘Perak Bersih dan Sihat’ sejak 2006 lagi.

“Bagi tahun 2017, operasi bermula sejak Januari hingga Mac di empat buah daerah terpilih iaitu Manjung, Larut Matang dan Selama, Kampar dan Kuala Kangsar.

“Operasi ini dijalankan di bawah Akta Makanan dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 termasuklah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit yang tertumpu kepada premis-premis pengeluar bahan makanan, restoran, kedai makan, pasar dan pasar raya.

Pihaknya enggan menyatakan data dan maklumat saman yang telah dikeluarkan dengan alasan, “semua data dan maklumat saman yang telah dikeluarkan adalah sulit dan tidak boleh dipaparkan di media massa sehingga mendapat kebenaran dan kelulusan Pengarah Kesihatan Negeri Perak.”

 

-DZ/AAS
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *