Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Tiga Beradik Terima Pingat Perkhidmatan Setia Serentak

By 21 April 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan dan foto oleh: Mohd Baharruddin Mohamad (Sarawak)

MUKAH, 21 Apr (Malaysiaaktif) – Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu, begitulah rezeki tiga beradik yang dikurniakan pingat Perkhidmatan Setia oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Abdul Rahman Zohari Openg dalam majlis penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia di Kingwood Resort, Mukah semalam.

Bibiana Aloysius Akup, Cecilia Aloysius Akup dan Assunta Aloysius Akupn menerima pingat masing-masing apabila setia menjalankan tugas lebih 20 tahun di Sarawak.

Bibiana, 53 yang bertugas sebagai Pembantu Am di SMK Three Rivers Mukah mula berkhidmat sejak 1989 berkata dia tidak sangka terpilih dan berasa terkejut kerana mereka serentak menerima pingat tersebut.

“Saya telah berkhidmat selama 28 tahun sebagai Pekerja Am (Tukang Masak) N.19. Sejak saya berkhidmat dengan kerajaan banyak perubahan berlaku baik dalam pentadbiran, pengurusan dan transformasi menuju ke arah perkhidmatan yang lebih cekap.

“Banyak pengalaman pahit manis dalam menjalankan tugas harian namun transformasi sekarang yang bertujuan untuk menambah baik cara penyampaian perkhidmatan kerajaan agar dapat memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat.

“Pingat ini menyuntik semangat serta rasa cinta terhadap tugas saya. Pingat ini sebagai kenangan ketika saya nanti,” katanya semasa ditemui Malaysia Aktif sebaik majlis tersebut selesai.

Sementara itu, Pembantu Am di Hospital Bahagian Mukah, Cecilia Aloysius Akup, 52 mengganggap kejayaan mereka seperti mimpi pada siang hari.

“Apabila kami bertiga terpilih serentak untuk menerima pingat Perkhidmatan Setia ini ibarat mimpi pada siang hari. Saya bertekad untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang lagi sejajar mutu perkhidmatan untuk mempertingkat sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan.

“Selama 25 tahun di hospital tersebut, banyak kenangan semasa menjalankan tugasan harian dengan melayan bermacam-macam kerenah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Assunta Aloysius Akup, 51, yang turut bertugas sebagai Pembantu Am di Hospital Bahagian Mukah berkata semua penjawat awam memainkan peranan yang penting dalam memberikan perkhidmatan berkualiti kepada masyarakat.

“Setelah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 21 tahun, Pingat Perkhidmatan Setia ini ternyata memberi tuah kepada saya sekali gus menambakanh semangat taat setia dalam menberikan perkhidmatan yang lebih cekap kepada masyarakat.

“Kami tiga beradik berusaha untuk menjalankan tugas harian dengan sebaik mungkin untuk menambah baik perkhidmatan kepada masyarakat setempat,” jelasnya lagi.

Mereka merupakan antara 344 orang penerima Pingat Perkhidmatan Setia daripada 20 buah jabatan dan agensi merangkumi kerajaan negeri dan persekutuan.

Pingat Perkhidmatan Setia merupakan pengiktirafan serta penghargaan Kerajaan Negeri Sarawak kepada penjawat awam yang berjaya mempamerkan kesetiaan sejak era pemerintahan Brooke.

-SF

Tinggalkan komen anda