Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Serahan ‘Serahang Kakan’ Tanda Pesta Kaul Bermula

By 23 April 2017April 28th, 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh: Mohd Baharruddin Mohamad (Sarawak)

MUKAH, 23 Apr (Malaysiaaktif)- Kaul yang merupakan perayaan tradisi yang diraikan oleh suku kaum Melanau yang tinggal di sepanjang pantai Sarawak bermula setelah upacara Penyerahan Serahang Kakan berlangsung di sini semalam.

Menurut Bapa Kaul, Edmund Seleman Tuna, Serahang yang diperbuat daripada daun buluh dan daun nipah dengan memasukkan bertih, telur ayam, pulut kuning, kirai atau rokok daun, dan sirih disediakan untuk menjamu ipok.

“Penyerahan ‘Serahang Kakan’ dilaksanakan sebagai petanda Pesta Kaul bermula. Tujuan menghantar Serahang ini adalah untuk menjamu Ipok yang menjaga laut selain memperoleh tangkapan yang memuaskan dan selamat semasa berada di laut serta mengelakkan pelbagai wabak dan penyakit,” ujarnya semasa ditemui Malaysiaktif di pantai Kuala Dana Mukah semalam.

Tambahnya, Serahang ini dibawa menyelusuri Sungai Tellian menuju ke Kuala Dana Mukah dan upacara Kaul pada hari ini ialah Kaul Tugek akan diikuti dengan Pesta Kaul pada 24 hingga 30 April ini.

Serahang dibawa dengan perahu menyelusuri sungai Tellian menuju ke Kuala Dana Mukah

Serahang dibawa dengan perahu menyelusuri sungai Tellian menuju ke Kuala Dana Mukah

“Pada masa lalu, Kaul dilihat sebagai satu majlis keagamaan untuk menenangkan roh-roh laut, tanah, hutan dan ladang yang menjadikannya sebagai perayaan yang paling penting mengikut tahun kaum Melanau Pagan. Kaul juga ialah upacara penyucian dan kesyukuran serta salah satu restu untuk memperoleh kedamaian serta nasib yang baik dalam menjalani kehidupan seharian,” jelasnya lagi.

Sementara itu, bagi guru, Raymond Enyau Belidih, 57 mengikut sejarah, dahulunya Kaul merupakan sejenis pesta keagamaan yang diraikan mengikut kalendar kaum Melanau bagi menandakan penghujung musim tengkujuh.

“Kini, Pesta Kaul merupakan lebih daripada itu. Pesta Kaul telah menjadi simbolik kebudayaan di Sarawak dan keistimewaan bagi kaum Melanau yang menjadi tempat mereka berkumpul selain menjadi tarikan kepada pelancong dari serata dunia.

“Perayaan ini disambut oleh kaum Melanau dengan meriah pada bulan Mac atau April setiap tahun mengikut bulan Pengejin, kalendar Melanau. Perayaan ini melambangkan berakhirnya musim hujan dan kedatangan atau permulaan musim menangkap ikan,” jelasnya.

Dalam pada itu, urus setia, Christina Rentia Sukup, 54 menjelaskan tujuan Pesta Kaul diadakan untuk memperoleh tangkapan yang memuaskan dan selamat semasa berada di laut serta mengelakkan pelbagai wabak dan penyakit.

“Perayaan ini melambangkan berakhirnya musim hujan dan kedatangan atau permulaan musim menangkap ikan. Walau bagaimanapun, perayaan ini datang dengan keghairahan dan kegembiraan dalam kalangan pengunjung.

“Pesta biasanya diraikan oleh suku etnik Melanau yang berkumpul di persisiran pantai seperti kawasan lembah utara Sungai Rajang, Igan, Mukah, Dalat, Oya, dan Bintulu. Masyarakat yang terawal Sarawak menetap di Mukah. Seperti kaum-kaum lain di Sarawak, kaum Melanau mempunyai perayaan mereka tersendiri iaitu Pesta Kaul,” ujarnya.

 

Gambar masyarakat Melanau menjamu selera di tepi pantai Kala Dana

Gambar masyarakat Melanau menjamu selera di tepi pantai Kala Dana

Bagi pengunjung, Rosline Radio pula, pesta tradisi yang disambut secara tahunan ini, menghimpunkan pelbagai upacara dan adat resam yang menarik dan luar biasa daripada kaum lain.

“Dalam keadaan masyarakat di Sarawak yang mempunyai pelbagai kaum dan adat jadi Kaul boleh dijadikan sebagai medan untuk setiap orang mengenali dan seterusnya menghormati adat kaum-kaum lain. Ini antara cara untuk mengeratkan siratulrahim dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.

“Dahulu, Kaul dilihat sebagai perayaan keagamaan oleh masyarakat Melanau “Pagan” untuk memohon restu daripada penunggu laut, darat, ladang dan hutan agar penunggu tersebut tidak mengganggu ketika mereka mencari rezeki.

“Kini Pesta Kaul menjadi medan penyatuan komuniti terbesar masyarakat Melanau. Pesta ini menunjukkan betapa uniknya budaya kaum Melanau dari aspek pakaian, kraftangan, makanan, permainan dan tarian,” jelasnya.

Antara aktiviti menarik yang bakal berlangsung termasuklah Safari Memancing Kaul, Mukah Got Talent, dan Pertandingan Teluwaih Jinih (Ratu Kaul).

Tinggalkan komen anda