Skip to main content
Berita TempatanSabah

Pengorbanan Perajurit Di Tandou Julang SMK Abaka

By 25 April 2017April 27th, 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan: Liza Abdullah & Hazlinah Samsir / Foto: Shahvian Muhammad Razali (Sabah)

KOTA KINABALU, 25 Apr (Malaysiaktif) – Kisah tragedi pencerobohan tanah air di Tandou Lahad Datu berjaya menjulang Sekolah Menengah Kebangsaan Abaka, Tawau di Pertandingan Sketsa Negaraku Kelab 1Malaysia Peringkat Sabah pada pagi tadi.

Kisah Allahyarham ASP Zulkifli Mamat yang merupakan antara perajurit pertama terkorban mempertahankan tanah air tercinta semasa pencerobohan tentera Sulu di Kampung Tanduo tersebut berjaya memikat hati penonton.

Persembahan sketsa SMK Abaka Tawau berkonsepkan pencerobohan di Tanduo

Persembahan sketsa SMK Abaka Tawau

Dengan tema Rukun Negara ‘Kesetiaan kepada Raja dan Negara’ berjaya menobatkan SMK Abaka sebagai juara dalam pertandingan tersebut.

Bagi Ketua kumpulan SMK Abaka, Aelgin Nicholas Aelmiria, 16, berkata, komitmen tinggi yang diberikan oleh ahli kumpulan sangat membantu dalam kemenangan mereka.

“Apabila dimaklumkan guru tentang pertandingan sketsa ini, kami terus mencari bakat-bakat yang berpotensi untuk bersama-sama mengharumkan nama sekolah.

“Ibu bapa turut dimaklumkan agar kami diberi kebenaran untuk mengikut latihan sekiranya diadakan pada luar waktu persekolahan.

“Kemenangan ini juga sebenarnya tidak dijangka, tetapi kami bangga kerana dengan kejayaan ini kami berjaya menaikkan nama sekolah,” ujarnya ketika ditemui wartawan Malaysia Aktif selepas pertandingan tersebut.

Kemenangan ini membolehkan kumpulan terbabit membawa pulang wang tunai RM1,500 berserta trofi dan sijil penyertaan.

Kisah pencerobohan di Tanduo

Kisah pencerobohan di Tanduo

Lebih manis apabila pelakon utama mereka Imanzulhakim Jumain yang memegang watak ASP Zulkifli turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik.

Terdahulu, Guru Penyelaras Kelab 1Malaysia SMK Abaka, Amisah Alimuddin sebagai jurulatih kepada pasukan sketsa tersebut, berkata ilham tentang tajuk dan cerita ini terhasil semasa ulang tahun memperingati peristiwa hitam negara yang keempat pada Februari lalu.

“Perjuangan Allahyarham Zulkifli dan perajurit yang lain adalah sangat mulia.

“Kesempatan ini saya ambil untuk mengenang jasa mereka di samping mendidik para pelajar untuk menghargai jasa pejuang negara serta menghayati Rukun Negara kita yang kedua,” ujarnya ketika ditemui semasa menjalani latihan di sekolah terbabit sebelum bertolak ke Kota Kinabalu.

Ketika pertandingan di peringkat bahagian Tawau pada Ahad minggu lalu, SMK Abaka berjaya menewaskan empat peserta lain selain turut menerima Anugerah “Props Terbaik” dan Anugerah “Pelakon Terbaik” yang dimenangi Sofia Auni Jamal.

Sofia Auni Jamal yang ditemui semasa mengadakan latihan menyatakan bahawa dia bersama rakan-rakan akan berusaha memberikan persembahan terbaik pada pertandingan nanti.

“Alhamdulillah berkat kerjasama semua serta didikan guru-guru kami berjaya menjadi johan.

“Tugasan yang mencabar apabila cuba menghayati dan menjiwai kembali peristiwa tersebut dan pelakon utama Imanzulhakim Jumain yang memegang watak sebagai ASPZulkifli berjaya menghidupkan watak tersebut yang turut memberi kesan kepada saya terkenang dan simpati terhadap keluarga Allahyarham ASP Zulkifli,” jelasnya sebelum memulakan persembahan tersebut.

Persembahan SMK Limbanak Penampang

Persembahan SMK Limbanak Penampang

Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna,Datuk Jainab Ahmad Ayid memuji usaha Jabatan Penerangan menganjurkan pertandingan seumpama ini.

“Belia hari ini kurang menghayati dan membudayakan prinsip Rukun Negara Senario ini amat menyedihkan kerana pelajar ialah pelapis kepimpinan negara kelak”.

“Usaha memupuk belia menghayati dan bersemangat jati diri dan cinta negara harus dilaksanakan secara berterusan,” ujarnya.

Naib Johan telah dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Limbanak dari Penampang dengan memperolehi hadiah bernilai RM1,000 berserta sijil penyertaan dan trofi.

Manakala tempat ketiga dimenangi oleh SMK Agama Tun Said, Kota Belud yang menerima wang tunai RM500 berserta sijil penyertaan dan trofi.

Dalam pada itu, Pengarah Penerangan Sabah (Japen), Suwadi Guliling berkata, pertandingan sketsa tersebut dianjurkan untuk menerapkan rasa cinta akan negara dan mampu memahami lebih mendalam akan prinsip Rukun Negara dalam diri para pelajar.

Suwadi juga memaklumkan J?apen Sabah akan turut menganjurkan pertandingan Pengisahan Kenegaraan dan Pidato pada tahun ini dan berharap lebih banyak penyertaan daripada para pelajar untuk berentap bagi mengangkat nama sekolah masing-masing.

SF

Tinggalkan komen anda