Skip to main content
Berita TempatanSabah

Penganjuran Regatta Lepa Di Semporna Hambar?

By 21 April 2017April 25th, 2017Tiada komen4 minit bacaan

 

Laporan oleh Fauzrina Hj Bulka/ Foto : Saiful Rahman Sabri

SEMPORNA, 21 Apr (Malaysiaaktif) — Penganjuran Regatta Lepa yang diadakan di daerah ini pada April setiap tahun bertujuan untuk mengiktiraf tradisi pembuatan perahu atau lepa dalam bahasa bajau.

Pesta air yang telah diiktiraf di dalam kalendar pelancongan Sabah menjadi platform kepada kaum Bajau yang berada di merata tempat, termasuk di pulau-pulau untuk bertemu dengan membawa bersama lepa yang telah dihias menggunakan sambulayang atau bendera berwarna-warni serta diiringi tarian tradisi dan muzik etnik tempatan.

Namun begitu, jelas dirasai perayaan kali ini yang berlangsung dari 21 hingga 22 April seolah-olah kurang mendapat sambutan kerana tidak banyak sambulayang yang dipacakkan di sepanjang jalan raya di bandar mutiara ini bagi menyambut kehadiran pengunjung.

Lukaiya menunjukkan barang jualannya disamping tip mengenal mutiara sebenar

Lukaiya menunjukkan barang jualannya disamping tip mengenal mutiara sebenar

Seorang peniaga, Lukaiya Bajin yang telah 30 tahun berniaga mutiara turut mengakui sambutan Regatta Lepa pada tahun ini sangat hambar.

“Kebiasaanya kita akan dapat melihat sambulayang dipacakkan di sepanjang jalan menuju ke Semporna seawal dua minggu sebelum sambutan diadakan sepanjang tahun.

“Tetapi kali ini, bilangan bendera boleh dikira dengan jari, malahan acara hiburan juga tidak banyak dijalankan seperti sebelum ini dengan kehadiran ramai artis popular,”ujarnya.

Vun Vui Ting sedang melakukan persiapan menyambut para tetamu yang berkunjung ke daerah berkenaan.

Vun Vui Ting sedang melakukan persiapan menyambut para tetamu yang berkunjung ke daerah berkenaan.

Walaupun acara ini sentiasa dinantikan oleh peniaga sepertinya kerana jangkaan peningkatan jumlah pelanggan, namun keuntungan yang diterima tidak begitu memberangsangkan berikutan saingan daripada peniaga luar.

“Ramai peniaga mutiara daripada luar datang ke sini untuk berniaga dan mewujudkan persaingan yang sengit sesama kami….untuk memastikan produk terjual, kami akan jual secara borong,”katanya ketika ditemui di premis perniagaannya.

Lukaiya turut berkongsi cara untuk mengenal pasti perbezaan antara mutiara air tawar dan mutiara air masin yang lebih bermutu, iaitu daripada segi warna dan bentuk.

“Mutiara air tawar boleh didapati dalam warna kuning, putih dan hitam, tetapi warna mutiara air masin pula pelbagai dan bercampur antara kelabu, kuning dan putih serta sinarannya kekal sepanjang hayat,”jelasnya.

Sementara itu, menurut seorang pemilik hotel, Vun Vui Ting pesta air Lepa ini sangat membantu pengusaha-pengusaha sepertinya kerana peningkatan jumlah pelancong yang tinggi sehingga 60 peratus berbanding hari biasa.

“Waktu-waktu acara puncak seperti ini menjadikan permintaan bilik meningkat, dan kami akan mengambil kesempatan untuk menaikkan sedikit harga ketika ini,”katanya.

Menurutnya, jika pada hari-hari biasa harga bilik dorm untuk satu malam berharga RM58, mereka akan menaikkannya sehingga RM68 kerana pelanggan daripada luar, seperti China dan Australia berlumba-lumba untuk membuat tempahan.

Lepa01

Nasir memasang Sambulayang di perkarangan pejabat pos laju sebagai sokongan menjayakan festival berkenaan.

“Kami menerima tempahan bilik sebulan awal kerana mereka ingin mengelakkan peningkatan harga menjelang acara sebenar,”ujarnya lagi.

Manakala menurut Pengurus Pos Laju Cawangan Semporna, Nasir Jani, pejabatnya tidak pernah melepaskan peluang untuk memasang sambulayang setiap tahun sebagai menyokong acara Regatta Lepa.

“Setiap jalur yang terdapat pada sambulayang juga mempunyai makna sendiri di mana lima jalur di tengah umpama kurita yang menjelaskan bahawa kaum bajau merupakan seorang pelaut dan mencari rezeki di lautan,”jelasnya.

Kos untuk membuat sambulayang yang dipasangnya kira-kira RM300 dan disiapkan dalam tempoh tiga hari oleh kakitangan pejabat pos setempat.

“Pasti ada yang mengatakan sambutan tahun ini agak hambar, namun sebenarnya warga Semporna lebih menumpukan untuk sambutan Regatta pada tahun hadapan sempena ulangtahun Jubli Perak Regatta Lepa ke-25,”ujar Nasir.

Nasir turut berharap agar generasi muda kini dapat mengenali asal usul kaum mereka dan menghargai sambutan yang diadakan kerana ia hanya di sambut di Semporna sekali setahun.

“Begitu juga legenda kisah klasik percintaan Arung Salamiah yang dijadikan acara tahunan Ratu Lepa…patut diambil pengajaran di sebaliknya,”katanya.

Beliau juga turut berharap agar ada pihak-pihak yang dapat membela nasib suku Bajau Laut yang tidak mempunyai kad pengenalan ataupun pasport walaupun mereka bebas berada di Malaysia atau negara-negara, seperti Indonesia atau Filipina.

“Rumah mereka di atas laut dan mereka juga mencari rezeki dari lautan, umpama kais pagi makan pagi. Jika kehidupan mereka dibela, sekurang-kurangnya mereka mendapat imbuhan yang ditawarkan oleh kerajaan,”ujar Nasir.

Pada sebelah malam di Dataran Regatta Lepa diadakan Pertandingan Saringan Ratu Lepa.yang merupakan Program Sepakat Komuniti 1 Malaysia anjuran Jabatan Penerangan Sabah.

Acara dirasmikan oleh Pengerusi SEDCO merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Senalang, Dato Sri Nasir Tun Sakaran.

Acara-acara lain yang diadakan termasuk Persembahan Kebudayaan Pelbagai Suku Kaum, Kombo RTM dan juga persembahan daripada artis tempatan dan jemputan.

Kehadiran di Regatta Lepa kali ini dianggarkan kira-kira 10, 000 orang.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda