Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Penduduk Kg Bukit Kinyau Tagih Kemudahan Infrastruktur

By 25 April 2017Tiada komen3 minit bacaan
Laporan oleh Mussliha Malihi / Foto: Mohd Nazree Yakop (Sarawak)

SARIKEI, 25 Apr (Malaysiaaktif)-Kekurangan kemudahan asas tidak menghalang penduduk Kampung Bukit Kinyau untuk menjalani kehidupan seperti masyarakat di bandar yang dilengkapi pelbagai kemudahan dan pembangunan.

Rata-rata penduduk di kawasan ini sudah lebih setengah abad menetap di kampung yang terpisah dari bandar Sarikei yang hanya boleh menggunakan bot air sebagai pengangkutan utama.

Kampung Bukit Kinyai yang  jaraknya 45 minit melalui jalan air ke pusat bandar Sarikei ini mempunyai penduduk lebih 600 orang dengan lebih 70 buah rumah yang majoritinya terdiri daripada kaum Melayu dan Melanau.

Program “Menghubung Menyatu” oleh Jabatan Penerangan Malaysia, Sarawak berlangsung pada Jumaat dan Sabtu lepas telah memberi peluang untuk mendekati dan menyalurkan bantuan agar mereka tidak tersisih dan terpinggir daripada menikmati pembangunan kini.

Tinjauan terhadap salah seorang penduduk yang mengalami sakit strok sejak 28 tahun yang lalu

Tinjauan terhadap salah seorang penduduk yang mengalami sakit strok sejak 28 tahun yang lalu

Menurut penduduk, Napisah Man, 48, yang sudah lebih 30 tahun menetap di Bukit Kinyau berhasrat untuk memiliki kemudahan asas seperti kawasan lain.

“Bapa saya dahulu bekerja sebagai buruh kasar kilang. Pada waktu itu, dia dan rakan-rakan lain terpaksa tinggal di kawasan berdekatan untuk bekerja dan terpaksa meninggalkan keluarga untuk jangka masa yang lama.

“Walaupun kampung ini aman dan tenang dengan pemandangan tumbuhan hijau tanpa pencemaran bunyi daripada kenderaan, namun apabila didekati, penduduk kebanyakan menyuarakan hasrat hati untuk memiliki kemudahan asas seperti kawasan lain,” ujarnya.

Sementara itu, bagi seorang lagi penduduk, Mohd Jamaludin Man, 51, mereka masih lagi menggunakan air hujan sebagai bekalan air utama, manakala  elektrik pula bergantung sepenuhnya kepada generator yang menggunakan minyak diesel atau minyak petrol.

“Bagi bekalan elektrik, penduduk cuma menggunakan generator dalam jangka masa yang singkat iaitu bermula 6.00 petang hingga 10.00 malam kerana banyak menggunakan minyak dan kami tidak mampu,” jelasnya.

Tambahnya, jalinan perhubungan menjadi harapan utama penduduk di Kampung Bukit Kinyau kerana selain menghubungkan penduduk diharap dapat mengurangkan beban penduduk yang terpaksa menanggung kos harga barangan yang mahal disebabkan kos pengangkutan.

“Kampung ini hanya boleh dihubungkan dengan pengangkutan air sahaja. Pengangkutan air dari Bandar Sarikei ke kampung adalah dengan menggunakan bot ekspres dan pengangkutan untuk membawa barang-barang keperluan asas juga menggunakan bot.

Bot ekspres yang digunakan penduduk kampung ke bandar

Bot ekspres yang digunakan penduduk kampung ke bandar

“Ini menyebabkan barangan keperluan asas di kampung seperti beras, minyak masak, tepung dan keperluan makanan lain lebih mahal berbanding tempat-tempat lain,” katanya.

Suri rumah, Sharifah Norfaridah Wan Madihi, 37, turut mahukan penambahbaikan dari segi pengangkutan untuk berhubung dengan dunia luar.

“Masalah pengangkutan turut memberi kesan kepada kami khususnya apabila mengalami kecemasan terutama kecederaan, sakit dan juga bersalin untuk mendapatkan rawatan segera,” katanya.

Menerusi tinjauan Malaysia Aktif, kampung ini juga tidak mempunyai klinik kecil untuk mendapatkan rawatan kesihatan dan juga kebanyakan golongan muda di kampung berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan disebabkan tiada peluang pekerjaan.

Dalam pada itu, hasil tanaman seperti sayuran dan juga kerepek hanya dijual di dalam kampung kerana kesukaran untuk ke bandar selain harga tambang dan kos barang yang dikenakan tidak membawa pulang modal.

Namun begitu, banyak perubahan secara berperingkat telah dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan kawasan Kampung Bukit Kinyau membangun seiring dengan dunia luar antaranya jalan raya dalam kampung, dewan serbaguna dan bantuan rakyat yang lain.

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda